KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden KEADILAN, Azmin Ali menegaskan Pakatan Rakyat menolak sistem biometrik kerana ia mendatangkan masalah besar dan terdedah kepada manipulasi ketika pilihan raya.
“Cadangan untuk melaksanakan sistem biometrik untuk pilihanraya ke-13 tidak menyelesaikan masalah pengundian berganda. Malah, ianya terdedah untuk dimanipulasi,” kata Azmin yang juga Pengarah Pilihan Raya Pusat KEADILAN.
Menurutnya lagi, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) sepatutnya bertindak secara bebas dalam menjamin pilihan raya bersih dan bukannya mengikut telunjuk kerajaan pimpinan Umno-BN.
Beliau dalam pada itu turut menyatakan kehairanan dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang beriya memberi peruntukan kepada SPR bagi melaksanakan sistem itu.
“Saya hairan, kenapa Perdana Menteri beriya-iya sangat memberikan peruntukan sistem yang tidak menjamin pilihan raya bersih ini”
“Melainkan ia menjurus kepada penipuan yang lebih besar, sebab itu disokong?,” katanya ketika dihubungi keadilandaily.
Tambah beliau, peruntukkan kepada SPR itu sepatutnya disalurkan untuk perkara yang lebih efektif dalam menjamin pilihan raya telus seperti menambah kakitangan dan pegawai yang lebih bebas.
Ini kerana sebelum ini, petugas SPR terdiri di kalangan pegawai dan kakitangan kerajaan yang bukan merupakan individu bebas.
“Institusi SPR itu sendiri perlu dikukuhkan dan menambaikkan lagi sistem yang ada,” ujar beliau yang sebelum ini pernah mendedahkan mengenai kewujudan pengundi hantu di rumah ibunya.
Dalam pada masa sama, Azmin turut ditanya berhubung kenyataan Timbalan Pengerusi SPR,Datuk Wan Ahmad Wan Omar bahawa SPR tidak dapat mengeluarkan nama pengundi hantu dari daftar pemilih, tanpa pengesahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
“Jika dia boleh masukkan nama (dalam daftar pemilih) takkan dia tak boleh keluarkan? Adakah kemasukan pengundi (hantu) di rumah ibu saya sebelum ini mendapat pengesahan JPN? jika benar saya cabar Wan Ahmad agar buktikan,” ujarnya.
0 Komen pengunjong :