KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Kuala Selangor, Dr Dzulkefly Ahmad mempersoalkan nasib yang bakal menimpa pengeluar kereta nasional Proton dan Perodua, menjelang pelaksanaan Kawasan Perdagangan Bebas Asean (AFTA) pada 2015.
Menurutnya, persaingan selepas penguatkuasaan AFTA tidak lagi mengizinkan dasar perlindungan untuk kereta nasional diteruskan samada melalui kaedah tarif, eksais, pemberian geran dan pelbagai cara lagi oleh kerajaan.
“Umum tahu bagaimana selama ini kerajaan telah melindung kereta nasional dengan mengenakan regim tarif dan eksais yang tinggi atas kereta-kereta impot dan tempatan sehingga harga kereta-kereta import termasuk kereta nasional kita, contohnya model Waja tempatan adalah dua kali ganda berbanding di saudi Arabia.
“Perlindungan itu juga datang dalam bentuk geran R&D dari kerajaan,” ujar beliau dalam satu tulisan yang disiarkan dalam blognya semalam.
Dr Dzulkefli berkata, berdasarkan tinjauan laporan kewangan untuk tiga tahun terakhir Proton mendapati, sekiranya pengeluar kereta tempatan itu tidak dibantu dengan pemberian geran, Proton berada dalam keadaan defisit dan kerugian.
Jelas beliau, pada 2008, laporan tahunan yang menyebut keuntungan bersih Proton sebanyak RM184.5 juta sebenarnya dibantu pemberian geran R&D daripada kerajaan iaitu sebanyak RM289 juta bagi mengelak kerugian ditanggung sebanyak RM9.2 juta.
Bagi tahun 2009, keuntungan bersih yang dicatatkan sebanyak RM301.8 juta juga dibantu pengeluaran geran R&D sebanyak RM80.7 juta. Begitu juga bagi 2010 di mana keuntungan diperoleh RM289 juta disebabkan bantuan sebanyak RM143 juta daripada kerajaan iaitu setengah daripada keuntungan bersih Proton.
Sehubungan itu katanya, kerajaan diingatkan bahawa negara jiran seperti Thailand misalnya, bakal menjadi pengeluar kereta terbesar Asean menjelang 2015 dengan menyasarkan pengeluaran 2 juta unit kereta bagi tujuan eksport dan 1 juta untuk keperluan domestik.
Begitu juga Indonesia yang telah merangka langkah-langkah konkrit untuk berdepan dengan persaingan yang lebih sengit selepas penguatkuasaan AFTA dengan meningkatkan pengeluaran sebanyak 2 juta unit setahun.
“Malaysia diingatakan bahawa kita hanya mampu menjual sejumlah 620,000 unit tahun lalu. Tuntutan ’economy of scale’ menuntut supaya kita mengeluarkan paling tidaknya 10,000 unit sebulan,”
“Kalau benar-benar kita mahu mendayasaingkan kereta nasional kita selepas AFTA 2015, maka tidak ada caranya untuk kita lakukan kecuali dengan mendapatkan rakan strategik yang hebat sekaligus menyelamatkan 250 syarikat vendor dan ’dealers’ dalam sektor automobil nasional ini,” ujar beliau.
Bagaimanapun katanya, PAS dan Pakatan Rakyat, tidak melihat langka-langkah konkrit yang diambil kerajaan bagi mendepani cabaran AFTA-2015.
Justeru kerajaan digesa memberi fokus kepada penyelesaian ini termasuk menganjurkan kaedah penggabungan samada di antara Proton dan Perodua serta di antara syarikat pembekal dan pengedar kereta bagi meningkatkan dayasaing.
0 Komen pengunjong :