KUALA LUMPUR, 25 Mac — Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan mendesak pentabdiran Datuk Seri Najib Razak agar memecat Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik daripada jawatan Pengerusi Risda kerana terlibat dalam pendedahan rakaman video seks, kononnya melibatkan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Abdul Rahim merupakan salah seorang dari tiga individu yang menggelarkan diri sebagai “Datuk T” yang telah menayangkan video seks itu kepada media pada Isnin lalu di Carcosa Seri Negara.
Selain media, rakaman video seks itu turut ditayangkan kepada anggota Majlis Pimpinan Pusat PKR dan Ahli Parlimen Sungai Petani Datuk Johari Abdul pada hari sama.
Datuk T terdiri daripada tiga individu iaitu Abdul Rahim, ahli perniagaan Datuk Shazryl Eskay Abdullah dan Bendahari Agung Perkasa Datuk Shuib Lazim.
Ketiga-tiga mereka aktif dalam politik dan perniagaan pada 1980-an dan 1990-an.
Selain itu, Datuk T juga mendesak Anwar dan isterinya yang juga Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail meletakkan jawatan dan tidak lagi terlibat dalam politik.
“Kami PKR Wilayah Persekutuan mewakili keseluruhan anggota PKR di Wilayah Persekutuan dengan ini mengutuk sekeras-kerasnya permainan ‘politik longkang’ terbaru Barisan Nasional (BN) yang berupa klip video seks yang muncul awal minggu ini.
“Ia adalah usaha yang terang lagi jelas didalangi sekumpulan manusia yang menggunakan nama ‘Datuk T’ iaitu Abdul Rahim Tamby Chik, Shazryl Eskay Abdullah, dan Shuib Lazim.
“Maka dengan ini PKR Wilayah Persekutuan memanggil Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memecat Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sebagai Pengerusi Risda dengan serta-merta,” kata PKR Wilayah Persekutuan dalam satu kenyataan hari ini.
Kata kenyataan itu, rakaman video seks itu yang turut dinafikan Anwar dan beberapa pemimpin PKR adalah satu usaha jahat untuk menabur fitnah terhadap Ketua Umum PKR itu.
“Usaha jahat kumpulan ini yang berkonspirasi dan bersubahat untuk menabur fitnah dan mengaibkan pimpinan kanan PKR merupakan satu lagi contoh betapa takutnya pihak tersebut akan kekuatan dan semangat PKR dan Pakatan Rakyat, menjelang pilihan raya negeri Sarawak.
“Tapi kami tidak akan goyah, tidak akan dipermain pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab ini,” katanya.
PKR Wilayah persekutuan juga turut mempersoalkan tindakan Abdul Rahim yang mendesak Anwar dan Dr Wan Azizah meletakkan jawatan.
“Kami juga mengangkat persoalan siapakah Abdul Rahim Tamby Chik untuk menyuruh sesiapa meletak jawatan, lebih-lebih lagi Ketua Umum PKR dan Presiden PKR? Malah, yang jelas lagi terang, orang yang sepatutnya meletakkan jawatan ialah Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik sendiri sebagai Pengerusi Risda.
“Beliau telah mencemar, menjatuhkan air muka, dan merosakkan imej sebuah organisasi yang berusia hampir empat dekad ini. Malah, beliau sebenarnya telah mencemar dan memalukan agama, bangsa dan negara,” katanya.
Ekoran tuduhan itu, Anwar telah membuat laporan polis berhubung rakaman video aksi seks itu dan menafikan bahawa dirinya adalah lelaki dalam video tersebut.
PKR Wilayah Persekutuan juga meminta pihak polis agar meneruskan siasatan secara menyeluruh terhadap kumpulan itu yang secara jelas menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan di atas kesalahan mengedar bahan lucah.
Anwar juga mendakwa Najib dan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Hussein terlibat dalam kes ini yang Pakatan Rakyat menganggap sebagai satu konspirasi baru menjelang pilihan raya negeri Sarawak dan pilihan raya umum ke-13 yang dipercayai diadakan dalam waktu terdekat.
Semalam, Abdul Rahim telah menyerahkan video aksi seks berkenaan, yang sebelum ini didakwa dirakamkan pada 21 Februari lalu, kepada polis setelah disoal siasat selama lima jam di ibu pejabat polis di Bukit Aman di sini.
0 Komen pengunjong :