KUALA LUMPUR 18 NOV: Datuk Jeffrey Kitingan tidak berminat menyertai mana-mana parti politik yang ditubuhkan di semenanjung, lapor Malaysiakini.
“Saya tiada hasrat sertai mana-mana parti baru yang mungkin ditubuhkan di semenanjung,” kata Jeffrey yang juga naib presiden PKR melalui telefon petang semalam.
Sebelum ini khabar angin bertiup kencang bahawa Jeffrey akan menyertai Datuk Zaid Ibrahim yang dikatakan akan membentuk parti baru selepas ketua PKR Wilayah Persekutuan itu menarik diri daripada pertandingan timbalan presiden yang sedang berlangsung dan mengumumkan tindakannya keluar parti.
Jeffrey yang tidak mempertahankan jawatannya juga sebelum ini menyokong Zaid untuk jawatan nombor dua PKR.
“Saya sedang bercuti sehingga akhir bulan depan. Saya tidak bercadang untuk sertai atau mengalakkan pembentukkan parti serpihan di semenanjung,” jelasnya.
“Saya ikuti perkembangan semasa tetapi tidak menasihatkan atau terbabit dengannya meskipun saya terpaksa mendengar nasihat yang tidak diminta. Ia adalah bahaya pekerjaan,” katanya.
Zaid ketika ini didakwa berminat menubuhkan parti yang berpusat di Sabah dan Sarawak selepas gagal mendapat tempat melalui parti politik di semenanjung.
0 Komen pengunjong :