Nik Aziz lawat keluarga Sosilawati

GOMBAK, 20 Sept — Menteri Besar Kelantan Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini melawat keluarga jutawan kosmetik Datuk Sosilawati Lawiya yang dibunuh dengan kejam bersama tiga yang lain baru-baru ini. Dalam lawatan ke rumah Sosilawati di Taman Harmonis di sini, Nik Aziz yang turut diiringi Naib Presiden PAS Salahuddin Ayub menemui bekas suami pertama Sosilawati Buhari Mohamad selain anak-anak ahli perniagaan itu.
“Tujuan saya datang hari ini adalah untuk mengucapkan takziah kepada keluarga beliau (Sosilawati) yang dibunuh dengan kejam baru-baru ini.
“Ini kerana apabila berlaku kematian sudah menjadi kewajiban untuk saya datang melawat dan mengucapkan takziah selain bercakap sesuatu yang boleh menenangkan keluarga mangsa,” katanya ketika sidang media selepas menemui keluarga Sosilawati.
Beliau juga berharap keluarga Sosilawati supaya bersabar dan menganggap apa yang berlaku ini adalah kehendak Allah.
“Mudah-mudahan keluarga beliau dapat bersabar dan menerima dugaan ini dengan hati yang tenang.
“Saya sekali lagi mewakili rakyat Kelantan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa.
Sosilawati, 47, dilaporkan hilang ketika urus niaga tanah di Banting pada 30 Ogos lalu selepas kali terakhir dilihat pada majlis berbuka puasa Dewan Perniagaan Melayu Malaysia Selangor di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam dua hari sebelum itu.
Turut hilang bersama beliau ialah peguam dari Tetuan Kamaruddin & Partners dari Putrajaya Ahmad Kamil Abdul Karim, 32; pegawai bank dari CIMB Bank Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38; dan pemandu peribadi Sosilawati Kamaruddin Shansuddin, 44.
Kehilangan mereka hampir terungkai apabila polis menahan lapan suspek termasuk seorang peguam bergelar “Datuk” baru-baru ini.
Empat daripada mereka mengaku telah membunuh kesemua mangsa, sebelum membakar mangsa dan abu mereka dibuang dalam Sungai Panchau, Tanjung Sepat, Kuala Langat.

0 Komen pengunjong :