Tengku Razaleigh nafi ada masalah dengan calon BN

GUA MUSANG, 27 Okt — Ketua Umno Bahagian Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah berkata dakwaan kononnya beliau mempunyai masalah dengan calon Barisan Nasional bagi pilihan raya kecil bagi kerusi Dewan Undangan Negeri Kelantan kawasan Galas, Abdul Aziz Yusoff, adalah satu cubaan pembangkang untuk “melaga-lagakan kita”.
Ketika menafikan dakwaan itu, yang timbul setelah beliau tidak kelihatan mengiringi Abdul Aziz ke pusat penamaan calon di sini semalam walaupun beliau adalah pengarah pilihan raya BN bagi kerusi itu, Tengku Razaleigh berkata beliau kebiasaannya tidak akan pergi ke proses penyerahan kertas penamaan calon.
“Lagipun ramai daripada rakan-rakan saya pun bersama dengan calon untuk menyerah kertas penamaan calon. Jadi saya rasa elok saya berada di luar bersama-sama dengan penyokong dan pekerja kita dari merata tempat seluruh negara berhimpun di situ, tidak menjadi masalah,” katanya ketika ditemui semasa membuat tinjauan mesra di Kampung Baru di sini malam tadi.
Ditanya sama ada beliau berkecil hati dengan Abdul Aziz seperti dakwaan pembangkang, Tengku Razaleigh berkata: “Kecil hati pasal apa. Itu perkara biasa (bagi pembangkang) mencari isu untuk melaga-lagakan kita.”
Katanya, usaha pembangkang itu tidak akan berhasil kerana beliau sendiri serta Jawatankuasa Umno Bahagaian Gua Musang menyokong penuh pemilihan Abdul Aziz.
Mengulas  cara kempen di Galas yang dilihat agak berbeza dengan kempen pilihan raya kecil di kawasan lain sebelum ini, Tengku Razaleigh berkata perubahan pendekatan kempen perlu untuk memastikan kemenangan BN.
“Kempen kali ini seolah-olah kempen saudara sahaja. Saya nak anjurkan ‘‘friendly contest’’ dan saya turun kepada peti-peti undi, jadi tidak ada kuasa di peringkat bahagian seperti mana biasa.
“Jadi sememangnya wajar ini berlaku kerana segala kegiatan sepatutnya dilakukan di kawasan peti undi di cawangan ahli dan penyokong berada di kawasan berkenaan. Kita kawal pengundi, jadi itulah sebab kita menyusun jentera kita sedemikian rupa dan lain-lain datang membantu termasuk saya pun membantu,” katanya.
Tengku Razaleigh berkata beliau tidak pernah menghalang mana-mana menteri atau pemimpin parti untuk turun membantu jentera BN dalam kempen ini kerana ia amat dialu-alukan untuk memastikan BN mampu merampas kembali kawasan DUN Galas.       
Bagaimanapun, beliau berkata semua lawatan dan program tersebut perlu diselaraskan untuk mengelak pertindihan.
Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Chek Hashim Sulaima, 46, pada 27 Sept lepas akibat barah. Pengundian ialah pada 4 Nov ini.

— Bernama

0 Komen pengunjong :