Batal PKR - Kemuncak Penindasan Umno, Kata Tian


PETALING JAYA 19 MEI: Parti Keadilan Rakyat (PKR) menganggap tindakan Pendaftar Pertubuhan (ROS) memberi notis memansuhkan parti itu sebagai kemuncak penindasan terhadap parti-parti pembangkang oleh Umno-Barisan Nasional(BN).

Justeru, kepimpinan PKR menuntut Perdana Menteri Najib Razak dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein Onn menjelaskan agenda kerajaan bersabit serangan bertali arus PKR sejak ia ditubuhkan pada tahun 1999.

Naib Presiden PKR, Tian Chua dalam kenyataannya hari ini mendakwa Umno-BN membelakangkan persaingan sihat antara parti politik semata-mata untuk terus kekal berkuasa sehingga sanggup menindas parti-parti pembangkang dengan memperkudakan institusi-insititusi kerajaan.

"Kini datang dengan satu surat yang tidak ada kene mengena dengan prosedur yang betul. Kita tidak melihat ini perkara yang kecil, kesilapan pegawai dan sebagainya.

"Tapi saya mencabar ini memang satu rancangan yang datang dari atas. Menteri KDN harus jawab sama ada ini perancangan yang teliti yang ditujukan kepada PKR," ujar beliau kepada media sebentar tadi.

PKR mendedahkan notis yang dikeluarkan oleh ROS kepada parti itu bertarikh 9 Mei 2011 menggunakan peruntukan perlembagaan PKR yang tidak wujud.

ROS mendakwa PKR memecat ahli bernama A.Rajagopal tanpa merujuknya kepada Jawatankuasa Displin namun sekali lagi badan itu melakukan kesilapan.

Ahli yang dipecat ialah A.Jayagopal yang dipecat kerana bertanding sebagai calon bebas pada pilihanraya keciil Bukit Selambau  tahun 2009.

"Saya nampak perkara ini harus dijawab oleh Menteri Dalam Negeri (Hishammuddin) dan Perdana Menteri harus memberi penjelasan samada kerajaan mempunyai rancangan untuk mengenepikan dan menindas parti-parti pembangkang," ujar beliau.

Tian membidas serangan terbaru terhadap PKR yang menyusul kes fitnah liwat kedua Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diikuti video lucah fitnah selain intimidasi jenayah mengugut beliau untuk berundur daripada arena politik.

Sebelum ini KDN turut membatalkan permit lidah rasmi parti itu iaitu Suara Keadilan. Anwar, timbalannya Azmin Ali dan ahli Majlis Pimpinan Pusat Sivarasa Rasiah turut digantung enam bulan dari menghadiri Parlimen.

Seterusnya beliau berkata ancaman nyawa turut berlaku apabile kereta Mercedes Benz yang dinaiki Presiden Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail dikatakan disabotaj dan Nurul Izzah menerima ugutan anaknya akan diculik jika terus menyokog Anwar.

Kepimpinan parti itu turut dihalang daripada mengadakan ceramah di negeri Johor selain permit yang tidak dikeluarkan oleh polis, kata Tian.

0 Komen pengunjong :