Bukit Kepong : Kelab bekas pegawai tinggi tentera sokong Mat Sabu


NILAI, 12 April: Kelab Pegawai-Pegawai Angkatan Tentera Bersara (RAFOC) rupa-rupanya bersetuju dengan pandangan Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu dalam isu serangan ke atas rumah pasung Bukit Kepong.

Kenyataan menyokong itu sebenarnya telah dibuat pada satu sidang media oleh mereka pada jam 11 pagi 14 September 2011 di sebuah hotel di ibu negara.

Bagaimanapun sidang media yang diketuai presiden mereka, Jeneral Bersara Datuk Mohd Ghazali Datuk Mohd Seth itu tidak mendapat liputan langsung oleh televisyen dan hanya sebahagian akhbar sahaja.

Kesemua itu direkodkan dalam buletin bulanan persatuan itu 'Berita Rafoc' edisi Jul-Sept diterbitkan 'untuk ahli sahaja'.

"Tujuan sidang media itu adalah untuk menyatakan pendirian Rafoc terhadap kenyataan Hj Mohamad Sabu (Mat Sabu) berhubung serangan Komunis ke atas Balai Polis Bukit Kepong, Johor in 1950.

"Oleh itu adalah dirasakan perlu bagi pihak Rafoc untuk menyatakan pendirian, agar tidak timbul salah faham di pihak awam dan juga pesara dan tentera khususnya, berkenaan dengan perkara yg disebutkan oleh Mat Sabu, bahawa kami bersetuju dengan apa yang dinyatakan Mat Sabu," laporan buletin itu dipetik.

Mengulas penemuan itu, Mohamad Sabu dalam ceramahnya di Taman Desa Rhu, Sikamat di sini malam tadi menyifatkan ianya kemenangan 1-0 buat dirinya.

"Orang duduk serang saya komunis. Tiba-tiba kelab bekas jeneral-jeneral tentera buat kenyataan sokong kenyataan saya. Aku menang 1-0," katanya disambut sorakan lebih 1000 hadirin yang hadir.

"Wahai polis dan tentera, ini jeneral-jeneral kamu. Mereka bermesyuarat dalam perbincangan panas dan panjang. Akhirnya membuat keputusan apa yang disebut oleh Mohamad Sabu tentang Bukit Kepong, Mohamad Sabu di pihak yang benar," katanya lagi.

Isu Bukit Kepong pernah menggemparkan politik negara apabila Mohamad dilaporkan mendakwa Muhammad Indera yang mengetuai serangan itu adalah hero sebenar kerana anggota polis di rumah pasung itu pada waktu itu adalah polish British yang menjajah negara ini.

Ianya kemudiannya dimainkan akhbar Umno Utusan Malaysia seolah-olah mendakwa Mohamad Sabu menyokong komunis dan menghina keluarga anggota polis yang terkorban dalam tragedi berdarah itu.

Terdahulu, ceramah malam tadi adalah sempena progran 'Jom Jelajah, Demi Rakyat Negeri Sembilan' anjuran Pakatan Rakyat negeri itu.

Selain Mohamad, turut berucap malam tadi, Kerabat DiRaja Negeri Sembilan Tunku Harmy Tunku Hannan, Pengerusi SAMM Bardul Hisham Shahrin serta Ahli MPP PKR Dr Mohamad Rafie Abdul Malek.

0 Komen pengunjong :