Showing posts with label Zairil Khir. Show all posts

Kuasa Melayu tak akan hilang – Zairil

SHAH ALAM, 16 MEI: Kuasa Melayu tidak mungkin hilang di Malaysia seperti yang digembar-gemburkan sesetengah pihak tidak bertanggungjawab kerana terdapat banyak faktor yang menjadikannya sangat mustahil.
Menggulung hujah pada program wacana ‘Pasca PRU13: Ke mana haluan politik Melayu’, Ahli Parlimen Bukit Bendera DAP, Zairil Khir Johari menegaskan bahawa ‘tidak kan Melayu hilang di Malaysia’.
Menjawab kerisauan yang dibangkitkan sesetengah pihak, Zairil berkata, adalah mustahil kuasa Melayu boleh hilang lantaran faktor demografi, undang-undang serta daulat Raja-raja Melayu.
“Masyarakat Melayu adalah masyarakat terbesar, dan semakin berkembang. Manakala masyarakat Cina hanya 25 peratus (daripada keseluruhan populasi) dan (jumlahnya) semakin mengecil,” katanya menjawab kerisauan kononnya Melayu semakin hilang kuasa.
Beliau yang juga Timbalan Setiausaha Publisiti DAP turut mengegaskan bahawa kedudukan dan hak istimewa orang Melayu serta kedudukan agama Islam adalah perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan yang bukan sahaja tidak boleh dipinda sesuka hati malah dijunjung tinggi oleh DAP.
Menurutnya lagi, Raja-raja Melayu adalah pelindung kepada hak dan kepentingan orang Melayu, maka tidak mungkin kuasa Melayu boleh hilang begitu sahaja.
Zairil turut membangkitkan relevansi topik wacana yang baginya sangat tidak betul. Menurutnya adalah sangat pelik bagi orang Melayu untuk membincangkan soal hala tuju politik selepas setiap kali pilihan raya apabila negara sudah 56 tahun merdeka dan diterajui sebuah parti Melayu.
Beliau dijemput sebagai panelis pada program anjuran Sinar Harian sebagai panelis bersama mantan Ahli Parlimen Temerloh, Datuk Saifuddin Abdullah serta Ahli Parlimen PAS Kuala Terengganu, Raja Datuk Kamarul Bahrin. – Roketkini.com
Seterusnya >>>

Sessi soal jawab wacana kecoh, Zairil tenang menjawab


SHAH ALAM, 16 MEI: Gara-gara tidak dapat mengawal emosi dan semangat perkauman yang tinggi, sessi soal jawab Wacana Sinar Harian semalam kecoh seketika.
Presiden Persatuan Wartawan Melayu, Datuk Yazid Othman bingkas bangun pada sessi pertanyaan audien wacana ‘Pasca PRU13: Ke mana haluan politik Melayu’ dan menuduh kononnya tidak wujud kebebasan akhbar di Pulau Pinang kerana wartawan Utusan Malaysia tidak dibenar membuat liputan sidang media Kerajaan Negeri.
“Di mana kebebasan media di Pulau Pinang, sedangkan akhbar seperti Utusan Malaysia tidak dibenarkan membuat liputan di Pulau Pinang,” soalnya, di samping mendakwa terdapat diskriminasi kaum di Universiti Malaya yang kononnya melebihkan pensyarah berketurunan Cina.
Soalan beliau disambut gelak ketawa berdekah-dekah daripada hadirin yang lantas menyuruhnya duduk sambil menyifatkan soalan itu sebagai dangkal.
Seorang lagi audien turut beremosi ketika bertanya mengenai Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat Pulau Pinang yang dipimpin Ketua Menterinya, Lim Guan Eng sambil meluahkan kebimbangan mengenai penguasaan orang Cina pada masa hadapan.
Beliau berkata, kononnya setelah Lim Guan Eng mengambil alih pentadbiran, Ketua Menteri itu mengumum untuk memansuhkan DEB di Pulau Pinang; yang kemudiannya disambut gelak ketawa hadirin yang menyuruhnya berhenti sambil bertanya, ‘Ini cadangan ke soalan?’
Kedua-dua penyoal terpaksa ditenangkan oleh pihak penganjur.
Keadaan yang tegang seketika kembali seperti sedia kala apabila Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dengan tenang menjawab soalan kedua-duanya.
“Kebebasan media tidak bermakna ada kebebasan untuk memfitnah,” ujarnya menerangkan kenapa Utusan Malaysia tidak dijemput membuat liputan sidang akhbar Kerajaan Negeri terutamanya oleh Ketua Menteri.
“Sudah cukup fitnah yang disiarkan Utusan Malaysia,” katanya sambil memberitahu bahawa akhbar milik UMNO itu terlalu kerap disaman fitnah oleh pemimpin Pakatan Rakyat.
“Lim Guan Eng saman Utusan, Lim Guan Eng menang. Karpal Singh saman Utusan, Karpal Singh menang, Azan Ismail pun saman Utusan, Azan menang. Malah apabila dibuat rayuan pun Utusan kalah dalam rayuan itu,” katanya, disambut sorak sorai penyokong Pakatan Rakyat yang hadir ke wacana itu, di Kompleks Kumpulan Media Karangkraf.
Malah, menurutnya lagi, fitnah pemansuhan DEB seperti yang dibangkitkan penyoal kedua itu pun adalah antara saman terhadap Utusan Malaysia yang dimenangi Guan Eng.
“Saya rasa penyumbang dana terbesar untuk Pakatan Rakyat dalam PRU kali ini ialah Utusan Malaysia,” ujarnya berseloroh.

– Roketkini.com
Seterusnya >>>

'Melayu-DAP jauh kerana momokan Umno'


Setiausaha politik kepada setiausaha agung DAP, Zairil Khir Johari mendakwa Umno "menguasai emosi dan minda" orang Melayu dengan momokan bahawa parti itu sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.

Dakwanya, Umno dan BN menggunakan kuasa dalam kerajaan untuk menimbulkan persepsi takut orang Melayu terhadap parti itu sehingga hubungan DAP dan Melayu menjadi "negatif".

"Umno selama 50 tahun memupuk satu budaya ketakutan, momok untuk takutkan Melayu bahawa DAP parti 'chauvanis'. Dengar sahaja Melayu sertai DAP, seolah-oleh (individu itu) murtad.

"(Sungguh) efektif propaganda Umno untuk mengawal minda rakyat," katanya dalam forum bertajuk "Melayu, Islam dan DAP" di Shah Alam petang semalam.

Bercakap dalam forum anjuran akhbar Roketkini.com, Zairil mendakwa tindakan itu merupakan "modal" Umno bagi menakutkan orang Melayu mendekati parti itu di samping menegaskan bahawa Umno yang memperjuangkan kaum Melayu.

Sehubungan itu, Zairil mendakwa Umno menggunakan segala isu yang berkaitan agama dan perkauman "walaupun ada dakwaan yang tidak masuk akal" bagi menakutkan orang Melayu terhadap DAP.

Fahaman sosial demokrat

Dengan memberi contoh bahawa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng akan menggantikan Yang di-Pertuan Agong dan beliau menjadi penyembelih lembu korban.

"Nak main (isu itu) supaya memupuk budaya atau suasana ketakutan (dalam masyarakat Melayu)," katanya sambil mendakwa Umno berbuat demikian untuk mengekalkan kuasa mereka.

"Kalau Melayu menerima konsep politik pelbagai kaum, maka Umno dan BN menjadi tidak relevan. Mereka akan hilang," katanya dalam forum yang dihadiri kira-kira 100 orang.

Zairil turut menepis dakwaan sesetengah pihak yang menganggap bahawa DAP merupakan parti yang ekstrem atau berfahaman komunis.

Tegasnya, jika parti itu bersikap demikian, sudah lama partinya diharamkan oleh kerajaan.

"Selama 46 tahun (ditubuhkan), parti ini tidak pernah diharamkan, pemimpin DAP tidak ditangkap kerana subversif dan menjadi komunis.

"(Fahaman) DAP berdasarkan kepada sosial demokrat yang mementingkan ketelusan, keadilan dan keselesaan sosial dan ekonomi," katanya.

DAP susuri laluan PAS


Turut hadir dalam forum tersebut ahli parlimen Shah Alam Khalid Samad, pensyarah Dr Maszlee Malek dan Ketua Eksekutif Institut Hal Ehwal Ekonomi dan Demokrasi (IDEAS) Wan Saiful Wan Jan.

Bersetuju dengan pandangan Zairil, Khalid pula mendakwa kaedah politik dan strategi BN untuk "memperkotak-katikkan" saingan politik mereka dengan dakwaan bahawa DAP adalah pelampau Cina dan PAS sebagai ekstremis Melayu dan agama.

Mengakui apa yang dilalui DAP, turut dialami PAS pada suatu ketika dahulu apabila parti itu sukar untuk mendampingi kaum bukan Melayu dan Islam.

"Dikatakan jika PAS berpengaruh, bukan Melayu akan dipaksa masuk Islam. Begitu juga dengan DAP (jika berkuasa), orang Melayu akan kehilangan kuasa, agama ditindas dan hak dinafikan semata-mata untuk mendapatkan sokongan orang Melayu," katanya.

Khalid berkata sebagai langkah mengatasi masalah itu, kedua-dua pihak memberi peluang kepada wakil masing-masing berada dalam satu majlis sekaligus membuktikan DAP tidak memusuhi orang Melayu dan PAS juga tidak memusuhi bukan Islam.

"Ini satu perkembangan yang mengancam kedudukan Umno dan BN. Mereka tidak memonopoli kedudukan wasatiah. Kita diterima sebagai parti yang bertoleransi dan mampu bekerjasama... Strategi mereka dapat dipatahkan," katanya.
.
Seterusnya >>>

Perjuangkan Islam kononnya, tapi tabur fitnah...

Agenda sebenar Dr.Hasan Ali sudah jelas terbongkar dengan kenyataan terbarunya yang dangkal, bebal dan berasaskan fitnah semata-mata.

Semasa berceramah di Bangi tempoh hari, Hasan Ali (gambar kanan) telah dilaporkan berkata bahawa apabila Pakatan Rakyat mengambil alih tampuk kuasa Putrajaya, DAP akan menggabungkan Malaysia dengan Singapura untuk menubuhkan sebuah republik.  Di samping itu, Hasan Ali juga mendakwa DAP akan memansuhkan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan menghapuskan elemen-elemen Islam di negara kita.

Motif politiknya sebagai orang suruhan UMNO sudah terbongkar.  Saya berasa kesian kerana Hasan Ali terpaksa menjual harga dirinya dengan menipu rakyat untuk mendapatkan publisiti murahan.

Katanya memperjuangkan Islam, tetapi yang keluar dari mulutnya bukan sahaja fitnah yang bahaya tetapi juga merupakan sindiran yang menderhaka dan berunsur hasutan yang bertujuan untuk mengapi-apikan sentimen perkauman.

Namun begitu, saya percaya taktik fitnah taraf UMNO ini tidak akan dipercayai umum.  DAP adalah sebuah parti yang berasaskan Perlembagaan Persekutuan dan tidak mengambil pendirian yang mencabar teras-terasnya.

Sebagai bukti pendirian DAP dalam mempertahankan kerangka kenegaraan yang sedia ada, termasuk sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan, saya memetik tiga perkara yang terkandung dalam Deklarasi Shah Alam yang baru sahaja dibentangkan, dibahas dan diluluskan dengan sebulat suara oleh para pewakilan dalam Persidangan Kebangsaan DAP 2012 bulan lepas:

1. Mempertahankan sistem Demokrasi Berparlimen dan Raja Berperlembagaan dengan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara. DAP komited untuk menjunjung Perlembagaan Persekutuan Malaysia sebagai undang-undang yang paling agung negara dan meluhurkannya dalam semangat Merdeka 1957 dan Perjanjian Malaysia 1963.
2. Memelihara kedudukan istimewa orang Melayu dan Bumiputra serta hak-hak kaum-kaum lain, seperti yang termaktub dalam Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan.
3. Memastikan kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan serta kebebasan untuk mengamalkan agama-agama lain dengan aman dan damai, seperti yang termaktub dalam Artikel 3 dan 11 Perlembagaan Persekutuan.


Petikan di atas jelas membuktikan komitmen DAP untuk menjunjung dan mempertahankan teras-teras Perlembagaan Persekutuan.

Dan jika benar DAP mempunyai hasrat untuk merendahkan status Islam, kenapakah Kerajaan Pakatan Rakyat pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng di Pulau Pinang meningkatkan berkali-kali ganda peruntukan tahunan untuk hal ehwal Islam?  Kenapakah di Pulau Pinang jauh lebih banyak bantuan diberi berbanding dengan Kerajaan BN untuk pembesaran tapak perkuburan, pembangunan Sekolah Agama Rakyat dan program-program sambutan kebesaran Islam?

Di samping itu, baru-baru ini Utusan Malaysia telah didapati bersalah dan diarahkan membayar RM200,000 kerana memfitnah Lim Guan Eng dan kerajaan pimpinannya sebagai anti-Melayu dan anti-Islam.  Keputusan mahkamah ini adalah bukti yang paling nyata bahawa DAP tidak pernah mengambil pendekatan yang mencabar teras-teras kenegaraan dan kemasyarakatan di negara kita.

Dengan fitnah dan tuduhan yang melampau ini, peranan Hasan Ali sebagai musuh dalam selimut sudah tidak diragui.  Sesungguhnya seseorang yang begitu cepat berpaling tadah dan menyongsangkan pendiriannya tidak layak dipercayai.

Di samping itu, baru-baru ini Utusan Malaysia telah didapati bersalah dan diarahkan membayar RM200,000 kerana memfitnah Lim Guan Eng dan kerajaan pimpinannya sebagai anti-Melayu dan anti-Islam. Keputusan mahkamah ini adalah bukti yang paling nyata bahawa DAP tidak pernah mengambil pendekatan yang mencabar teras-teras kenegaraan dan kemasyarakatan di negara kita.


Dengan fitnah dan tuduhan yang melampau ini, peranan Hasan Ali sebagai musuh dalam selimut sudah tidak diragui. Sesungguhnya seseorang yang begitu cepat berpaling tadah dan menyongsangkan pendiriannya tidak layak dipercayai.
Seterusnya >>>

Kuasa UMNO adalah kemudaratan orang Melayu

Isu penyertaan beberapa orang Melayu ke dalam DAP baru-baru ini sedang hangat dibicarakan, terutama sekali di kalangan pemimpin UMNO yang seolah-olah teruja dengan perkara yang sebenarnya tidaklah luar biasa sangat.

Yang terbaru, Timbalan Presiden UMNO Muhyiddin Yassin sendiri telah menyindir bahawa DAP tidak pernah membela kepentingan orang Melayu, manakala Ketua Puteri UMNO pula menuduh Kerajaan Negeri Pulau Pinang menganaktirikan masyarakat Melayu di sana.

Tuduhan pemimpin-pemimpin UMNO ini jelas palsu kerana sejarah jelas membuktikan bahawa DAP adalah parti yang membela sesiapa sahaja yang ditindas, tanpa mengira warna kulit atau agama.

Lebih sedekad lalu Setiausaha Agung DAP yang kini merangkap Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng tidak teragak-agak untuk membela seorang anak gadis Melayu yang tercabul, sehingga beliau sendiri terpaksa meringkuk dalam penjara akibat dimangsakan oleh undang-undang yang berat sebelah.

Mungkin pemimpin-pemimpin UMNO, terutamanya yang bertaraf Puteri atau Putera, malah Pemuda, tidak tahu atau tidak mengingati akan insiden ini.  Atau pun pemimpin-pemimpin UMNO sengaja tidak mahu ingat kerana yang terlibat itu adalah seorang pemimpin daripada kalangan parti mereka.

Di Pulau Pinang pula, Kerajaan Negeri Pakatan Rakyat pimpinan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng giat melaksanakan program-program kebajikan sosial yang disasarkan kepada pelbagai golongan seperti warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya, keluarga-keluarga muda serta pelajar-pelajar sekolah dan universiti adalah contoh-contoh dasar yang membantu golongan masyarakat yang paling memerlukannya.

Dasar yang dilaksanakan ini jelas tidak bersifat perkauman.  Namun, rata-rata golongan yang paling banyak menerima bantuan adalah masyarakat Melayu yang selama ini dipinggirkan dan disia-siakan oleh Kerajaan UMNO yang kononnya memperjuangkan kepentingan mereka.

Bagi hal-ehwal agama Islam pula, Kerajaan UMNO-BN hanya memperuntukkan RM12 juta setahun.  Di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat, jumlah ini telah dinaikkan setiap tahun sehingga peruntukan untuk tahun 2012 sudah pun mencecah RM64 juta, iaitu lima kali ganda lebih.

Peruntukan besar ini merangkumi usaha-usaha untuk, antara lainnya, pembesaran tapak perkuburan Islam, pembangunan Sekolah Agama Rakyat, elaun-elaun untuk pegawai masjid, guru KAFA, para Huffaz serta progam-program sambutan kebesaran Islam (yang mengikut fitnah UMNO tidak disambut sama sekali di Pulau Pinang).  Tidakkah ini membantu masyarakat Islam yang rata-ratanya orang Melayu?

Tambahan pula, sistem tender terbuka yang diperkenalkan oleh Kerajaan Negeri PR Pulau Pinang telah menampakkan kejayaan kontraktor-kontraktor Melayu yang selama empat tahun sejak perlangsungannya telah memenangi lebih 70% daripada semua tender Kerajaan Negeri.  Lebih penting sekali, mereka telah berjaya secara sah dan tanpa bantuan atau pengaruh politik.

Dalam erti kata lain, bukan sahaja usahawan-usahawan Melayu telah berjaya dalam suasana persaingan, mereka juga dimartabatkan kerana berjaya atas daya usaha mereka sendiri.

Sekiranya pemimpin-pemimpin UMNO merasa bahawa warga Melayu di Pulau Pinang berada dalam keadaan tertindas dan tidak maju, bukankah itu salah kerajaan BN yang telah memerintah selama lebih 50 tahun di Pulau Pinang?

UMNO sudah tidak layak untuk membela nasib orang Melayu.  Ini kerana mereka hanya tahu satu jalan penyelesaian, iaitu dalam bentuk skim cepat kaya yakni Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dengan syarikat-syarikat penjana tenaga elektrik bebas (IPP), konsesi-konsesi berat sebelah dengan syarikat-syarikat pengendali tol lebuhraya, skandal RM250 juta National Feedlot Corporation yang melibatkan keluarga seorang menteri dan juga penyenaraian Felda Global Ventures yang bakal menguntungkan segelintir kroni elit.

Kerajaan Pakatan Rakyat tidak pernah menganaktirikan sesiapa pun.  Yang melemahkan orang Melayu adalah pucuk pimpinan UMNO yang mahu mengekalkan kuasa melalui kebergantungan orang Melayu kepada UMNO.  Dalam ertikata lain, kuasa UMNO adalah kemudaratan orang Melayu.

Kerana itu, tidak hairanlah kenapa orang Melayu yang makin celik dan sedar akan kemungkaran UMNO dan sekutu-sekutunya tidak akan takut lagi untuk memilih DAP yang mengutamakan rakyat Malaysia dan menawarkan siasah baru yang berteraskan demokrasi, hak asasi dan peluang saksama.
Seterusnya >>>

UMNO punca anak Khir Johari pilih DAP

SHAH ALAM – UMNO sekarang yang dikatakan berbeza dengan UMNO ketika zaman ayahnya membuatkan anak Allahyarham Tan Sri Khir Johari berjuang bersama DAP sehingga dilantik menjadi setiausaha politik kepada Setiausaha Agung parti itu, Lim Guan Eng.

Zairil Khir , 28, berkata, UMNO yang pernah diperjuangkan ayahnya bersama Tunku Abdul Rahman Putra, kini adalah sebuah parti politik yang 'kosong' dan hanya tinggal jasad.
"Saya sendiri amat kecewa melihat keadaan ini. UMNO sering diperalat pemerintah bagi kepentingan peribadi," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam situasi ini, katanya, DAP sebagai parti berbilang kaum sama seperti PKR menganggap perjuangan politik berasaskan sentimen perkauman sudah tidak relevan.

"Kita mahu tumpu kepada politik progresif untuk kebaikan bersama," katanya.

Zairil berkata, beliau sendiri sedar ramai yang memandang serong kepadanya apabila anak kepada seorang pengasas UMNO dan pejuang kemerdekaan memilih untuk berpolitik bersama DAP, bukan UMNO.

“Mereka yang berpandangan demikian tidak berupaya untuk melangkaui rangka pemikiran sempit. DAP ada wakil tertinggi daripada setiap kaum. Dalam sejarahnya, pernah ada Melayu jadi pemimpin DAP. Jelas sekali ini sebuah parti berbilang kaum,” katanya.

Zairil turut menafikan tanggapan sesetengah pihak beliau guna populariti nama ayahnya sebagai batu loncatan, manakala DAP pula sekadar mahu meraih kemenangan moral apabila anak kepada seorang pemimpin besar UMNO me­nyertai parti itu, malah diberi jawatan tinggi.

“DAP tidak gun nama ayah saya. Media yang gembar-gemburkan isu itu. Namun saya tidak boleh lari daripada hakikat bahawa ayah saya seorang daripada pengasas UMNO,” katanya.
Ditanya mengenai dakwaan beliau hanya satu watak dalam 'wayang’ kepada DAP untuk menunjukkan parti tersebut berbilang kaum, Zairil menegaskan, pelantikannya bukanlah 'alang-alang' kerana diberi jawatan mencabar.

“Saya bekerja bawah ketua yang sentiasa mempunyai ekspetasi yang tinggi terhadap hasil kerja pegawai-pegawainya,” katanya.
Seterusnya >>>