NGO hak asasi manusia, Suaram, yang memfailkan kes ke atas firma gergasi pembuat kapal perang Perancis, DCNS kerana didakwa memberi sogokan jutaan ringgit kepada pemimpin kerajaan Malaysia, akan ke London pada Oktober ini bagi menganjurkan majlis mengutip dana.
Peguam 'Sherpa' - sebuah pertubuhan bukan keuntungan yang berurusan dengan isu-isu perundangan hak asasi manusia - yang berpangkalan di Perancis dan mewakili Suaram dalam kes itu, akan juga hadir bagi memberi taklimat berhubung isu kontroversi berkenaan.
Skandal itu didakwa berlaku ketika Perdana Menteri Datuk Seri Najib Abdul Razak adalah timbalan perdana menteri dan menteri pertahanan. Ia membabitkan pembelian dua kapal selam kelas Scorpene bernilai RM7.3 bilion pada tahun 2002 oleh kerajaan Malaysia.
Ketika dihubungi, peguam yang mewakili Suaram, Joseph Breham yang berpangkalan di Paris berkata beliau akan berada di London untuk menghadariri acara pada Oktober itu. Setakat ini, hanya beliau seorang yang akan terbabit dengan majlis amal bagi mengumpul derma itu.
Namun, Breham berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang perkembangan terbaru berhubung kes itu seperti yang telah diterangkan oleh rakan sejawatannya, William Bourdon semasa melawat Malaysia dan berucap di Pulau Pinang semasa majlis amal Suaram yang pertama pada Julai lalu.
Bourdon kemudiannya ditahan pihak berkuasa dan diusir pulang semasa meninggalkan Pulau Pinang dan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur untuk menghadiri dua lagi acara yang sama di Petaling Jaya dan Ipoh.
Ditanya sama ada beliau akan mendedahkan butiran mengemparkan mengenai urusan Scorpene, Breham berkata tidak ada.
"Tidak ada unsur baru yang tidak dilindungi oleh keistimewaan profesional dalam kes itu buat masa ini, " katanya kepada
Malaysiakini.
"Saya akan ke London pada Oktober depan, sama ada Bourdon akan menyertainya, buat masa ini, tidak pasti lagi,” katanya.
Kes kapal selam Scorpene telah difailkan oleh Suaram pada tahun lalu melalui pasukan peguam Perancis itu.
Mereka mendakwa firma pertahanan Perancis DCNS membayar RM540 juta sebagai komisyen kepada syarikat Perimekar dalam perjanjian yang dimeterai pada 2002 itu.
Bayaran komisyen kepada pegawai dan pemimpin kerajaan dianggap satu jenayah mengikut undang-undang Perancis.
Perimekar adalah subsidari KS Ombak Laut Sdn Bhd, yang mana pemegang saham utamanya adalah isteri Abdul Razak Baginda.
Abdul Razak pula adalah rakan rapat Najib dan pembantunya itu didakwa terbabit dengan pembunuhan penterjemah warga Mongolia Altantuya Shariibuu tetapi kemudiannya dibebaskan oleh mahkamah.
0 Komen pengunjong :