PETALING JAYA - Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) dari PKR hari ini menyifatkan dakwaan editor Malaysia Today, Raja Petra Kamarudin bahawa wujud skandal perlombongan pasir melibatkan mereka sebagai usaha mengalih pandangan umum dari isu kontroversi Pusat Fidlot Nasional (NFC).
Shuhaimi Shafiei dari Seri Muda berkata, kenyataan Raja Petra mempunyai banyak unsur manipulasi untuk menjadi satu plot cerita, yang disensasikan menerusi blognya, termasuk transkrip perbualan telefon.
Menurutnya, dakwaan beliau menerima RM50,000 dan RM35,000 adalah tidak benar.
Sebaliknya kata Suhaimi, beliau hanya menerima bayaran RM5,000 sebagai yuran ahli lembaga pengarah.
"Raja Petra menulis artikel tersebut dengan niat jahat untuk memberi gambaran buruk sedangkan realitinya adalah berlainan sekali.
"Saya yakin beliau kini bersekongkol dengan anasir-anasir Barisan Nasional (BN) yang cuba mengalih perhatian dari skandal NFC yang semakin memuncak," kata beliau pada sidang media bersama Adun Batu Caves, Amiruddin Shari di sini, hari ini.
Jelas beliau, nama Azmin yang disebutkan dalam blog berkenaan, bukan Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali sebaliknya Pembantu Khas Shuhaimi, Azmin Karim.
Menurutnya, Double Dignity (M) Sdn Bhd adalah syarikat perladangan kepala sawit di Sabah dan tidak pernah berdaftar di bawah Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB).
Shuhaimi menegaskan, beliau masih lagi ahli lembaga pengarah syarikat berkenaan manakala Amirudin pula berhasrat meletak jawatan, namun belum berbuat demikian kerana mesyuarat agung syarikat belum diadakan.
Semalam, Raja Petra mendakwa kedua-dua wakil rakyat penggal pertama itu terlibat dalam skandal rasuah melibatkan aktiviti melombong pasir di Selangor.
Beliau berkata, Suhaimi dan Amirudin mengambil rasuah untuk menyokong permohonan sebuah syarikat pasir, Double Dignity.
Raja Petra turut mengaitkan Timbalan Presiden PKR menerusi satu tanskrip perbualan telefon dengan mendakwa Ahli Parlimen Gombak itu sedang mengumpul dana menghadapi pilihan raya umum.
0 Komen pengunjong :