KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mendakwa hakim yang mendengar perbicaraan kes sodomi II telah "menggertak" peguam utamanya selepas beliau berusaha untuk membatalkan kelayakannya sebagai hakim.
Dalam afidavit yang difailkan secara bertulis tengahari ini termasuk notis usul untuk membatalkan kelayakan Hakim Datuk Mohd Zabidin Mohd Diah sebagai hakim, Anwar berkata, Mohd Zabidin "telah mengancam" Karpal Singh semalam apabila peguam itu memberi notis hasrat pasukan pembelaan untuk memfailkan permohonan bagi membatalkan kelayakannya sebagai hakim.
"Peguam saya pada masa itu memberi notis kepada hakim bahawa beliau telah diarahkan oleh anak guam (saya) untuk meminta hakim menarik diri dari mendengar perbicaraan saya.
"Sebabnya hakim tidak menghormati keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes United Asian Bank Berhad melawan Tai Soon Heng Construction Sdn Bhd (1993).
"Hakim kemudian menjawab dengan menyatakan apa yang disebut oleh peguam saya boleh dianggap sebagai menghina mahkamah.
Peguam saya memberi respon dengan menyatakan isu menghina mahkamah tidak timbul kerana saya tidak diberi perbicaraan yang adil," kata Anwar dalam afidavitnya.
Menurut nota prosiding perbicaraan semalam, Karpal menuduh Mohd Zabidin "ancaman menghina mahkamah yang tidak perlu" maka "menakut-nakutkan peguam bela."
Hakim menarik balik kenyataan "menghina mahkamah"
Anwar berkata walaupun hakim kemudian menarik balik kenyataan "menghina" dan bersetuju bahawa ianya "tidak sesuai" beliau berkata demikian kepada Karpal, tindakan hakim "menggertak" memberi tanda "terdapat bahaya berat sebelah sebenar" yang boleh menghalang pemimpin pembangkang itu mendapat perbicaraan yang adil.
Anwar juga menekankan bahawa permohonan untuk membatalkan kelayakan hakim itu berdasarkan semata-mata atas tindakan Mohd Zabidin "menggertak" Karpal dan tidak ada sebab lain.
Terdahulu di mahkamah hari ini, Karpal memberitahu hakim bahawa notis usul termasuk permohonan Anwar telah difailkan dan perbicaraan tidak boleh diteruskan sehingga Mohd Zabidin mendengar permohonan itu.
"Yang Arif telah menggertak peguam bela kami, iaitu saya, (dan) sebab itu Anwar tidak akan mendapat perbicaraan yang adil.
"Kami memerlukan masa sehingga esok pagi supaya "benar-benar bersedia" untuk membatalkan kelayakan Yang Arif dari terus mendengar kes ini," kata Karpal.
Mohd Zabidin kemudian menetapkan esok pagi untuk pendengaran percubaan pasukan pembelaan untuk membatalkan kelayakannya sebagai hakim perbicaraan.
- The Malaysian Insider
0 Komen pengunjong :