Anwar Yakin Batu Sapi Mampu Buat Kejutan Seperti Sibu

Anwar_BatuSapi2
SANDAKAN 24 Okt - Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi suntikan semangat kepada seluruh anggota Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) serta pendokong Pakatan Rakyat bahawa mereka mampu mencatatkan kejutan pada Pilihan Raya Kecil Batu Sapi dengan merampas kerusi parlimen tersebut dari tangan Barisan Nasional.

Mengimbau kembali Pilihan Raya Umum 2008, Anwar berkata ketika itu KEADILAN PAS dan DAP menghadapi jentera pilihan raya Umno-BN yang maha hebatya bukan sahaja dari segi kekuatan kewangan dan penguasaan ke atas semua sumber kerajaan, malah kawalan ketat terhadap media, institusi polis, badan kehakiman, agensi pencegahan rasuah serta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Ingatkah kita pilihan raya umum 2008? Umno dan BN menguasai segalanya dan walaupun dengan kekuatan berjuta-juta ringgit ditabur dalam pilihan raya itu, namun kuasa rakyat menolak Umno-BN di Semenanjung. Pakatan Rakyat mendapat lebih 51 peratus undi popular.

"Ingatkah kita pilihan raya kecil Sibu. Kita berdepan dengan kehebatan jentera Umno dan BN. Mereka curahkan berjuta ringgit, beli undi, ugut, buat ancaman dan segala macam taktik kotor yang mereka buat tetapi apa yang pengundi Sibu buat? Mereka tolak BN bulat-bulat dan cetuskan gelombang ke Putrajaya. Saya berdasarkan kepada latarbelakang ini saya yakin tidak mustahil kita mengulangi kejutan ini di Batu Sapi," kata Anwar pada pelancaran jentera pilihan raya kecil KEADILAN Batu Sapi dan pejabat baru Cabang Batu Sapi di Bandar Ramai-Ramai di sini tengahari tadi.

Untuk mencapai objektif ini beliau memberi ingatan supaya mengenepikan perbezaan dan percanggahan pendapat serta bekerja sebagai satu pasukan yang mantap dan kukuh.

"Jangan jadikan pilihan raya ini untuk bersengketa antara satu sama lain atau membuat seranga peribada sesama sendiri. Mesti ada pasukan yang dedikasi dan komited dan bukan menyertai perjuangan untuk wang atau kuasa tapi untuk membela rakyat dan menegakkan keadilan.

"Satu perkara yang saya suka ingatkan, semasa kempen nanti sudah tentu ada yang mengaku ahli parti dan mengumumkan keluar parti. Ini perkara biasa menjadi strategi yang diguna oleh Umno-BN sejak dulu sehingga rakyat muak. Jangan kita endah kerana rakyat sudah tahu ini perkara yang sentiasa dilakukan Umno-BN," tegas Anwar lagi.

0 Komen pengunjong :