KUALA LUMPUR : Kehilangan Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya Tan Sri Muhammad Muhamad Taib dari menghadiri aktiviti pergerakan , terutama bahagian Kelana Jaya terus menimbulkan tanda-tanya kepada parti Umno.
Anggota Majlis Tertinggi Umno Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, sebagai pemimpin yang pernah menjawat jawatan tertinggi parti dan juga pernah mentadbir negeri Selangor dan Pusat, perlu memberikan contoh terbaik supaya boleh dicontohi orang lain.
Beliau berkata, tindakan Muhammad yang dilaporkan dua kali tidak menghadiri mesyuarat bahagian serta tidak pernah menghadiri mesyuarat perhubungan Umno negeri yang dipengerusikan oleh Presiden parti Datuk Seri Najib Tun Razak menunjukkan kegagalannya memberi komitmen terhadap kerja dan melaksanakan tanggungjawab.
"Taib telah beri contoh buruk sebagai seorang pemimpin yang begitu berpengalaman, dan juga contoh terburuk dari segi kepimpinan apabila dilihat tidak mengambil peduli tanggungjawab sebagai ketua bahagian, sama ada untuk menghadiri mesyuarat atau menjalankan sebarang aktiviti," katanya.
Muhammad atau lebih dikenali dengan panggilan Mat Taib merupakan Menteri Besar Selangor dari 1986 hingga 1997, dan Menteri Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah hampir setahun dari Mac 2008 hingga April 2009, adalah juga bekas naib presiden Umno dan bekas pengerusi badan perhubungan Umno Selangor serta bekas ketua penerangan Umno, didakwa tidak aktif dalam politik sejak kalah dalam pertandingan merebut jawatan timbalan presiden Umno pada Mac tahun lepas.
Mohd Puad yang juga timbalan menteri pelajaran berkata, Muhammad juga dilaporkan tidak memberikan kerjasama semasa pilihan raya kecil Parlimen Hulu Selangor baru-baru ini.
"Janganlah hanya dengan sedikit kekecewaan kita bertindak keterlaluan sehingga sikap yang ditunjukkan lebih buruk daripada mereka yang tidak berjawatan tetapi tetap komited dalam perjuangan," jelasnya.
Tambah beliau, isu permasalahan Muhammad Taib ini akan dibawa ke pengetahuan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno (MT) dalam masa terdekat agar satu penyelesaian segera dapat dilakukan.
Beliau berkata MT tidak boleh membiarkan perkara tersebut berlarutan di mana keputusan segera mengenai kedudukan Muhammad sebagai Ketua Bahagian perlu diputuskan demi kebaikan bersama.
"Saya akan bawa isu ini ke mesyuarat MT terdekat dan terserahlah kepada Jawatankuasa Pengurusan parti untuk menentukannya tetapi yang pasti perlu ada keputusan apakah langkah yang perlu diambil bagi menangani masalah itu, apatah lagi Umno dan Barisan Nasional (BN) kini menjadi pembangkang di Selangor," katanya.
Kedudukan Muhammad sebagai Ketua Umno Bahagian Kelana Jaya mula dipersoalkan apabila baru-baru ini terdapat saranan daripada anggota bahagian itu agar beliau melepaskan jawatannya dengan segera kerana gagal menunjukkan komitmen terhadap kerja-kerja parti.
Muhammad Taib juga dikatakan gagal mengetuai parti dalam merealisasikan semua objektif dan fungsi yang ditetapkan.
- FMT
0 Komen pengunjong :