Ibrahim diiktiraf ‘Jaguh Kampung’, gesa Khairy berhenti segera


KUALA LUMPUR, 17 Julai — Datuk Ibrahim Ali yang terlibat dalam “perang kenyataan” dengan Khairy Jamaluddin sejak tiga minggu lalu, hari ini meneruskan serangan dengan menggesa beliau agar tidak menunggu lama untuk meletakkan jawatan ketua Pemuda Umno.
Presiden Perkasa itu yang semalam diiktiraf sebagai “Jaguh Kampung” oleh penduduk Pasir Mas semalam berkata, Khairy wajar meletakkan jawatan sebagai ketua Pemuda Umno sekarang jika merasakan sudah tidak mampu lagi memimpin.
“Kalau sayang Pemuda dan tidak keterlaluan, saya merasakan patut undur sekarang. Inilah penyakit bila naik kerana mertua,” kata Ibrahim yang juga Ahli Parlimen Bebas Pasir Mas dalam kenyataannya hari ini.
Ibrahim berkata, Pergerakan Pemuda Umno sekarang masih hebat seperti masa-masa lalu tetapi masalah ialah kepimpinan Khairy.
Sambil mendakwa Khairy tidak banyak melakukan untuk Pemuda Umno, Ibrahim berkata, “jadi amat tepat kalau mahu undur sebagai ketua Pemuda Umno atau tidak akan pertahan jawatan KP lagi.”
Berdasarkan laporan media hari ini, Ibrahim yang pulang ke kawasannya semalam disambut kira-kira 1,500 orang dengan membawa banting yang mengiktirafnya sebagai “jaguh kampung”. Kumpulan itu mengadakan Majlis Sambutan Jaguh Kampung Pahlawan Melayu Tok Him.
Sambutan tersebut adalah simbolik kepada gelaran jaguh kampung yang telah diberikan oleh Khairy kepada Ibrahim baru-baru ini.
Dalam kenyataan terbaru semasa ditemu bual oleh Agenda Daily yang disiarkan kelmarin, Khairy menegaskan, beliau tidak kisah dengan matlamat Perkasa yang mahu membantu orang Melayu, tetapi tidak setuju dengan cara ketua mereka iaitu Ibrahim memperjuangkan dasarnya.
Ahli Parlimen Rembau itu berkata, beliau mengalu-alukan sebarang usaha untuk membantu orang Melayu.
“Tapi pendekatan macam Ibrahim Ali buat tu, salah. Saya menentang mana-mana kumpulan ekstrem, baik Ibrahim Ali atau Siqiu atau Hindraf.
“Mana-mana pihak yang guna perkauman keterlaluan, saya akan tentang. Saya tak ada masalah dengan perjuangan menolong orang Melayu tetapi kita kena buat dengan cara yang boleh membantu orang Melayu,” kata menantu bekas perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi ini.
Akhir bulan lalu Khairy melabelkan Ibrahim, Presiden Perkasa sebagai “gedebe  politik” dan juga sebagai “jaguh politik kampung” ekoran pendirian pemimpin itu mengecamnya dalam isu biasiswa.
Sehubungan itu tegas Khairy, Ahli Parlimen Pasir Mas itu dilihat lebih cenderung mengambil kesempatan terhadap sesuatu isu untuk kepentingan diri sendiri.
Serang-menyerang kedua-dua wakil rakyat ini bermula berhubung kenyataan Ketua Pemuda MCA Datuk Dr Wee Ka Siong dalam soal biasiswa dan beliau dipertahankan oleh Khairy.
Oleh itu, Ibrahim menggesa Khairy meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat atas alasan kepimpinannya telah “menggadaikan maruah bangsa” semata-mata kerana mempertahankan Wee.

Kembara Jr.......... lawan jangan tak lawan!! masing-masing ada matlamat dan tujuan. Masing-masing nak mengapu kerana ada tujuan tertentu. Masing-masing nak tunjuk kemampuan kerana matlamat tertentu. Yang satu tu meroyan dan yang satu lagi mengidam. Semuanya setakat ini kempunan. Belum dapat lagi apa yang masing-masing idamkan.

0 Komen pengunjong :