Aminulrasyid mati akibat peluru tembusi otak – Pakar

Aminul rashid
SHAH ALAM: Saksi kes kematian Aminulrasyid Amzah yang ditembak polis hari ini memberitahu mahkamah remaja itu mati akibat kesan kecederaan tembakan di kepala.
Pakar patologi Hospital Besar Tengku Ampuan Rahimah Klang Dr Khairul Azman berkata, kecederaan yang dialami Aminulrasyid disebabkan anak peluru menembusi tengkorak belakang kepala.
Anak peluru itu kemudiannya melalui bahagian otak serta beberapa bahagian penting yang lain terus ke bahagian tengkorak hadapan berhampiran kening atas mangsa.
Ini berdasarkan penemuan anak peluru tidak berjaket yang dijumpai di tengkorak hadapan, kesan daripada luka tembakan  di tengkorak belakang selain mengalami konkusi, katanya.
"Satu anak peluru masuk daripada bahagian belakang kepala dan keluar ke tengkorak depan tapi tak sampai ke kulit bahagian muka," katanya ketika disoal balas peguam bela M Athimulan.
Peluru di depan tengkorak mangsa
Khairul selepas membuat pengecaman anak peluru itu memberitahu mahkamah, peluru (tanpa jaket) dibahagian depan tengkorak mangsa itu ditemui dalam keadaan tidak sempurna disebabkan terkena beberapa halangan.
"Mungkin terkena benda keras sebelum dijumpai di bahagian depan kepala contohnya terkena tulang tengkorak belakang atau benda lain yang menghalang…cermin kereta pun boleh juga," katanya.
Beliau turut mengesahkan berdasarkan sifat anak peluru itu, ia adalah peluru daripada ’single shot rifle weapon’ seperti pistol, mesingan, atau revolver.
Namun beliau tidak dapat menentukan sama ada peluru itu daripada senjata api yang khusus.
Beliau juga tidak pasti jenis senjata api yang digunakan hasil kesan anak peluru yang ditemui serta saiz diameter anak peluru terbabit tetapi mengesahkan kecederaan itu adalah kesan tembakan jarak jauh.
Kesan tembakan di kepala
Ini disebabkan kesan tembakan di kepala Aminulrasyid adalah bulat dan bukannya berbentuk bintang, selain tiada kesan melecur di sekitar kulit kepala.
Mahkamah turut memanggil saksi Ketua Unit Senjata Api dan Kesan Alat Seksyen Criminalistic Bahagian Forensik Jabatan Kimia Malaysia Dr Shaari Desa.
Dr Shaari dalam keterangan awalnya berkata hasil ujian makmal mendapati senjata api yang digunakan tertuduh adalah daripada jenis sub-mesingan Heckler&Koch MP5 (HKMP5).
Hakim Latifah Mohd Tahar kemudiannya menangguhkan prosiding kes kepada 9 November depan dan menyambung semula pendengaran keterangan Shaari serta lapan saksi lain.
Tertuduh, Koperal Jenain Subi, 48, didakwa menyebabkan kematian Aminulrasyid, 15, antara pukul 1.10 pagi dan 2.00 pagi pada 26 April lalu di Jalan Tarian Seksyen 11 di sini.
Jenain dibicarakan mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

0 Komen pengunjong :