Mahkamah Tolak Lagi Permohonan Anwar Dapatkan Keterangan Saiful

  AI39PUTRAJAYA 18 Okt - Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar ibrahim mempersoalkan keputusan Mahkamah Persekutuan hari ini yang menolak permohonan beliau untuk mendapatkan kenyataan Mohd Saiful Bukhari Azlan yang dibuat kepada pihak polis padan Julai 2008.

"Kenapa nafikan hak saya untuk mempertahankan diri dalam perbicaraan walhal keterangan Saiful di dalam mahkamah  bercanggah dengan keterangan yang dibuat kepada pihak polis," Anwar memberi komen dalam twitternya petang tadi.

Sebelum itu Hakim Besar Malaya Tan Sri Ariffin Zakaria menolak permohonan tersebut atas alasan ia tidak layak dirayu kerana  tidak termaktub di bawah undang-undang.

Ariffin membuat keputusan itu bersama dua panel hakim Mahkamah Persekutuan iaitu Tan Sri James Foong dan Datuk Seri Md Raus Shariff.

Ketika dihubungi Suara Keadilan, peguam Sankara Nair berkata rayuan itu merupakan rayuan yang terakhir selepas Anwar gagal untuk mendapatkan dokumen tersebut dalam dua permohonannya di Mahkamah Rayuan dan Mahkamah Tinggi sebelum ini.

"Kes akan diteruskan seperti biasa setelah hakim menolak permohonan kami buat kali terakhir," kata Sankara ringkas.

Pada 25 Jun lepas, Hakim mahkamah Rayuan, Datuk Sulong Matjeraie, Datuk Ramly Ali dan Datuk Zaharah Ibrahim mengekalkan bahawa mereka tidak ada bidang kuasa untuk mendengar dan melayan rayuan itu kerana keputusan Mahkamah Tinggi mengenai perkara tersebut bukanlah yang terakhir yang mempunyai kesan yang akhirnya menetapkan hak-hak pihak berkenaan.

Anwar, 63, dituduh meliwat bekas pembantunya itu di Unit 11-5-1 Kondominium Desa Damansara, No.99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.

0 Komen pengunjong :