KUALA LUMPUR: PAS melihat Umno cuba mencetus ketakutan
orang Melayu dengan menggunakan sentimen perkauman dalam agenda politik
mereka bagi menghadapi pilihanraya umum ke-13 nanti.
Naib
Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar memberitahu Umno sedang mereka-rekakan
cerita bahawa bangsa Melayu akan terancam disebabkan oleh bangsa lain.
"Dalam
masa mereka hendak mengukuhkan kedudukan mereka, orang Melayu
dimomokkan Umno dengan menggunakan politik sentimen perkauman.
"Umno
telah menakut-nakutkan orang Melayu bahawa kedudukan bangsa Melayu akan
terancam jika kaum lain memenangi pilihanraya," katanya kepada
Harakahdaily.
Menurutnya lagi, tindakan Umno dan akbar milik
mereka yang sering mempolemikkan isu sensitif dengan hasrat untuk
menakut-nakutkan rakyat negara ini terutamanya orang Melayu akan
menggagalkan semangat perpaduan kaum negara ini.
"Rakyat telah
sedar dengan fitnah yang dilemparkan oleh mereka dan saya pasti Umno
akan terus agresif untuk meneruskan isu sentimen perkauman ini demi
politik mereka.
"Namun saya yakin, rakyat sudah matang serta
menolak politik sempit Umno, rakyat sendiri sudah pasti keputusan yang
mereka lakukan demi kesejahteraan negara ini bukannya politik perkauman
Umno," kata beliau lagi.
Sebelum ini, filem 'Tanda Putra' yang
akan ditayangkan pada 13 September nanti disifatkan banyak pihak sebagai
filem yang cuba membangkitkan sentimen perkauman di negara ini.
Pakatan
Rakyat sebelum ini juga meminta kerajaan menayangkan filem tersebut
kepada pimpinan Pakatan Rakyat terlebih dahulu sebelum ditayang kepada
umum bagi mendapat maklum balas terhadap filem 'kontroversi' itu.
Namum sehingga kini perkara tersebut tidak mendapat maklum balas dari pihak kerajaan.
.
0 Komen pengunjong :