Nazri Dan APCO Worldwide Beri Keterangan Hari Ini

Jwatankuasa hak dan kebebasan, Parlimen yang sepatutnya mendengar Ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim membela diri kerana kenyataannya yang mengaitkan 1Malaysia dengan konsep One Israel terpaksa ditangguhkan.

Penangguhan itu kerana jawatankuasa berkenaan menolak permintaan Anwar supaya ahli parlimen dibenarkan hadir sebagai pemerhati, manakala peguamnya walaupun dibenarkan mengikuti prosiding itu tetapi kuasanya tidak jelas.

Pengerusi jawatankuasa berkenaan, Tan Sri Pandikar Amin Mulia, berkata Anwar akan dipanggil semula pada tarikh yang ditentukan kemudian.

Mesyuarat jawatankuasa itu hari ini juga mengambil keputusan untuk mengarahkan wakil firma perhubungan awam, Apco Worldwide untuk tampil memberi keterangan esok.

Selain itu, Pandikar Amin yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat berkata mesyuarat jawatankuasa yang bersambung esok akan juga memanggil Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sebagai saksi.

Ahli parlimen Pakatan Rakyat yang menganggotai jawatankuasa itu, Karpal Singh (DAP-Bukit Gelugor) dan R Sivarasa (PRK-Subang) memaklumkan wartawan berhubung keputusan penolakan itu.

"Anwar dinafikan haknya untuk hadir bersama seorang peguam, keputusan itu dibuat oleh jawatankuasa berkenaan. Saya dan Sivarasa menentangnya tetapi empat yang lain tidak mahu berganjak,” katanya.

Menurut Karpal, di bawah Peraturan Dewan 83 (7)(a) jawatankuasa hak dan kebebasan mempunyai hak membenarkan peguam kepada sesiapa yang dihadapkan kepadanya.

Anwar hari ini tiba pada jam 12.35 tengah hari, sejam selepas jawatankuasa itu bermesyuarat tetapi diarahkan meninggalkan bilik itu.

Ini kerana jawatankuasa yang bersidang belum membuat keputusan berhubung permintaannya supaya perbicaraan diadakan secara terbuka dan dia dibenarkan diwakili oleh peguam.

Beberapa ahli parlimen - Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai), Gobind Singh Deo (DAP-Puchong), Azmin Ali (PKR-Gombak) dan Loh Gwo-Burne (PKR-Kelana Jaya) cuba memasuki bilik mesyaurat sebagai pemerhati tetapi juga diarahkan keluar.

"Ia adalah jelas. Menurut peraturan, hanya ahli parlimen dibenarkan masuk, tetapi apabila kita membuat bantahan, mereka sedang mempertimbangkannya,” kata Gobind.

Jawatankuasa berkenaan kemudiannya memutuskan bahawa peguam Anwar yang juga bekas ketua Majlis Peguam - Datuk S Ambiga dibenarkan hadir sebagai pemerhati tetapi beliau tidak benarkan mengambil bahagian.

Pada perbicaraan ini, Anwar akan diminta mengemukakan bukti-buktinya yang mengaitkan 1Malaysia dengan konsep One Israel.

Beliau yang juga ketua umum PKR sebelum ini berkata Apco Worldwide adalah firma yang bertanggungjawab mencetuskan kedua-dua idea 1Malaysia dan One Israel.

Berikutan itu, pada 22 April lalu, Dewan Rakyat memutuskan melalui undian suara untuk merujuk Anwar kepada jawatankuasa tersebut.

Selain Karpal dan Sivarasa anggota parlimen lain yang menganggotai jawatankuasa itu ialah Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Ronald Kiandee, Datuk Seri Fong Chan Onn (BN-Alor Gajah), Datuk Razali Ibrahim (BN-Muar) dan Nancy Shukri (BN-Batang Sadong)


Sumber - Malaysiakini

0 Komen pengunjong :