KUALA LUMPUR, 16 Okt — Walaupun pemimpin Pakatan Rakyat (PR) mendakwa Bajet 2011 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak semalam sebagai “bajet pilihan raya”, namun penganalisis dan pemerhati politik berpendapat sebaliknya. Bagaimanapun penganalisis dan pemerhati juga tidak menolak Barisan Nasional (BN) akan memanggil pilihan raya umum tergempar dalam waktu terdekat.
Semalam selepas pembentangan bajet pemimpin PR mendakwa pelbagai insentif yang diumumkan termasuk tidak menaikkan kadar tol di empat lebuh raya kendalian PLUS, bagi tempoh lima tahun, pemberian bantuan kewangan khas kepada penjawat awam serta beberapa insentif lain.
Penganalisis politik Profesor Madya Dr Samsul Adabi Mamat berkata, secara keseluruhan bajet yang dibentangkan semalam lebih memfokus kepada keperluan rakyat.
“Dari segi umumnya kita boleh anggap ia adalah bajet rakyat kerana banyak elemen yang dibentangkan Perdana Menteri memberi suntikan kepada kesejahteraan rakyat.
“Ini jelas menunjukkan Bajet 2011 yang dibentangkan ini memberikan fokus kepada rakyat. Kita boleh menggambarkan bajet ini menjadikan konsep 1 Malaysia sebagai falsafah induk.
“Sebagai rakyat saya berpuas hati kerana saya melihat ia bergerak ke arah memajukan negara,” kata beliau kepada The Malaysian Insider.
Mengenai dakwaan pembangkang kononnya bajet yang dibentangkan Najib adalah bajet pilihan raya, Samsul bagaimanapun berpendapat sebaliknya.
“Ada yang melihat pembentangan bajet ini adalah bajet pilihan raya dan saya berpendapat apa yang dibentangkan menunjukkan ada kebenarannya.
“Namun saya berpendapat pilihan raya umum tidak akan diadakan dalam masa terdekat atau awal tahun depan.
“Kemungkinan besar pilihan raya umum akan diadakan selepas pembentangan Bajet 2012, jadi pada pandangan saya ia tidak akan berlaku pada dalam masa terdekat,” kata beliau.
Pensyarah sains politik Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Madya Dr Ahmad Nidzamuddin Sulaiman berkata tidak ada perbezaan antara Bajet 2011 yang dibentangkan semalam dengan bajet-bajet sebelum ini.
“Saya melihat tiap-tiap tahun semuanya adalah bajet rakyat, cuma tukar nama. Cuma dalam pembentangan bajet hari ini (semalam), saya perhatikan ada bahagian atau peruntukan yang dipotong dan ada yang bertambah, malah ada elemen yang bagus.
“Secara keseluruhannya saya melihat pembentangan ini ada kebaikan dan kekurangannya.
“Tapi secara peribadi saya lihat ia umpama sama sahaja dengan pembentangan bajet sebelum ini,” katanya.
Beliau juga tidak bersetuju dengan pemimpin PR yang mendakwa bajet tersebut adalah bajet pilihan raya kerana berpendapat kerajaan tidak memberikan imbuhan lebih kepada rakyat.
“Mengenai bajet pilihan raya saya ada dengar pihak-pihak tertentu terutamanya daripada pembangkang mengatakan perkara itu tapi bila diperhatikan semula tidak juga kerana ada peruntukan yang tidak begitu memberangsangkan.
“Kalau ia bajet pilihan raya kerajaan akan lebih bermurah hati kepada rakyat,” kata beliau.
Katanya, secara peribadi beliau rasa tidak mungkin pilihan raya umum akan diadakan dalam masa terdekat.
“Ia tidak menunjukkan ke arah itu, mungkin sempat lagi satu pembentangan bajet baru pilihan raya umum,” katanya.
Namun bagi pakar perundangan dari Universiti Islam Antarabangsa Prof A. Aziz Bari, bajet yang dibentangkan itu adalah semata-mata mahu meraih semula sokongan rakyat terhadap pentadbiran Najib.
“Sebab itu Bajet 2011 ini penuh dengan gula-gula untuk menawan hati golongan tertentu yang mudah dimakan oleh belaian sementara itu.
“Ini tidak penting dalam merangsang dan memacu ekonomi. Dan, yang mendukacitakan kos untuk itu semua ditanggung oleh pembayar cukai.
“Bajet pilihan raya atau bajet rakyat sama sahaja, Barisan Nasional (BN) perlu buat rakyat terlena dan suka hati walaupun kenyataannya belum tentu begitu,” katanya.
Beliau yang ternyata kecewa dengan pembentangan Bajet 2011 berkata, PR terpaksa melalui satu lagi “proses pembersihan” sekiranya berjaya memerintah negara.
“Itu semua adalah kesan budaya politik BN yang akan terpaksa diwarisi oleh kerajaan baru (sekiranya Pakatan Rakyat berjaya berbuat demikian). PR kalau menang terpaksa melakukan pembersihan (seperti mengecilkan Kabinet; kepada sekitar 20 menteri sahaja).
“Pada saya oleh kerana pilihan raya tidak boleh dielakkan, maka BN terpaksa mencari jalan untuk menyenangkan hati rakyat dan seperti biasa mereka buat gimik yang mudah difahami; contohnya RM500 untuk gred 54 ke bawah.
“Di universiti, contohnya, kakitangan dari profesor madya ke bawah dapatlah duit itu. Kita harap rakyat tak termakan dengan gimik murah ini kerana wang ini bukan datang dari langit. Ini wang pembayar cukai sendiri,” katanya.
Aziz juga berkata walaupun pembentangan bajet itu tidak dilihat menjurus kepada bajet pilihan raya, namun kerajaan terpaksa mengadakan pilihan raya dalam tempoh terdekat berdasarkan perubahan politik yang berlaku.
“Saya kata pilihan raya tak boleh dielakkan sebab di sisi perlembagaan apabila Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri (DUN) genap lima tahun ia akan bubar sendiri.
“Meskipun Dewan Rakyat boleh bertahan sehingga 2013 tapi DUN Sarawak genap lima tahun pada 2011 dan pilihan raya umum perlu diadakan kerana berdasarkan senario politik sekarang mengadakan pilihan raya berasingan mempunyai risiko besar kepada BN,” katanya. Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddn Yassin juga menafikan Bajet 2011 sebagai bajet pilihan raya seperti mana dakwaan sesetengah pihak terutamanya parti pembangkang.
Cetak Halaman Ini
0 Komen pengunjong :