Isu PRU musim haji untuk tutup kepincangan negara


KUALA LUMPUR: AJK PAS Pusat, Idris Ahmad berkata menjadi kebiasaan kepada pemimpin Umno untuk melindungi kelemahan pentadbiran negara dan mengatasi masalah dalaman, maka isu pilihan raya umum di musim haji menjadi perbahasan hangat di media massa.
Katanya, PAS hanya meminta supaya pilihan raya jangan diadakan di musim haji seperti yang pernah berlaku pada tahun 1986.

Beliau berkata, sepatutnya mufti dan orang agama mesti memberi fatwa wajib memilih ketua negara dan melarang Datuk Seri Najib jangan membuat pilihan raya di musim haji.


“Isu ini dibangkit supaya  rakyat melupakan kepincangan negara di bawah kepimpinan Najib,” ujarnya kepada Harakahdaily.

Antaranya, ujar beliau masalah penyenaraian Felda Global Ventures Holdings Bhd, rasa tidak puas hati peneroka mengenai pengagihan saham kepada kakitangan Felda lebih banyak daripada peneroka.

Beliau menambah, mimpi ngeri Himpunan Bersih 3.0 dan Hijau tidak dapat ditandingi oleh Himpunan Jutaan Belia dan Himpunan 100 Ribu Bukit Jalil.

Selain itu, katanya isu kapal selam Scorpene, penjualan maklumat keselamatan, penyelewengan daftar pemilih sehingga SPR sudah dipandang tidak wibawa, pembekuan pinjaman PTPTN kepada pelajar Unisel seolah-olah mahu membunuh transformasi Najib.

“Isu NFC RM250 juta kepada suami Sharizat masih segar lagi. Media cuba menggelapkan anugerah projek kepada Raja Farhana Nong Chik yang bernilai RM30.8 juta oleh Kementerian Belia Dan Sukan.

“Pendedahan terbaru  pemberian penyediaan sistem Pusat Kawalan Trafik Udara Subang bernilai RM280 juta yang melibatkan bekas anak menteri dan terbaru bakal menantu Najib warganegara Kazakhstan Daniyar Nazarbayer dituduh menipu bapa tirinya bernilai AS$20 juta dan memasuki Universiti Columbia menggunakan dokumen palsu,” ujarnya.
.

0 Komen pengunjong :