Nazri sahkan Rosmah sebagai First Lady tapi nafi FLOM wujud


KUALA LUMPUR: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz hari ini mengesahkan Datin Seri Rosmah Mansor adalah Wanita Pertama atau ‘First Lady’.
Ahli Parlimen Padang Rengas itu berkata, First Lady adalah isteri kepada ketua eksekutif sesebuah negara iaitu isteri kepada Perdana Menteri dan tidak bercanggah dengan amalan dan protokal di negara ini.
Nazri juga menyatakan, tiada peruntukan kewangan khusus untuk membiayai kegiatan isteri Perdana Menteri atau disalur Bahagian Pertama Wanita Pertama (FLOM) yang dianggapnya sebagai tidak wujud.
Demikian jawapannya kepada soalan bertulis Johari Abdul (KEADILAN-Sungai Petani) yang bertanyakan takrifan Jabatan Perdana Menteri terhadap gelaran Wanita Pertama Malaysia, sama ada merujuk isteri Perdana Menteri atau Raja Permaisuri Agong.
Malah, beliau memberi contoh ketika Persidangan Negara-negara Komanwel (CHOGM), isteri-isteri ketua eksekutif negara, digelar sebagai Wanita Pertama.
Mengulas hal itu, Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin percaya Nazri tidak berani menjelaskan status sebenar FLOM kerana takut dengan Rosmah.
Beliau juga kesal dengan Nazri memberi jawapan tidak tepat berhubung isu peruntukan.
“Ini jawapan berdolak dalik. Menteri tidak memberikan jawapan yang tepat. Apakah kerana dia takut kepada Rosmah?” kata Zuraida ketika ditemui di lobi Parlimen.
Zuraida turut mempersoal percanggahan fakta kerana dalam jawapan Menteri yang sama sebelum ini, lebih RM134,000 digunakan untuk membiayai perbelanjaan kegiatan Rosmah ke beberapa negara.
“Jadi, kalau tidak menggunakan peruntukan dari FLOM, dari mana datangnya wang itu?” soalnya.

0 Komen pengunjong :