Adun Kuang dihalau keluar Dewan

Gambar Adun KuangSHAH ALAM: Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) BN-Kuang Abdul Shukor Idrus hari ini dihalau keluar dari persidangan dewan selepas bertikam lidah dengan Speaker Teng Chang Khim.
Speaker DUN itu mengambil tindakan tersebut mengikut peraturan mesyuarat 44 (2) berikutan Abdul Shukor gagal untuk menghormati persidangan dewan.

"Saya perintahkan mengikut peraturan mesyuarat 44 (2), saya arahkan yang berhormat keluar daripada dewan sekarang," kata Teng setelah memberi peluang kepada Abdul Shukor supaya menghentikan pertanyaan yang tidak mengikut peraturan.
Abdul Shukor ingin mengemukakan soalan berkaitan aktiviti kecurian pasir di negeri Selangor namun disekat oleh Teng berikutan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim masih lagi dalam perbahasan menjawab persoalan Adun Sungai Burung.
Shukor ketika di temui di luar dewan mempertikaikan keputusan Speaker kerana menolak untuk membahaskan isu penting kecurian pasir di Selangor.
"Saya mahu bahaskan isu kecurian pasir di negeri ini kerana terlalu banyak perkara yang tidak dimaklumkan oleh kerajaaan negeri terutamanya jumlah keuntungan dan kerugian yang ditanggung.
"Semua pihak ingin tahu dari mulut Tan Sri Khalid sendiri kerana beliau menyatakan banyak keuntungan diterima hasil dari perlombongan pasir," katanya diluar dewan.
Shukor berkata, Menteri Besar gagal memaklumkan secara lebih terperinci malah tidak konsisten mengenai jumlah keuntungan yang diterima.
"Tindakan ini merupakan satu penipuan oleh kerajaan negeri yang menyebabkan rakyat terus tertanya-tanya," ujar beliau.
Beliau mendakwa usul yang ingin dikemukakan itu adalah untuk kepentingan rakyat tetapi ditolak dari dibahas.

- FMT

0 Komen pengunjong :