Malaysia Bebas Kesan Radiasi, Kata Pakar


SHAH ALAM 17 MAC : Pensyarah Jabatan Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Sukiman Sarmani mengesahkan Malaysia bebas daripada sebarang penyebaran radioaktif akibat dari kebakaran loji nuklear di Jepun.

Beliau ketika dihubungi Tv Selangor berkata, sebaran radioaktif di Jepun berada pada tahap empat yang hanya menyebabkan risiko penyebaran radioaktif pada radius 3km.

"Dalam keadaan sekarang ini tidak ada, tidak akan berlaku hujan radioaktif ataupun hujan asid akibat daripada bencana yang menimpa loji nuklear Fukushima.

"Dan kesannya hanya pada sekitar 3 kilometer, sebab itulah dipanggil insiden ini ikut kategori antarabangsa masih di tahap empat, maknanya pencemaran untuk kawasan setempat, jadi oleh itu tidak sampailah ke negara-negara lain,"jelas beliau.
Ujarnya, kadar sebaran itu akan menurun sedikit demi sedikit dan disebabkan itu, loji nuklear yang meletup tidak akan menyebarkan radioaktif sehingaa sampai ke negara ini. 

"Jika kita lihat kemalangan di reaktor Fukushima itu yang terbebas adalah bahan radioaktif berhayat pendek yang paling banyak, sebab itu kadar sinaran yang diterima di dalam kawasan reaktor, mula-mula tinggi tetapi dalam masa satu jam merundum turun ke bawah,"jelas beliau.

Katanya lagi terdapat beberapa faktor yang menyebabkan bahan itu tidak akan sampai ke Malaysia, antaranya adalah kadar tiupan angin dari Jepun untuk sampai
ke Malaysia perlu melalui beberapa negara dan jarak yang jauh antara Malaysia dan Jepun.

"Jika sekiranya sampai tahap 7 seperti mana yang berlaku di Chenobile, seandainya bahan yang sampai ke Malaysia ini pun hanya sedikit, kerana pertama kita jauh dan keduanya keadaan tiupan angin pada masa ini hala ke utara dan juga timur laut.

"Kita boleh kesan sama ada (radioaktif) boleh sampai atau tidak ialah melalui stesen kita di Kudat dan Kota Kinabalu yang setakat hari ini masih mencatatkan kadar yang normal, di mana tidak ada pertambahan bahan-bahan radiokatif, begitu juga stesen lain di Chuping, Perlis dan juga di selatan di Johor Bahru di Senai,"jelasnya lagi.

Terdahulu Malaysia pernah mengalami insiden yang sama seperti ini, apabila berlaku letupan di loji nuklear Chernobyl di Ukraine pada 1986 tetapi tidak mendapat impak yang ketara pada waktu itu.

Baru-baru ini rakyat Malaysia mendapat sebaran maklumat melalui SMS dan laman sosial Facebook, yang mengatakan Malaysia akan mendapat kesan hujan asid akibat daripada letupan loji nuklear Fukushima yang meletup akibat gempa bumi.

0 Komen pengunjong :