KUALA LUMPUR, 5 Julai — Pengerusi DAP Karpal Singh masih mempertahankan hubungan dengan PAS meskipun kedua-dua komponen Pakatan Rakyat itu mempunyai pendirian berbeza sambil memberitahu pendirian itu perlu “dihargai, diterima dan dihormati kedua-dua parti.”
“Parti-parti Pakatan Rakyat mempunyai pendirian sama dalam isu penting seperti hak kemanusiaan, Akta Keselamatan Dalam Negeri melainkan PAS-DAP, negara Islam adalah isu yang perlu diselesaikan,” katanya.
Sehubungan itu beliau menyifatkan isu yang berlaku sekarang sebagai masalah keluarga dan tidak menjejaskan sokongan rakyat terhadap PR.
Peguam veteran itu meminta PAS menerima hakikat bahawa Malaysia ketika ini adalah negara sekular, bukannya sebuah negara Islam.
Menurut Karpal, perkara itu sudah termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bahawa negara ini adalah sekular dan PAS seharusnya menerima kandungan tersebut.
“PAS harus terima apa yang saya nyatakan. Sudah kerap kali dan disokong apa yang saya katakan tadi.
Ini bukan isu kompromi tetapi soalnya sekarang adalah... isu ini perlu diterima,” kata beliau dipetik Sinar Harian ketika ditemui wartawan di Kuala Terengganu.
Karpal sebelum ini dicabar Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya membuktikan konsep negara Islam acuan PAS yang telah dilaksanakan di Kelantan selama 20 tahun adalah salah.
Karpal bagaimanapun turut memberikan contoh berhubung satu kes pada 1988 bahawa hukuman gantung telah diputuskan lima hakim diketuai oleh Ketua Hakim Negara Tun Salleh Abbas.
“Jika ia mengguna pakai undang-undang negara sekular, bermakna ini negara sekular, bukan Islam,” katanya lagi.
Semalam, seorang pakar undang-undang dan penganalisis politik, Prof Aziz Bari berkata debat mengenai negara Islam dan negara sekular tidak perlu dibangkitkan kerana polemik itu tidak akan menguntungkan sesiapapun, sebaliknya hanya mengelirukan umat Islam dan menakutkan bukan Islam. Oleh itu menurut Aziz, semua orang harus berhenti dari bercakap tentang negara Islam kerana berpendapat orang Islam tidak akan jatuh kafir hanya kerana tidak bercakap tentang negara Islam.
“Tetapi bagi orang politik mereka lain, bagi mereka ini soal prinsip. Orang politik dari parti mana puan asyik prinsip saja. Atau pun mereka bertindak demikian kerana takut nanti orang tanya kenapa tidak persoal tentang perkara itu (negara Islam). Ini sebenarnya masalah antara Karpal dan Nik Aziz tadi,” kata dalam satu temu bual.
Nik Aziz berkata PAS akan terus melaksanakan Islam yang diperjuangkan sejak sekian lama walaupun ada bangkangan daripada beberapa pemimpin parti rakan sekutu dalam PR termasuk DAP. Menteri Besar Kelantan itu menganggap kenyataan Karpal yang menolak gagasan pembentukan konsep negara Islam PAS jika PR dapat menguasai pentadbiran negara, sebagai kenyataan peribadi.
Dalam temu bual dengan The Malaysian Insider minggu lalu Karpal mengulangi pendiriannya menolak untuk berkompromi terhadap konsep negara Islam yang diperjuangkan PAS sekiranya pembangkang mengambil alih negara.
“Mustahil bagi DAP berkompromi dalam hal ini. Kami tidak boleh kompromi agar negara berubah menjadi negara Islam (jika PR mengambil alih kerajaan pada masa depan),” kata Karpal.
- TMI
Polis tahan kambing gemar kejar orang
2 days ago
0 Komen pengunjong :