Radioaktif: Rakyat Jepun, warga asing di Tokyo mula panik



TOKYO, 15 Mac — Tokyo diselubungi perasaan panik selepas kerajaan mengesahkan paras radioaktif di sekitar kawasan timur laut negara itu yang dilanda gempa bumi, menyebabkan sebahagian kecil penduduk mula meninggalkan ibu negara Jepun itu.
Laporan dari Jepun juga menyebut penduduk tempatan mula menambah simpanan stok keperluan rumah.
Beberapa kedutaan asing juga menasihatkan kakitangan dan rakyat negara masing-masing agar meninggalkan tempat-tempat yang terjejas dan syarikat-syarikat multinasional juga mengambil langkah sama ada menggesa kakitangannya menjauhi kawasan terbabit atau menimbang untuk memindahkan mereka ke luar Tokyo.
Menggambarkan perasaan panik di kalangan warga kota Tokyo, tinjauan Reuters hari ini menunjukkan Don Quixote, kedai 24 jam di daerah Roppongi telah kehabisan radio, lilin, tin-tin minyak dan beg tidur.
Terdahulu Perdana Menteri Jepun mengesahkan kebocoran radiasi pada kadar yang tinggi di kawasan timur laut yang menempatkan loji-loji tenaga nuklear.
Pelancong-pelacong asing seperti Christy Niver dari Egan, Minnesota berkata mereka mengalami pengalaman menakutkan dan mahu meninggalkan Tokyo segera.
Anak perempuannya berusia 10 tahun, Lucy kelihatan lebih tegas untuk meninggalkan Tokyo.
“Saya takut. Saya sangat takut, saya lebih rela hadapi tornado,” katanya.
“Saya mahu tinggalkan (kawasan ini),” katanya lagi.
Pasukan Czech Symphony Orchestra juga meninggalkan Tokyo dengan bas menuju wilayah Ishikawa di sebelah barat Jepun selepas konsert mereka di sini dibatalkan.
“Sebahagian mahu kembali ke kampung halaman mereka selepas gempa bumi, tetapi sukar untuk mendapatkan tiket bagi seratus orang sekarang,” kata Hitomi Sakuma, pemain piano.
Bank utama Amerika Syarikat, Citigroup juga berkata pihaknya secara konsisten memaklumkan pekerjanya berhubung perkembangan semasa tetapi belum ada arahan supaya memindah keluar mereka dari Tokyo.
Beberapa wartawan antarabangsa yang membuat liputan di kawasan bandar raya Sendai, yang teruk dilanda gempa bumi dan tsunami yang meragut sekurang-kurangnya 10,000 orang, juga meningalkan kawasan tersebut.
Pejabat Michael Page International, syarikat perkhidmatan pengambilan pekerja Britain di sini, juga ditutup selama seminggu.
“Saya akan pergi ke Singapura esok dan akan bekerja dari pejabat kami di Singapura,” kata seorang pekerjanya.
Agensi berita Kyodo kadar radiasi setiap minit juga dikesan di Tokyo dengan paras radiasi di Saitama dekat ibu negara Jepun itu sekitar 40 kali lebih tinggi berbanding paras normal - tidak cukup untuk menyebabkan kemudahan ke atas orang ramai tetapi ia sudah cukup untuk mencetuskan rasa panik.
Sekitar 12 juta orang tinggal di kawasan metropolis itu.
Angin sedang menerbangkan secara perlahan-perlahan radiasi dari loji tenaga nuklear Fukushima Daiichi, yang terletak kira-kira 240 kilometer ke utara Tokyo.

0 Komen pengunjong :