Kerajaan Umno-BN Naikkan Harga Petrol Kaburi Mata Rakyat Dengan Isu Seleweng Pasir Di Selangor

Rakyat hari ini dikejutkan dengan kenaikkan harga petrol sebanyak 5 sen bagi petrol dan diesel yang akan berkuatkuasa tengah malam ini.
Keputusan yang dibuat secara drastik ini menunjukkan kerajaan Umno-Barisan Nasional seolah-olah cuba menutup isu kenaikkan bahan bakar itu dengan memperbesar-besarkan isu penyelewengan pasir di Selangor.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri, Syed Shahir Syed Mohamud yang dihubungi wartawan berkata tindakan Umno-BN yang memperbesarkan satu-satu isu dengan cara yang cukup licik untuk menutup kelemahan kepimpinan Umno-BN dalam isu berkaitan dengan rakyat.
"Tindakan menaikkan harga petrol ini sebenarnya akan menyebabkan kesan dan impak negatif kepada rakyat bawahan.
"Pakatan Rakyat memandang serius perkara ini memandangkan rakyat di bawah semakin tidak selesa dengan tindakan itu yang akan menyebabkan kos barangan lain meningkat," ujarnya
Kenaikkan itu katanya lagi akan menyebabkan rakyat bawahan akan menjadi lebih marah terhadap kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang sebelum ini mewar-warkan polisi 1Malaysia yang kononnya mengutamakan rakyat.
Mengenai isu penyelewengan pasir di Selangor, Syed Shahir berkata prinsip Pakatan Rakyat sememangnya tidak bersetuju dan menentang segala bentuk penyelewengan.
"Isu penyelewengan pasir ini bukan isu semalam tetapi telah berlaku hampir 30 hingga 40 tahun lepas semasa zaman Umno-BN menjadi kerajaan di selangor
"Bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Khir Toyo nampaknya ingin menjadi juara dalam hal ini sedangkan semasa beliau menjadi menteri besar tidak ada sebarang usaha yang dibuat dalam memerangi isu penyelewengan dan kecurian pasir di negeri itu.
"Kita bukan ingin menutup isu ini malahan kita juga menentang kerana ianya bukan memberikan kesan kepada orang ramai tetapi juga kepada alam semulajadi," tegas beliau.
Dalam pada itu, beliau juga menyeru semua pihak terutamanya pihak berkuasa seperti pihak polis, Jabatan Alam Sekitar dan kerajaan negeri Selangor khususnya agar mengambil tindakan yang tegas terhadap individu-individu yang terbabit dalam hal yang berkaitan dengan penyelewengan pasir.

- Suara Keadilan

0 Komen pengunjong :