Dewan Pemuda PAS pusat menyifatkan Barisan Nasional (BN) berada dalam keadaan terdesak sehingga terpaksa menggunakan rakaman video seks sebagai “senjata utama” untuk menjatuhkan Pakatan Rakyat dan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pengarah Pilihan Raya Dewan Pemuda PAS pusat Mohd Firdaus Jaafar berkata pihaknya membidas stategi tersebut yang disifatkan untuk mengaibkan dan menjatuhkan kredibiliti Anwar selaku Ketua Umum PKR.
“Dewan Pemuda PAS pusat membidas kerajaan Umno-BN yang menggunakan strategi politik video lucah serta mengaibkan dalam menjatuhkan kredibiliti Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Tindakan ini jelas menunjukkan pemimpin Umno-BN berada dalam keadaan terdesak dalam menyekat arus kebangkitan Pakatan Rakyat serta pengaruh Datuk Seri Anwar Ibrahim terhadap rakyat Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan.
Kata Mohd Firdaus, pihaknya juga mempersoalkan sikap Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang mengambil sikap lepas tangan kerana tidak mengambil sebarang tindakan terhadap “Datuk T”, individu yang mendedahkan rakaman video seks itu.
“Datuk T” terdiri daripada ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah, bekas ketua menteri Melaka Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik dan bekas bendahari agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Ketiga-tiga indivitu itu telah menggemparkan negara apabila bertindak mempertontokan rakaman video seks itu kepada wakil media terpilih di hotel Carcosa Seri Negara, 21 Mac lalu.
Sehari selepas pendedahan itu, Anwar telah membuat laporan polis dan menafikan beliau adalah lelaki dalam rakaman video seks itu.
“Kami juga kecewa kerana polis yang terkenal cekap dan tangkas tidak mampu membendung video itu daripada berleluasa.
“Sehingga hari ini trio Datuk T masih tidak ditangkap dan didakwa sedangkan merekalah menyebar asal video seks. Adakah PDRM juga memainkan peranan penting dalam membenarkan konspirasi politik menjatuhkan kepemimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim?” soal beliau.
“Agaknya kalaulah video itu membabitkan pemimpin utama negara hari ini, sudah tentu PDRM bertindak sepantas kilat dalam membendung penyebaran video seks tersebut. Barangkali sudah tentu penyebar video seks itu telah awal-awal lagi disumbat ke dalam ISA serta mengharamkan mana-mana akhbar memainkan isu ini,” kata Mohd Firdaus.
Menurut Ahli Parlimen Jerai itu, pihaknya kesal dengan tindakan pihak tertentu yang memuat naik satu lagi rakaman klip video aksi seks itu di lama “Youtube” semalam.
Ekoran klip tersebut akhbar arus perdana menjadikan ia sebagai paparan utama hari ini.
“Kami kesal kerana siri kedua video klip lucah dibiarkan ditayangkan untuk tatapan awam sehinggakan gambar sedutan video seks tersebut dijadikan objek utama dalam akhbar arus perdana hari ini.
“Apakah motif sebenar gambar video seks dijadikan bahan utama di dada akhbar hari ini selain untuk mencemar imej pemimpin tersebut? Apakah dengan penyiaran gambar itu dapat mendidik rakyat Malaysia ke arah yang lebih positif?” katanya.
Justeru Mohd Firdaus percaya ia adalah satu konsprirasi yang dilakukan untuk menjatuhkan Anwar seperti mana yang dilakukan pada 1998 sehingga Ahli Parlimen Permatang Pauh itu dipenjarakan.
“Kami tetap percaya bahawa isu ini adalah konspirasi politik tahap tertinggi dan mengulangi episod memalukan pada 1998 terhadap Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami yakin rakyat turut berpandangan yang sama dengan melihat layanan serta tindakan kerajaan dan PDRM berhubung isu ini,” katanya.
Wakil rakyat PAS itu juga menyifatkan tuduhan yang dilemparkan terhadap Anwar itu bertentangan dengan ajaran Islam.
“Kami bertegas menolak modus operandi politik lucah dan melampau seperti yang dijalankan sekarang kerana jelas ia bertentangan dengan Islam.
“Islam menetapkan tuduhan terhadap pelaku zina mesti disertai dengan empat orang saksi yang menyaksikan kejadian tersebut. Sekiranya pihak pendakwa gagal mengemukakan saksi, maka tuduhan qazaf perlu dikenakan terhadap trio Datuk T,” katanya lagi.
0 Komen pengunjong :