Persatuan
Anak Peneroka Felda Kebangsaan (ANAK), satu NGO yang rapat dengan
Pakatan Rakyat membidas kenyataan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana
Menteri, Datuk Ahmad Maslan bahawa penyenaraian FELDA merupakan
'perkongsian kemakmuran'.
Menurut Dr Rosli Yaakop, (
gambar bawah, kanan sekali)
penasihat ekonomi ANAK, 'perkongsian kemakmuran' yang disebut Ahmad
tidak tepat kerana sumber yang ada pada Felda seharusnya dimanfaatkan
untuk generasi kedua Felda terlebih dahulu.
"Perkongsian
kemakmuran yang dimaksudkan itu ibarat menyusukan kera di hutan anak
sendiri ditinggalkan," katanya yang merupakan bekas timbalan pengarah
Bank Negara.
Ahmad semalam menyifatkan penyenaraian saham Felda
di Bursa Malaysia sebagai satu 'perkongsian kemakmuran' apabila
pelanggan saham FGVH bakal memperolehi pulangan dalam bentuk dividen
tahunan yang diagihkan kepada mereka.
Menurut Dr Rosli, sebarang
kekayaan Felda juga sewajarnya disalurkan kepada golongan peneroka yang
bersusah payah menyumbang usaha, tenaga dan titik peluh membangunkan
Felda selama ini.
"Apabila kita tengok prospektus, tiada peruntukan (saham) untuk generasi kedua FELDA.
"Kemakmuran
hendak diberi kepada pelabur asing yang sedia kaya, tauke-tauke atau
para spekulator saham yang bukan miskin. Ini lebih kepada perompakan,"
katanya sewaktu bercakap di lobi bangunan Suruhanjaya Sekuriti di Bukit
Kiara.
Serah memo pada Suruhanjaya Sekuriti
Dr
Rosli bersama Pengerusi ANAK, Mazlan Aliman petang tadi menyerahkan
aduan membantah penyenaraian Felda kepada Suruhanjaya Sekuriti.
Menurut
Mazlan, ANAK menyerahkan bantahan 154 peneroka dari gugusan Bera,
Pahang dan Raja Alias, Johor yang dakwanya ditipu untuk menandatangani
borang pinjaman bagi membeli saham FGVH.
Menurutnya,
peneroka tersebut diperdaya pengurus Felda menandatangani borang itu
dalam bahasa Inggeris secara tergesa-gesa dan mereka juga tidak
dibenarkan membawanya pulang ke rumah.
Malah, dakwanya lagi, borang tersebut juga tidak tercatat jumlah pinjaman yang dipohon dan tiada jadual pembayaran semula.
"Mereka dipaksa menandatangani borang pinjaman walaupun prospektus masih lagi dipamerkan," katanya.
Satu
permohonan mahkamah juga difailkan di Mahkamah Tinggi Kuantan semalam
bagi menghentikan perjanjian yang ditandatangani peneroka itu daripada
dikuatkuasakan, kata Mazlan.
Dalam pertemuan ringkas dengan
Pengurus Besar Suruhanjaya Sekuriti, Musa Mahmud yang menerima aduan
itu, Mazlan turut menyerahkan memorandum membantah penyenaraian Felda.
.
0 Komen pengunjong :