Wanita Pertama: Kenyataan keliru daripada Nazri


PETALING JAYA: Kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Dewan Rakyat hari ini disifatkan sebagai dangkal, mengelirukan dan percubaan menghina Perlembagaan negara berhubung isu Wanita Pertama Malaysia.
Menurut Ahli Parlimen Ampang Zuraida Kamaruddin, ini kerana peruntukan di bawah Perkara 32 (2) Perlembagaan Persekutuan dalam
Bab 1 berkaitan, jelas menyatakan hak gelaran Wanita Pertama Malaysia adalah milik Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.
Zuraida berkata demikian sebagai respon kepada jawapan Nazri berhubung soalan Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul berkaitan takrifan wanita pertama dan penyediaan peruntukan berkaitan boleh disifatkan sebagai kenyataan ‘play-safe’, penuh niat putar belit dan berunsur manipulasi terhadap Perlembagaan Persekutuan.
Menurut beliau, jawapan Nazri yang mendakwa bahawa penggunaan gelaran Wanita Pertama hanyalah sebagai kod amalan menunjukkan bahawa beliau sebenarnya dangkal dan cuba menghina Perlembagaan negara.
Katanya Perkara 32 (2) berbunyi, “Ketua Utama Negara bagi Persekutuan, dan Isteri Yang di-Pertuan Agong (digelar Raja Permaisuri Agong) hendaklah diberi keutamaan daripada segala orang lain di dalam Persekutuan selepas Yang di-Pertuan Agong”.
“Jika benar penggunaan gelaran Wanita Pertama hanyalah sebuah kod amalan seperti yang didakwa, maka saya pasti bahawa isteri
Perdana Menteri juga tertakluk dibawah Kod Protokol yang ditetapkan Jabatan Perdana Menteri, dengan mengambil kira beliau hanya sebagai seorang pegawai kakitangan buat Perdana Menteri,” katanya dipetik melalui kenyataan kepada FMT.
Zuraida yang juga Ketua Wanita PKR turut mempersoalkan bagaimana peruntukan sebanyak RM4.5 juta boleh diluluskan buat seorang ‘’kakitangan’ untuk menganjurkan Sidang Kemuncak Wanita Pertama.
“Apakah seorang ‘kakitangan’ juga dibenarkan berkempen dan membuat pelbagai janji secara melampau dengan menggunakan wang kerajaan sewaktu pilihan raya, yang sehingga kini satu pun tidak tertunai?
“Adakah wujud pula Kod Protokol istimewa dan khas, yang hanya terpakai untuk Isteri Perdana Menteri?” soalnya.
Beliau menggesa agar Nazri menjawab dengan jujur, berpaksikan fakta dan realiti yang tepat bagi membuktikan bahawa beliau benar- benar bebas daripada tekanan mana-mana pihak dalam menjalankan tugasnya.

0 Komen pengunjong :