ISA Tetap Ditentang Sehingga Dimansuhkan

SHAH ALAM 29 Julai - Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) akan mengadakan upacara memasang lilin secara serentak di seluruh negara untuk mendesak kerajaan memansuhkan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang genap 50 tahun usianya pada 1 Ogos ini.
Sekretariat GMI, Nalini E yang dihubungi Suara Keadilan berkata ianya usaha untuk meningkatkan kesedaran rakyat, upacara memasang lilin itu akan diadakan di semua ibu negeri pada tarikh tersebut.
"Tujuan utama adalah untuk memperingati kerajaan Umno-Barisan Nasional bahawa tahun ini genap 50 tahun akta drakonian itu telah mencengkam rakyat Malaysia.
"Pada tahun lalu, kita telah berjaya mengadakan perhimpunan secara besar-besaran di ibu negara tetapi pada kali in kita akan serentak di seluruh negara.
"Perhimpunan kali ini untuk memberikan peringatan supaya kerajaan Umno-BN memansuhkan akta lapuk itu bukan sekadar memindanya sahaja," ujarnya
Menurutnya, kira-kira 100,000 risalah mengandungi maklumat mengenai akta tersebut, akan diedarkan di seluruh negara pada pada hari yang sama.
Beliau juga menjemput rakyat Malaysia yang prihatin turun bersama-sama dan memberikan sokongan supaya kerajaan Umno-BN menghapuskan terus akta tersebut dan bukan sekadar memindanya sahaja.
Sementara itu Pengerusi GMI, Syed Ibrahim Syed Noh berkata, pihaknya juga akan menemui Menteri Besar Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim bagi mendapat kebenaran untuk memasang papan tanda dan mengenai ISA disekitar negeri itu.

0 Komen pengunjong :