Showing posts with label Tun Dr Ling Liong Sik. Show all posts

Kes PKFZ: Liong Sik mohon kes ke Mahkamah Tinggi

2907ling PUTRAJAYA: Bekas Menteri Pengangkutan, Tun Dr. Ling Liong Sik yang dituduh menipu kerajaan berhubung skandal Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) melibatkan pembelian tanah bernilai RM1.08 bilion, hari ini memohon agar kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.
Selain itu, beliau juga memohon untuk mendapatkan tiga dokumen bawah Akta Rahsia Rasmi.
Peguam beliau, Wong Kian Kheong, memberitahu Mahkamah Sesyen Putrajaya bahawa pihaknya telah membuat permohonan pemindahan itu pada 1 September lalu mengikut Seksyen 418A Kanun Acara Jenayah dan memohon pihak pendakwaan mempertimbangkannya.
Tiga dokumen yang dipohonnya pula adalah dokumen mesyuarat jemaah menteri, mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Pengangkutan dan mesyuarat jawatankuasa jemaah menteri.
"Merujuk Seksyen 2C Akta Rahsia Rasmi 1972, kami perlukan penjelasan takrif ”rahsia rasmi” dengan merujuk kepada tiga dokumen ini yang tergolong sebagai ”rahsia rasmi”.
“Saya perlu dokumen ini diklasifikasi untuk membolehkan pembelaan sewajarnya dibuat.
"Untuk sediakan pembelaan, saya juga telah memberitahu pendakwaan bahawa saya perlu menemu bual saksi-saksi berkenaan dengan tuduhan utama dan tuduhan alternatif dengan kehadiran pegawai penyiasat,” kata Kian Kheong sambil memohon satu tarikh sebutan awal dan singkat demi kepentingan awam memandangkan Liong Sik pernah menjadi menteri.
Hakim Suzana Hussin kemudiannya menetapkan 30 November untuk sebutan kes.
Pada 29 Julai lalu, Liong Sik, 67, mengaku tidak bersalah terhadap satu pertuduhan utama dan satu pertuduhan alternatif menipu Jemaah Menteri dengan menyembunyikan fakta dalam pembelian tanah itu, di Tingkat 4, Pejabat Perdana Menteri, Bangunan Perdana Putra, di Putrajaya di antara 25 September 2002 dan 6 November 2002.
Seterusnya >>>

Sultan Selangor gantung Liong Sik, Phang guna gelaran


SHAH ALAM, 1 Sept — Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah telah menitahkan supaya Darjah Kebesaran Negeri yang membawa gelaran “Datuk” yang dikurniakan kepada bekas Menteri Pengangkutan Tun Dr Ling Liong Sik digantung.
Dalam satu kenyataan hari ini, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Ramli Mahmud berkata baginda juga menitahkan agar darjah kebesaran negeri yang dikurniakan kepada bekas Pengurus Besar Lembaga Pelabuhan Klang, Datin Paduka O.C. Phang, turut digantung.
Tindakan itu diambil setelah Ling dan Phang dihadapkan ke mahkamah berhubung skandal Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).
“Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor membuat keputusan  di atas setelah mempertimbangkan bahawa kesalahan-kesalahan yang dipertuduhkan ke atas kedua-dua mereka ini adalah kesalahan serius yang  melibatkan kepentingan rakyat dan negara,” kata Ramli.
Beliau berkata keputusan penggantungan itu dibuat setelah Dewan Diraja Selangor bersidang pada 19 Ogos lepas.
Ramli berkata penggantungan gelaran dan penggunaan darjah kebesaran bagi Ling dan Phang akan disemak semula setelah mahkamah memutuskan  mereka tidak bersalah dan dibebaskan daripada pertuduhan.
Ling dan Phang mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan masing-masing.
Darjah Kebesaran Datuk Paduka Mahkota Selangor membawa gelaran Datuk dikurniakan kepada Ling pada 1992, manakala Darjah Kebesaran Datuk Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah yang membawa gelaran “Datin Paduka” dikurniakan kepada Phang pada 2001. 

— Bernama
Seterusnya >>>

PKFZ : Bekas presiden MCA didakwa

Bekas menteri pengangkutan, Tun Dr Ling Liong Sik hari ini didakwa di Mahkamah Sesyen Putrajaya atas tuduhan menipu kerajaan Malaysia dengan memperdaya Jemaah Menteri berhubung pembelian tanah untuk projek ”Mega Distribution Hub” di Pelabuhan Klang.
Ling, 67, juga adalah bekas presiden MCA.
Beliau tiba di mahkamah pada jam 4.45 petang dengan ditemani isterinya, Toh Puan Ena Ling serta dua anak lelakinya.
Ling kemudian mengambil tempatnya di kandang tertuduh.
Beliau adalah presiden MCA yang kedua dihadapkan ke mahkamah selepas Tan Koon Swan.
Ling didakwa menipu kerajaan sekitar 25 September 2002 dan 6 November 2002 dengan memperdayakan jemaah menteri untuk memberikan persetujuan pembelian tanah di Pulau Indah untuk projek Mega Distribution Hub di Pelabuhan Kelang.
Dia juga didakwa dengan curang menyembunyikan fakta berhubung penilaian Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta, Kementerian Kewangan ke atas tanah seluas 43,538,200 kaki persegi yang dicadangkannya.
Ling yang memegang jawatan Menteri Pengangkutan selama 14 tahun dari Januari 1986 hingga Mei 2000, didakwa atas satu pertuduhan utama mengikut Seksyen 418 Kanun Keseksaan dan satu pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 417 kanun yang sama.
Seksyen 418 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Manakala pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 417, Kanun Keseksaan, yang membawa hukuman lebih ringan iaitu penjara sehingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Beliau bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan membayar ikat jamin RM1 juta dengan seorang penjamin.
Hakim Suzana Hussin kemudiannya menetapkan 3 September ini sebagai tarikh sebutan kes.
Ling kemudiannya dibebaskan dengan jaminan polis dan akan membayar wang ikat jaminnya di Mahkamah Sesyen, esok.
Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail mengetuai pendakwaan dan dibantu oleh Ketua Bahagian Pendakwaan Datuk Tun Majid Tun Hamzah, Dzulkifli Ahmad dan Manoj Kurup, manakala Ling diwakili peguam Datuk RR Sethu.
Sebelum ini, desas desus seorang personaliti terkenal dijangka didakwa di Mahkamah Sesyen itu menyaksikan puluhan wartawan, termasuk agensi berita luar negara bekejar ke mahkamah sejak awal pagi ini.

Kebanyakan mereka berhimpun di lobi dan pintu masuk mahkamah manakala ada pula yang menunggu di kawasan sekitarnya.
Pada jam 4 petang, Abdul Gani dan tiga timbalan pendakwa raya, termasuk ketua pendakwa Datuk Tun Abdul Majid Hamzah, tiba di mahkamah tanpa bercakap kepada wartawan.
Dua yang lain itu adalah Manoj Kurup and Dzulkifli Ahmad.
Sebelum kehadiran mereka di mahkamah, sebuah kereta Proton Perdana hitam dilihat memasuki perkarangan mahkamah dengan seorang lelaki yang tidak dikenali.
Seterusnya >>>