BN jangan anggap rakyat sekarang bodoh

KUALA LUMPUR, 25 Julai: Umno BN diingatkan bahawa rakyat zaman ini tidak boleh diperbodohkan lagi dengan penggunaan media tradisional yang dikuasai mereka, kata Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man.

Katanya, rakyat khususnya generasi muda hari ini bebas berfikir dan mendapat maklumat biarpun cuba disembunyikan Umno BN.

"Kini, dalam rakyat kita sudah wujud satu generasi baru yang bebas berfikir, bebas mendapat maklumat dan mengetahui fakta sebenar. Disebabkan itu, kerajaan tidak seharusnya melayan rakyat seperti di era 1980-an walaupun radio nasional cuba mengembalikan nostalgia lama," katanya.

Sambil menyifatkan zaman ini zaman kebangkitan rakyat, beliau menyeru BN melihat sendiri bukti itu pada waktu ini.

Ianya termasuk kebangkitan masyarakat peneroka yang menyedari mereka ditipu di Felda bertahun-tahun, dan kini mula bangkit menyaman Felda, bahkan mereka sudah memenangi beberapa kes terhadap organisasi yang seharusnya menjaga kebajikan mereka.

Selain itu, rakyat juga sudah mula berani bangkit membantah saman ekor, kenaikan tol dan harga barangan lain.

Bukti paling jelas dan masih segar jelasnya, ditunjukkan rakyat pada himpunan Bersih 2.0 yang berlangsung 9 Julai lalu bagi menuntut pilihan raya adil dan bersih.

Namun apa yang menyedihkan kata Tuan Ibrahim, kebangkitan rakyat itu dicop sebagai penentang kerajaan dan pro pembangkang.

"Kalaulah, kerana kesempitan hidup, mereka terpaksa berhimpun membantah kenaikan harga barang, maka hilangkan status mereka sebagai rakyat jelata parti pemerintah, mereka akan dicop rakyat pro pembangkang yang tidak harus dibantu.

"Kini, apabila mereka berani untuk berhimpun menuntut sesuatu yang lebih besar dari keperluan hidup mereka iaitu satu sistem pilihanraya yang lebih adil dan bersih demi masa depan anak-anak dan cucu-cucu mereka, mereka terus dicop sebagai peserta perhimpunan haram yang patut ditembak dengan air asid dan pemedih gas mata atas dakwaan cuba menjatuhkan kerajaan," katanya.

Tambahnya lagi, kerajaan kini begitu angkuh sehingga menganggap semua yang dilakukan mereka dikatakan semuanya betul - dan semua yang dilakukan rakyat salah belaka.

Dengan semangat slogan ‘Malaysia Boleh’ kerajaan jelasnya berani melakukan apa sahaja semata-mata demi kuasa dan kerana mereka menguasai media.

"Tapi, beringatlah kerajaan bahawa pada hari ini semakin banyak rakyat yang tidak mempercayai media perdana!

"Rasa tidak puas hati rakyat semakin melebar… dan mereka sayangkan negara – tetapi jangan pula kerajaan salah anggap – sayang negara mereka bermaksud sayang kerajaan pemerintah. Pada saat mereka sayang negara, mereka juga benci pemimpin yang ego, sombong, tamak, rakus dan zalim," tegasnya.

0 Komen pengunjong :