Kereta Anwar Dikepung, Dibaling Batu Oleh 'Samseng' BN




SHAH ALAM 4 MAC: Kenderaan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim diserang penyokong BN dalam satu insiden serangan ala-samseng di Kerdau, malam semalam.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Pahang, Ahmad Nizam Hamid memberitahu serangan tersebut berlaku semasa kenderaan yang dinaiki oleh Anwar memasuki simpang menghala FELDA Jengka 22 bagi menghadiri ceramah.

Beliau menjelaskan, sekumpulan penyokong BN memakai baju biru dan putih serta vest yang tertera logo BN yang kelihatan sememangnya menunggu kedatangan kenderaan Anwar menghalang kenderaan tersebut daripada memasuki kawasan Jengka 22.

Ahmad yang turut berada di dalam kereta bersama Anwar berkata beliau dapat mendengar para penyokong BN memaki Anwar serta PR menggunakan kata-kata kesat.
"Mereka ini pakai baju biru, ada pakai baju putih dan ada yang pakai vest BN, dengan bendera BN. Ada juga yang memakai pelekat 'Kami tak mahu peliwat'lah, 'pengkhianat negara', 'pengkhianat bangsa'dan sebagainya. Mereka kepung kereta dan mula membaling batu. Ada yang ketuk kereta dengan kayu tiang bendera," kata beliau ketika dihubungi Tv Selangor.

Beliau seterusnya menghubungi polis bagi mendapatkan perlindungan untuk Anwar serta ahli-ahli PR lain yang turut bersama mereka pada masa itu.
"Kemudian apa yang telah berlaku ialah, mereka telah menaburkan paku di kawasan ceramah. Banyak kereta yang rosak, dan banyak juga motosikal petugas kita dan yang datang, pancit. Ada kereta yang diguris," kata beliau.

Ahmad seterusnya berkata laporan polis sudah pun dibuat hari ini dan AMK Pahang juga bercadang untuk membuat laporan polis esok berkenaan isu sama.

0 Komen pengunjong :