Azmin Nafi Terlibat Usaha Gulingkan MB Selangor

KUALA LUMPUR, 24 Jun – Selepas 24 jam melepaskan jawatan sebagai ahli lembaga pengarah PKNS, Naib Presiden PKR Azmin Ali menafikan bulat-bulat beliau terlibat dalam usaha menggulingkan kepimpinan Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim.
Ketika ditemui pemberita di lobi bangunan Parlimen petang ini, Azmin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata: “Tidak, tidak. Saya tidak mendengar apa-apa mengenai itu. Tidak! Saya bukan sebahagian daripada usaha itu. Jujur, saya tidak tahu,” tegas beliau.
Azmin meletakkan jawatan beberapa hari sebelum PKR mengadakan sesi pemukiman dan sehari selepas setiausaha politik baru Khalid dilantik.PKR dijadual mengadakan pemilihan pucuk kepimpinan hujung tahun ini. Azmin mengulangi bahawa beliau bukan sebahagian perbincangan yang didakwa diadakan untuk menggulingkan kepimpinan Menteri Besar.
Azmin mengatakan demikian sehari selepas dilaporkan menghantar surat letak jawatan sebagai pengarah anak syarikat Selangor, Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) semalam. Difahamkan ia sebahagian daripada usaha melahirkan rasa tidak puas hati dengan kepimpinan Khalid menerajui negeri itu. Khalid dilantik sebagai Menteri Besar Selangor selepas Pakatan Rakyat memenangi negeri itu pada pilihan raya umum 2008.
Khalid juga merupakan Pengerusi PKR Selangor.
Azmin menambah, perbincangan sebenarnya perlu diadakan bagi membolehkan seramai 15 Ahli Parlimen terlibat bersama, yang didakwa mahu menggulingkan Khalid. Laporan akhbar bahasa Inggeris mendakwa sekumpulan 15 anggota Dewan Rakyat telah bergabung tenaga untuk mencabar kepimpinan Khalid. Kumpulan itu sepatutnya menghantar satu petisyen kepada Penasihat PKR Datuk Anwar Ibrahim meminta Khalid diganti sebelum parti itu mengadakan pemukiman hujung minggu ini. Bagaimanapun menurut Azmin, rasa tidak senang dengan Khalid telah pun dibahaskan ketika Kongres Nasional PKR Keenam bulan lalu.
“Ia satu isu normal. Kami telah membincangkan dalam biro politik dan mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat. Kita juga telah melihatnya ketika kongres,” kata beliau.
Dalam pada itu, Pejabat Menteri Besar mengesahkan telah menerima faks berkenaan peletakan jawatan Azmin sebagai ahli lembaga pengarah PKNS tengah hari semalam.
“Kerajaan negeri menghormati keputusan YB Azmin, namun  Menteri Besar tidak boleh membuat sebarang komen sehingga  ahli lembaga pengarah PKNS  menimbangkan peletakan jawatan itu. Mesyuarat Exco pada Februari 2009 meluluskan pelantikan YB Azmin sebagai ahli lembaga pengarah PKNS,” kata Pejabat Menteri Besar dalam satu kenyataan. Pelantikan itu adalah untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa sehingga Februari 2011.

- TMI

0 Komen pengunjong :