Showing posts with label Sultan Kedah. Show all posts

Tolak cubaan heret Sultan dalam isu berbangkit

Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah bertitah meminta rakyat di negeri ini agar berwaspada dan menolak sebarang percubaan pihak tertentu mengheret institusi raja-raja dalam isu-isu yang berbangkit.
Baginda mengingatkan rakyat supaya sentiasa memelihara keamanan serta menumpukan usaha untuk meningkatkan taraf hidup dan tidak perlu gusar tentang ancaman atau gangguan keselamatan ke atas mereka.
"Peristiwa yang berlaku di beberapa tempat lain akan menyebabkan timbulnya perpecahan di kalangan rakyat kerana kadangkala permainan politik tidak mengambil kira ketenteraman awam dan kecetusan huru-hara.
"Beta yakin ikatan perpaduan yang erat di kalangan penduduk berbilang kaum dapat menjadi benteng untuk memelihara keamanan dan usaha kerajaan beta untuk terus mengeratkan perpaduan hendaklah disokong sepenuhnya,” titah baginda.
Langkah kerajaan negeri yang berusaha meningkatkan keyakinan dan kemasukan pelabur asing dan tempatan bagi memajukan sektor pembuatan di negeri itu turut menarik perhatian baginda dalam titah tersebut.
"Kerajaan beta telah memberi perhatian khas bagi mempercepat dan membantu para pelabur menjayakan projek masing-masing dan beta berharap inisiatif seperti ini dapat mempercepatkan kelulusan dan melancarkan segala urusan berkaitan pelaksanaan projek pembangunan," titah baginda.
Baginda bertitah demikian ketika Istiadat Menyembah Tahniah dan Penganugerahan Darjah-darjah serta Bintang-bintang Kebesaran sempena ulang tahun ke-83 keputeraan baginda di Istana Anak Bukit, pagi tadi.
Sementara itu, Menteri Besar, Datuk Seri Azizan Abdul Razak dalam ucapannya pada majlis yang sama berkata, kerajaan negeri akan terus mendukung konsep federalisme dan prinsip demokrasi dan pembahagian kuasa seperti yang terkandung dalam perlembagaan negara.
Beliau juga berharap agar kerajaan pusat dapat menuruti dan menghayati prinsip yang sama demi kepentingan rakyat secara keseluruhannya.
"Segala harapan rakyat telah diterjemahkan kepada pelbagai projek yang dirancangkan dan perancangan kerajaan tidak akan menjadi kenyataan tanpa mendapat kerjasama semua pihak," katanya.
Anggota Exco Kerajaan Negeri Kedah, Dr Hamdan Mohamed Khalib dan Ahli Parlimen Baling, Ustaz Taib Azamudden Md Taib telah dianugerahkan Datuk Setia DiRaja Kedah (DSDK) yang membawa gelaran Datuk.
Seterusnya >>>

Nafi sumbangan negeri, Sultan Kedah dukacita

ALOR SETAR, 14 Nov: Sultan Kedah, Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah kecewa dengan pihak-pihak yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan negeri membantu mangsa banjir besar baru-baru ini.
"Namun, beta dukacita kerana ada suara sumbang yang tidak menghargai sumbangan dan pengorbanan kerajaan beta serta semua pihak yang terlibat di dalam membantu mangsa banjir," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berkenan merasmikan Sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) Kedah, Penggal Ketiga, dekat sini, pagi tadi.

Sementara itu, baginda juga merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang menyumbang dana, saling membantu dan bekerjasama memberi bantuan tanpa mengira sempadan agama, bangsa dan fahaman politik semasa negeri menghadapi bencana banjir terburuk itu.

"Beta merakamkan penghargaan kepada semua yang terlibat membantu mangsa banjir dan keadaan ini jelas menggambarkan semangat persaudaraan dan perpaduan yang kukuh di kalangan rakyat beta yang berbilang kaum dalam menghadapi bencana, titah baginda lagi.

Ucapan tahniah turut dirakamkan kepada Menteri Besar (Datuk Seri Azizan Abdul Razak) yang berjaya menerajui kerajaan negeri secara adil, beramanah dan proaktif.

"Rakyat di negeri ini telah diberi layanan yang adil, hubungan antara kaum semakin erat melalui pelbagai aktiviti yang telah dijalankan. Beta dapati kerajaan negeri telah memberikan sepenuh daya usaha dan kerjasama dengan semua pihak bagi memajukan negeri ini," titah baginda.
Seterusnya >>>