Liong Sik mohon hakim tarik diri, dakwa berat sebelah


KUALA LUMPUR — Bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik yang diperintah membela diri terhadap tuduhan menipu kerajaan Malaysia berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) memohon hakim yang mendengar kesnya menarik diri kerana didakwa berat sebelah.
Dr Ling yang diwakili peguam Wong Khian Keong memfail permohonan itu 5 Jun lalu di Mahkamah Tinggi di sini dan berikutan itu perbicaraan yang sepatutnya disambung hari ini ditangguhkan sehingga Khamis.
Sehubungan itu, Hakim Datuk Ahmadi Asnawi berkata kedua-dua pihak akan mengemukakan hujah masing-masing Khamis ini.
Menerusi notis usul, Dr Ling memohon Hakim Ahmadi menarik diri daripada mendengar dan memutuskan kes perbicaraan melibatkannya dan ia akan didengar dan diputuskan oleh hakim yang lain.
Dr Ling mengemukakan alasan bahawa komen-komen yang diberikan oleh Hakim Ahmadi ketika memutuskan beliau membela diri pada 9 Mac lalu adalah berat sebelah yang nyata.
Antara komen yang didakwanya berat sebelah ialah “...it is beyond him to now suggest that he was not aware of what transpired in the said meeting” dan “...In such event, in my view what was written by the accused to the Prime Minister (Tun Dr Mahathir Mohamad) reiterated above is plain deception without more.”
Sementara itu pihak pendakwaan yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya Manoj Kurup telah memfail afidavit jawapan terhadap permohonan itu pada 11 Jun lalu dan mendakwa alasan penghakiman setebal 83 muka surat yang memerintahkan Dr Ling membela diri adalah tidak berat sebelah yang nyata.
Manoj menyatakan bahawa Hakim Ahmadi membuat dapatan fakta berdasarkan keterangan yang dikemukakan semasa perbicaraan dan keterangan itu bukan sahaja yang dikemukakan oleh pihak pendakwaan malah daripada pemeriksaan balas saksi-saksi.
Beliau turut memberi alasan bahawa dapatan fakta oleh Hakim Ahmadi berkisar kepada setiap elemen dalam pertuduhan dan dalam mencapai keputusan bahawa pihak pendakwaan telah membuktikan satu kes prima facie, Hakim Ahmadi menghalusi kredibiliti saksi-saksi serta motif tertuduh.
Katanya beliau pecaya bahawa penemuan dan dapatan fakta dalam alasan penghakiman yang menyentuh setiap perkara penting dalam perbicaraan akan memudahkan pihak Dr Ling menyediakan pembelaan beliau dalam kes ini.
Dr Ling, 69, yang menjadi Menteri Pengangkutan selama 17 tahun sejak 1986, didakwa menipu kerajaan Malaysia apabila tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan negeri 7324 Lot 67894 yang berasaskan RM25 sekaki persegi (skp) iaitu RM1,088,456,000 sedangkan beliau tahu JPPH, dalam menentukan nilai kadar RM25 sekaki persegi (skp), telah mengambil kira kadar kupon/faedah.
Beliau juga didakwa atas dua pertuduhan pilihan (pindaan) iaitu menipu dan sengaja tidak mendedahkan kepada jemaah menteri fakta berkaitan kadar faedah sebanyak 7.5 peratus setahun adalah kadar faedah tambahan kepada harga pembelian tanah pajakan 7324 Lot 67894 berasaskan RM25 skp iaitu RM1,088,456,000.
Dr Ling didakwa melakukan semua kesalahan itu di tingkat 4, pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, Putrajaya antara 25 Sept dan 6 Nov 2002.
Bagi pertuduhan pertama, Dr Ling didakwa mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum tujuh tahun dengan denda atau kedua-duanya manakala bagi dua pertuduhan pilihan (pindaan), beliau didakwa mengikut Seksyen 417 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya.
Dr Ling telah didakwa pada 29 Julai 2010 dan dibicarakan selama tiga bulan bermula 1 Ogos tahun lepas.
Pihak pendakwaan yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Datuk Tun Abdul Majid Tun Hamzah memanggil seramai 25 orang saksi termasuk menteri kabinet dan pegawai kanan Kementerian Pengangkutan dan JPPH.
.

0 Komen pengunjong :