SHAH ALAM 29 MAC : Penafian tergesa-gesa Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri dan tiga individu yang menggelar diri Datuk T bahawa polis terlibat dalam fitnah video seks adalah “menarik’ dan merangsangkan pelbagai persepsi mengenai isu itu, kata Ketua Angkatan Muda AMK Samsul iskandar Mohd Akin.
Samsul berkata Datuk Seri Hishamuddin Hussein, selaku Menteri Dalam Negeri khususnya bingkas menafikan pembabitan polis, walaupun tidak ada tuduhan sebegitu dibuat ketika itu.
“Peringkat awal video itu didedahkan dan terdapat penafian keras oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim maka secara tiba-tiba Datuk Najib dan Hishamuddin kata polis tidak terlibat. Kita tidak tuduh pun polis terlibat tetapi Hishamuddin menjawab bagi pihak polis, polis tidak terlibat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu fokus berita, Menyanggah Politik Khianat yang disiarkan oleh TV Selangor.
Turut hadir sebagai tetamu ialah Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul dan blogger dan aktivis masyarakat, Hishamuddin Rais.
Hishamuddin semalam berkata beliau akan menyaman Datuk Seri Anwar ibrahim kerana mendakwa polis terbabit dalam isu fitnah video itu.
Pelbagai pihak termasuk peguam dan ahli politk membidas polis kerana tidak mengambil tindakan terhadap tiga Datuk T – Tan Sri Abdul Rahim Thamby Chik, Datuk Shazryl Eskay dan Datuk Shuib Lazim yang mengaku mendalangi penayangan video itu di sebuah hotel di Kuala Lumpur 21 Mac lalu.
Perbuatan itu adalah jenayah dan boleh disabit hukuman penjara tiga tahun.
Polis bagaimanapun hanya bertindak mengambil keterangan daripada tiga individu itu dan kini menyiasat sama ada orang dalam rakaman itu adalah Datuk Seri Anwar ibrahim.
Menurut Shamsul, Hishamuddin tidak perlu melatah mengenai pembabitan polis dalam video itu tetapi isu yang pokok adalah politik fitnah dibenarkan berleluasa.
“Yang menjadi kekhuatiran kita sekarang ini adalah dibawah pimpinan Barisan Nasional perkembangan politik negara adalah tidak positif. Sepatutnya politik negara kita sekarang berada dalam lingkungan membicarakan dasar dan tata kelola yang baik. Namun ia tidak berlaku,” katanya.
0 Komen pengunjong :