Parti-parti komponen Pakatan Rakyat (PR) yang terdiri daripada PKR, PAS dan DAP tidak akan mampu untuk menumbangkan Barisan Nasional (BN) secara bersendirian, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
Justeru, Guan Eng (gambar kiri) berkata, PR perlu mencetus serta mencorakkan gelombang rakyat tanpa mengira kaum untuk bersama-sama pakatan itu bagi menumbangkan BN yang semakin rakus membolot kekayaan negara menjelang pilihanraya umum (PRU) ke-13.
"Selagi media arus perdana, wang dan jentera kerajaan terus dikuasai oleh BN, maka PR berada dalam keadaan yang tidak setara atau setanding untuk bertarung dengan BN, hanya gelombang kuasa rakyat jelata yang mampu untuk menumbangkan BN."
"Itulah semangat atau intipati yang ingin kita tiup dan sampaikan dalam Konvensyen Kebangsaan PR yang akan diadakan pada 19 Disember ini dengan Pulau Pinang sebagai tuan rumah selepas Selangor menganjurkannya buat kali pertama tahun lalu."
"Konvensyen Kebangsaan PR kali ini sangat penting kerana ia mungkin menjadi persidangan utama PR terakhir sebelum pilihanraya umum (PRU) ke-13 yang dijangka pada suku pertama tahun hadapan," katanya dalam kenyataan.
BN semakin rakus dalam membolot kekayaan negara tanpa mengambil kira ekonomi rakyat apabila menaikkan harga petrol RON95 sebanyak 0.05 sen kepada RM1.90 seliter, diesel dari RM1.75 kepada RM1.80 seliter, harga gas asli cecair (LPG) dinaikkan 0.05 sen kepada RM1.90 manakala harga gula dinaikkan sebanyak 0.20 sen menjadikan harga gula adalah RM2.10 untuk sekilo berkuat kuasa beberapa hari lalu.
Yang peliknya, syarikat-syarikat penjana tenaga persendirian atau IPP milik antara orang terkaya di Malaysia seperti Syed Mokhtar Al-Bukhary, T. Ananda Krishnan dan keluarga mendiang Lim Goh Tong umpamanya terus menikmati subsidi gas manakala rakyat dipaksa menanggung kenaikan harga petrol RON95.
Yang peliknya, syarikat-syarikat penjana tenaga persendirian atau IPP milik antara orang terkaya di Malaysia seperti Syed Mokhtar Al-Bukhary, T. Ananda Krishnan dan keluarga mendiang Lim Goh Tong umpamanya terus menikmati subsidi gas manakala rakyat dipaksa menanggung kenaikan harga petrol RON95.
Konvensyen Kebangsaan PR kali kedua akan diadakan di Dewan Melinnium, Kepala Batas, Pulau Pinang pada 19 Disember ini dijangka menarik kehadiran kira-kira 3,000 perwakilan termasuk pimpinan utama PR seperti Anwar Ibrahim, Lim Kit Siang, Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Guan Eng sendiri di samping beberapa perwakilan asing.
Mengulas lanjut, Guan Eng berkata, walaupun kerajaan negeri Pulau Pinang di bawah pentadbiran PR terus menerima asakan dan tohmahan oleh UMNO dan BN, namun pihaknya yakin rakyat akan tetap bersama PR kerana tahu kerajaan negeri PR di negeri sentiasa mengutamakan rakyat dan mentadbir negeri secara cekap, akauntabiliti dan telus.
"Jika rakyat terus menyokong BN, maka mereka harus bersedia untuk menerima lebih banyak kenaikan harga minyak, tepung, susu, gula dan barangan keperluan asas lain seperti mana yang pernah diumumkan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Idris Jala, yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Unit Penyampaian dan Pengurusan Prestasi (PEMANDU)," tambahnya.
*Kenyataan daripada Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.
0 Komen pengunjong :