Dr Jeyakumar lancar mogok lapar hingga semua tahanan EO bebas


KUALA LUMPUR: Ahli parlimen Sungai Siput, Dr D Jeyakumar  yang ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO), hari ini melancarkan mogok lapar ketika dalam tahanan.
Perkara itu dimaklumkan oleh isteri beliau, Mohanarani Rasiah ketika menemui suaminya itu kira-kira jam 11 pagi, semalam.
Menurut Moharani, suaminya itu sangat hampa dan kecewa dengan pendirian polis dan kerajaan terhadapnya dan lima aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) yang ditahan di bawah EO sejak 2 Julai lalu.
“Beliau akan teruskan mogok lapar sehingga kesemua PSM 6 dibebaskan atau dituduh di mahkamah.
“Saya cuba menasihatkan beliau untuk tidak berbuat demikian kerana risau akan kesihatan beliau tetapi beliau bertekad mahu meneruskan mogok lapar,” kata Mohanarani dalam satu kenyataan hari ini.
Kata Monaharani, Dr Jeyakumar berkata  walaupun sudah berkali menafikan kaitan  PSM dengan Parti Komunis Malaysia (PKM) dan  fahaman komunis tetapi pihak berkuasa itu tetap memaksa dengan tuduhan palsu.
Tuduhan menghidupkan komunisme itu katanya, hanya berdasarkan beberapa penemuan T-shirt.
Malah kebelakangan ini Dr Jeyakumar memberitahu polis berusaha mereka tuduhan baru, berdasarkan lawatan pemimpin PSM ke luar negara atas jemputan parti sosialis lain di dunia.
Ia termasuk dakwaan PSM ada hubungan rahsia dengan PKM di Thailand.
“Dr. Jeyakumar menafikan semua tuduhan palsu ini, semua soalan polis menjurus untuk mengeluarkan satu cerita karut untuk melanjutkan tempoh tahanan,” Kata Mahanarani.
Selain Dr Jeyakumar, turut ditahan di bawah EO ialah  Timbalan Pengerusi PSM, M Saraswathy, Ahli Jawatankuasa Pusat Choo Chon Kai dan M Sukumaran, Setiausaha PSM Bahagian Sungai Siput, A. Letchumanan dan  Pemuda PSM, Sarat Babu.
Undang-undang itu disifatkan sebagai kejam kerana hmenyerupai Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang membenarkan polis menahan seseorang sehingga 60 hari tanpa bicara.
Enam tahanan itu bersama 24 yang lain sebelum ini ditangkap di plaza tol Sungai Dua pada 25 Julai sewaktu menaiki bas menuju ke Pulau Pinang bagi menyertai siri kempen “Udah La Tu Bersaralah”.

1 comment :

  1. Kalau tahanan yang buat mogok lapar ni kita biarkan sampai dia mati sendiri bolehka? kan dia sendiri yang cari penyakit.!!

    ReplyDelete