Banjir di Kedah bukan gelanggang politik

banjirPETALING JAYA: Konsensus Bebas memandang jijik dan mengutuk sekeras-kerasnya apa-apa tindakan atau aktiviti yang bertujuan untuk mempolitikkan usaha membantu mangsa banjir di negeri Kedah.
Demikian menurut ahli-ahli parlimen konsensus bebas dalam blog mereka hari ini, www.konsensusbebas.org "Kedah kini menghadapi paras banjir yang tertinggi dalam tempoh seratus tahun. Akibatnya beratus ribu keluarga terpaksa dipindahkan dari rumah-rumah mereka.
"Empat nyawa terkorban susulan kenaikan paras air. Rakyat jelata negeri Kedah sekarang di dalam kesusahan yang amat sangat akibat bencana alam yang tidak dijangka keterukannya, kata blog tersebut.
Kenyataan dalam blog itu berkata, tatkala waktu yang amat kritikal ini, di mana rakyat memerlukan pertolongan dan segala jenis bantuan dengan segera, ada pula pihak-pihak yang telah mengambil kesempatan untuk mempolitikkan keadaan dan cuba mengaut "markah politik" (political points).
"Ini amatlah menyedihkan dan menyakitkan hati sesiapa yang waras," tambah kenyataan itu.
Ketepikan fahaman politik
Konsensus Bebas menyeru semua parti-parti politik untuk serta-merta mengenepikan perbezaan fahaman dan sikap hendak mengaut keuntungan politik di dalam krisis banjir Kedah.
Kesemua pihak mestilah meletakkan bantuan kepada rakyat yang dilanda kesusahan sebagai objektif tunggal dan utama. Menghulurkan bantuan dari bot yang mengibarkan bendera parti yang besar sambil diiringi jurukamera dan wartawan akhbar adalah perbuatan keji berbau politik dan tidak bermoral yang wajar dihanyutkan dan ditenggelami bersama air banjir sahaja.
Sehubungan itu, kritikan dan tuduh-menuduh antara kerajaan persekutuan dan kerajaan negeri tatkala rakyat sedang merana menjadi mangsa banjir amatlah dikesali.
Apa yang dikehendaki rakyat jelata adalah sokongan dan kesediaan dari kerajaan persekutuan untuk membantu kerajaan negeri ketika bantuan amat diperlukan oleh rakyat negeri Kedah.
Konsensus Bebas menyeru semua pihak untuk memandang serius dan mengambil iktibar saranan Sultan Kedah untuk mengenepikan fahaman dan perbezaan politik, dan segera tampil untuk memberi bantuan kepada semua mangsa banjir di Kedah.
"Kesukaran rakyat akibat bencana alam bukanlah gelanggang untuk persaingan politik," ujar kenyataan itu.

0 Komen pengunjong :