GUA MUSANG, 29 Okt — Penasihat Jentera Pilihan Raya PAS DUN Galas, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah menyifatkan Zulkifli Noordin sebagai “joker” ekoran dakwaannya bahawa PKR dan DAP mengadakan “kontrak rahsia” bagi memastikan dominasi Cina jika Pakatan Rakyat (PR) mengambil alih Putrajaya.
Semalam, Ahli Parlimen Kulim Bandar-Baharu itu, bekas wakil rakyat PKR, mendakwa PAS juga tidak sedar tentang kewujudan kontrak tersebut.
Ketiga-tiga parti itu menganggotai Pakatan Rakyat (PR) sejak pilihan raya umum 2008.
“Saya tak berminat nak beri respons terhadap dakwaan beliau (Zulkifli).
“Beliau ini ‘joker’, sebab itu saya malas nak respons apa jua yang beliau cakap,” kata Wan Abdul Rahim yang juga Ahli Parlimen PAS kerusi Kota Baru pada sidang media harian di Markas Pilihan Raya Kecil PAS DUN Galas di sini.
Pemimpin dari Kelantan ini juga menegaskan, dakwaan yang dibuat Zulkifli tidak akan menjejaskan kempen pilihan raya parti Islam itu di Dewan Undangan Negeri (DUN) Galas.
“Tidak terjejas apa-apa pun,” katanya.
Pengundian diadakan 4 November ini.
“Kontrak ini menjanjikan bahawa pemimpin-pemimpin Cina dalam DAP akan diberikan autonomi di Pulau Pinang (jika PR memerintah),” kata Zulkifli ketika membahaskan Bajet 2011 di Dewan Rakyat semalam.
Wakil rakyat Bebas ini, yang satu ketika dahulu rapat dengan Ketua Umum PR Datuk Seri Anwar Ibrahim mengecam DAP dengan menyifatkan parti itu sebagai “parti dijangkiti elemen cauvinis” dan mendakwa ia bertanggungjawab terhadap rusuhan 13 Mei 1969.
“(Sekiranya PR mengambil alih kuasa) calon-calon Melayu akan diletakkan di Negeri Sembilan dan Perak. Dan, jika mereka menang (di negeri-negeri ini), mereka akan melantik menteri besar kalangan DAP untuk mengetuai negeri-negeri ini,” kata beliau lagi.
Namun pemimpin PKR dan DAP menafikan dengan sekeras-kerasnya dakwaan itu bahawa mereka mengadakan pakatan rahsia dengan mengetepikan PAS bagi menjamin dominasi kepimpinan Cina jika PR menguasai Putrajaya.
Kepimpinan PKR dan DAP membidas Zulkifli yang keluar PKR awal tahun ini, sebagai pembohong yang memutarbelitkan cerita untuk ‘berkhidmat’ kepada pemimpin-pemimpin Barisan Nasional (BN).
Kerusi Galas kosong berikutan kematian penyadangnya dari PAS, Che Hashim Sulaima, 46, pada 27 Sept lepas akibat barah.
Seramai 11,553 pengundi layak untuk mengundi dalam pilihan raya kecil kali ini iaitu Melayu 7,125 orang atau 61.7 peratus, kaum Cina 2,317 atau 20.06 peratus, India 185, Bumiputera Siam 10 orang dan Orang Asli 1,889 orang.
Kerusi DUN Galas menyaksikan pertarungan satu lawan satu di mana BN meletakkan Setiausaha Umno Gua Musang Abdul Aziz Yusoff sebagai calon manakala PAS meletakkan pemangku Yang Dipertua PAS Gua Musang Dr Zulkefli Mohamad.
0 Komen pengunjong :