JASIN, 1 Mac: Tindakan PAS bekerjasama dengan DAP dan berada dalam Pakatan Rakyat bukan ‘perbincangan kedai kopi’ sebaliknya mendapat sokongan daripada gerakan Islam di seluruh dunia.
Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, keputusan untuk menubuhkan Pakatan Rakyat (dahulu dikenali sebagai Barisan Alternatif) dan bekerjasama dengan parti bukan Islam dicapai hasil perbincangan panjang dengan pemimpin-pemimpin gerakan Islam yang dipengerusikan oleh Pengerusi Kesatuan Ulama Sedunia, Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi.
Menurutnya, Presiden PAS ketika itu Datuk Fadzil Mohd Noor mengarahkan beliau yang ketika itu memegang lajnah antarabangsa PAS Pusat mengatur pertemuan dengan pemimpin-pemimpin gerakan Islam dunia untuk berbincang mengenai pendekatan politik yang harus dilaksanakan di Malaysia.
Ini berikutan pergolakan politik melibatkan pemecatan jawatan Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Timbalan Perdana Menteri dan dakwaan beliau terlibat dalam kes liwat.
"Kita tubuhkan Pakatan Rakyat pada tahun 1998 bukan kita bincang di kedai kopi tapi dicapai selepas pertemuan 13 orang pimpinan terkanan PAS yang diketuai Allahyarham Ustaz Fadzil (Noor), Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi (Awang), Datuk Harun Taib dan pimpinan lain dengan 13 orang pemimpin gerakan Islam Antarabangsa.
"Majlis itu dipengerusikan Syeikh Dr Yusuf Al-Qardhawi di England. Tiga hari tiga malam kita bincang akhirnya keputusan dicapai, dibaca sendiri oleh Dr. Yusuf Qardhawi," katanya dalam ceramah di Kampung Chin Chin, dekat sini, malam tadi.
Nasharudin berkata, menurut Dr Yusuf Al-Qardhawi, dalam konteks Malaysia, gerakan Islam harus berkerjasama dengan parti bukan Islam yang menyokong prinsip keadilan dan ingin melawan kezaliman Umno BN.
"Untuk kita bawa risalah keadilan dan untuk rakyat rasa keadilan, menjadi satu dasar kepada pergerakan kerja kita ini, kita kena berganding bahu dengan mana-mana parti politik yang walaupun nama dan dasarnya tidak Islam asalkan mereka itu bersedia menerima prinsip yang diperjuangkan PAS.
"kita kena berkawan dengan dia dan lawan kezaliman yang dilakukan Umno BN," katanya di hadapan kira-kira 200 penyokong yang hadir.
Justeru ujar ahli Parlimen Bachok itu, dakwaan Umno BN bahawa PAS menjadi kuda tunggangan DAP adalah tidak berasas dan menggambarkan parti itu ketandusan isu.
"Umno kata PAS ini kuda tunggangan DAP. Ini perkara yang dimainkan sebab (Umno BN) dah tak ada isu," katanya.
Ahad lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika berucap di Majlis Mesra Bersama Warga Felda Jengka 23 berkata, PAS sepatutnya bekerjasama dengan Umno untuk memperjuangkan isu-isu berkaitan umat Islam di negara ini dan bukannya memilih DAP untuk bersahabat.
0 Komen pengunjong :