Rayuan Anwar ditolak lagi

PUTRAJAYA, 20 Sept — Mahkamah Rayuan hari ini mengetepikan rayuan Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan agar tuduhan liwat ke atasnya ditolak berhubung dakwaan hubungan romantis Mohd Saiful Bukhari Azlan dan Timbalan Pendakwa Raya Farah Azlina Latif.
Hakmi Datuk Ahmad Maarof, Datuk Sulaiman Daud dan Datuk Azhar Ma’ah secara sebulat suara menerima bantahan awal pendakwa raya.
Ahmad berkata mahkamah tiada budi bicara untuk mendengar rayuan tersebut.
Pasukan pendakwa raya berhujah bahawa peguam-peguam Anwar (gambar) tidak boleh mengemukakan rayuan memandangkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 16 Ogos lalu untuk mengetepikan permohonan bukan perintah akhir.
Pada 16 Ogos lalu, Mahkamah Tinggi menolak permohonan Anwar untuk menggugurkan dakwaan liwat
terhadapnya.
Ketika itu, Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd Diah memutuskan bahawa integriti pihak pendakwaan tidak terjejas berikutan dakwaan wujudnya hubungan antara Saiful, saksi utama dan Farah Azlina.
Zabidin berkata peranan Farah Azlina dalam kes itu hanya terhad kepada mengambil nota.
Ini merupakan kali kedua Anwar berusaha untuk membatalkan tuduhan itu dengan mendakwa integriti dan kesaksamaan keseluruhan pasukan pendakwaan dicurigai berikutan dakwaan wujudnya hubungan antara Saiful dan Farah Azlina.
Dalam cubaan pertama, Ketua Pembangkang itu menyatakan dakwaan itu lemah berdasarkan “tidak ada hasil klinikal menunjukkan berlaku penetrasi atau tembusan ke dubur/rektum”, tetapi ia ditolak Mahkamah Tinggi, Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan.
Anwar yang merupakan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) dibicarakan atas tuduhan meliwat Saiful, bekas pembantu peribadinya di Unit 11-5-1, Kondominium Desa Damansara, No. 99 Jalan Setiakasih, Bukit Damansara antara pukul 3.01 petang dan 4.30 petang, 26 Jun 2008.
Anwar diwakili pasukan pembelaan yang diketuai Karpal Singh manakala Peguam Cara Negara II Datuk Mohamed Yusof Zainal Abiden mengetuai pasukan pendakwaan.

0 Komen pengunjong :