Hentikan penahanan suspek pemerdagangan orang di bawah ISA

Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) menggesa Kerajaan untuk mengkaji semula penahanan tujuh pegawai Imigresen dan suspek-suspek pemerdagangan orang di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) baru-baru ini.
Pegawai-pegawai imigresen yang ditahan dilaporkan bertugas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT), Sepang kerana terlibat dengan sindiket pemerdagangan orang.
SUHAKAM menyifatkan penggunaan ISA terhadap suspek-suspek pemerdagangan orang tersebut jelas melanggar prinsip hak asasi manusia.  Ini kerana terdapat undang-undang khusus yang tersedia ada bagi kes-kes pemerdagangan orang, iaitu Akta Anti Pemerdagangan Orang 2007.
SUHAKAM memandang berat penggunaan penahanan tanpa bicara dan menyarankan semula supaya semua tahanan ISA didakwa di mahkamah untuk menjamin pengadilan sebagai hak asasi manusia serta sebagai tindakan pencegahan jenayah yang berkesan.  Tindakan menahan seseorang tanpa sebarang perbicaraan adalah bercanggah dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948 (UDHR) yang memberi penekanan terhadap hak kepada nyawa, kebebasan dan keselamatan diri; tiada sesiapapun boleh dikenakan tangkapan, tahanan atau pembuangan negeri secara arbitrari; dan setiap individu berhak kepada perbicaraan adil dan terbuka oleh tribunal bebas dan saksama (Artikel 3, 9 dan 10).

*Kenyataan media oleh Hasmy Agam selaku Pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM).

- Merdeka Review

0 Komen pengunjong :