Hadi: Wahabi Tiada Kaitan Dengan Pengganas

KUALA LUMPUR, 23 Jun — Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mendakwa cubaan mengaitkan fahaman wahabi dengan Jemaah Islamiah (JI) atau kumpulan pengganas adalah agenda Barat dan mereka yang mahu memburukkan Islam. Dipetik Harakah Daily, Abdul Hadi berkata, musuh Islam sememangnya menggunakan isu perbezaan mazhab untuk memecahkan umat Islam.
“Wahabi tidak ada kena-mengena dengan pengganas pun... itu satu agenda Barat dan musuh Islam,” kata beliau hari ini.

Pagi tadi bekas dua pemimpin agama termasuk bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin mendakwa pendedahan wujudnya peranan JI sambil dikaitkan dengan tokoh-tokoh tokoh politik kemungkinan besar merupakan “mainan politik kotor kerajaan” untuk mengalih isu semasa.

“Dengan ini, apa yang disebut oleh beberapa tokoh masyarakat seperti SM Idris dan pihak Pakatan Rakyat bahawa isu ini tiada asasnya kelihatan benar. Bahkan ia bermungkinan besar mainan politik kotor kerajaan yang memerintah untuk mengalihkan isu-isu tertentu,” kata dua pemimpin berkenaan dalam satu kenyataan dikeluarkan hari ini.

Selain Asri, seorang lagi pemimpin agama yang mengeluarkan pendirian itu ialah Sahibus Samahah Dr Juanda Jaya iaitu Mufti  Perlis yang juga anggota Majlis Fatwa Kebangsaan. Asri dan Juanda menambah, buktinya laporan media yang menyatakan bahawa dalam satu taklimat keselamatan negara berhubung JI di Bukit Aman  Isnin lalu telah didakwa bahawa nama kedua-dua mereka bersama Presidan PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Datuk Seri Shahidan Kassim serta ramai lagi tokoh masyarakat dikaitkan dengan fahaman wahabi dan pengganas JI.

Ceramah pada majlis taklimat itu diberikan oleh Penolong pengarah Pusat Al-Quran dan Ilmu Teras, Institut latihan Islam

“Dakwaan ini sangat jahat. Jelas sengaja diada-adakan,” kata mereka.

Abdul Hadi mengakui “saya memang belajar di universiti Wahabi, dapat biasiswa Wahabi.”
“Tetapi saya ada pandangan saya sendiri,” jelas Abdul Hadi.

Dalam pada itu, Pengarah Pilihan raya PAS Pusat, Datuk Abdul Halim Abdul Rahman tidak menolak kemungkinan isu JI ini timbul ada kaitan dengan pilihan raya. Menurutnya, Umno BN cuba mengaitkan Islam dengan terorisme bagi menakutkan orang bukan Islam dengan PAS yang dilihat semakin mendapat sokongan golongan itu.

“Dalam konteks kita, isu JI ini dibangkitkan supaya orang bukan Islam takut kepada PAS. Mereka cuba melabelkan PAS sebagai ekstremis, ini agenda BN,” kata beliau kepada Harakah Daily.

- TMI

0 Komen pengunjong :