Showing posts with label Rahimi Osman. Show all posts

'Wee patut beritahu polis Rahimi tak dipaksa'

Jika dipanggil, peguam PKR Saiful Izham Ramli meminta ahli parlimen Wangsa Maju Wee Choo Keong memberitahu "perkara sebenar" bahawa Rahimi Osman - bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim - tidak dipaksa membuat akuan bersumpah.

Saiful Izham yang juga anggota majlis pimpinan pusat PKR berkata, Wee tidak pernah diminta menjadi pesuruhjaya sumpah kepada Rahimi sebaliknya dia didakwa menawarkan diri sendiri bagi tujuan itu.

Menurut Saiful Izham juga, pihaknya tidak mahu Wee di kemudian hari mungkin mendakwa beliau juga dipaksa menjadi pesuruhjaya sumpah kepada Rahimi.

"Mungkin dia ada sesuatu hendak disembunyikan," kata Saiful Izham dalam sidang media di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya awal petang tadi.

Semalam, Wee enggan mengesah atau menyangkal dakwaan balas bahawa Rahimi tidak dipaksa atau dikurung.

Wee berkata peranannya dalam hal ini hanya terhad sebagai pesuruhjaya sumpah yang menyaksikan Rahimi menandatangani satu akuan bersumpah pada 29 Jun 2008.

Rahimi menjadi tumpuan Rabu lalu, apabila dia menuduh peguam Latheefa Koya dan yang lain, menahannya di Hotel Quality, Shah Alam dan memaksanya untuk menandatangani akuan bersumpah palsu.
Cetak Halaman Ini
Seterusnya >>>

Din Binjai Nafi Rahimi Diugut Tandatangani Akuan Bersumpah

PengiringRahimi
Exco Pemuda Angkatan Muda KEADILAN (AMK), Amizuddin Ahmat aka Din Binjai menafikan dakwaan bekas pembantu Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammad Rahimi Osman bahawa beliau dipaksa dan diugut semasa membuat akuan sumpah berhubung kes fitnah 2 terhadap Anwar.
Pada sidang media yang diadakan di ibu pejabat Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) tengahri tadi, Amizuddin menjelaskan pada ketika itu, beliau bersama-sama dua individu lagi iaitu bekas pemandu Rahimi, Dzulimran Mohd Nasar dan Dzulkifli Ibrahim yang juga merupakan Exco Pemuda AMK menemani Rahimi ke Quality Hotel di Shah Alam pada malam 28 Jun 2008.
"Kami bersama-sama Rahimi pada setiap masa dan beliau bebas bergerak ke mana sahaja, membuat panggilan telefon dan beliau juga bebas berjumpa dengan sesiapa sahaja.
"Pada malam 29 Jun 2008 pula, Rahimi mengajak kami menonton perlawanan bola sepak 'Final Euro Cup' menaiki keretanya di Seri Pentas, Damansara.
"Selepas itu, kami juga pergi minum di satu kedai mamak sebelum pulang ke hotel, kami bersama Rahimi daripada 28 Jun sehingga 1 Julai 2008," jelas beliau dalam sidang media tersebut.
Malah katanya lagi, Rahimi juga memperkenalkan ahli keluarganya ketika berada di hotel tersebut.
Sementara itu, peguam, N Surendran berkata dakwaan Rahimi bahawa beliau telah dipaksa merupakan satu tuduhan yang sangat serius.
"Keterangan ketiga-tiga saksi ini adalah bertentangan dengan apa yang dilaporkan oleh Rahimi. Ini bermakna, apa yang dinyatakan oleh beliau adalah tidak benar.
"Apa yang menghairankan, mengapa Rahimi mengambil masa dua tahun untuk menukar akuan sumpah yang beliau buat dahulu," soal beliau.
Ketua Penerangan KEADILAN yang juga merupakan peguam yang mewakili Rahimi semasa itu, Latheefa Koya sekali lagi menegaskan bahawa tidak ada paksaan dan ugutan ketika menyediakan akuan sumpah tersebut.
Menurut Latheefa, bagi dua akuan sumpah seorang lagi bekas pembantu Anwar, Rasid yang turut menukar akuan sumpahnya semalam telah disediakan oleh peguam beliau, Saiful Izham Ramli manakala akuan sumpah yang kedua telah disediakan oleh beliau sendiri.
"Untuk akuan sumpah yang pertama ianya telah disaksikan oleh Ahli Parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong yang merupakan Pesuruhjaya Sumpah pada ketika itu.
"Ketika disoal oleh pihak polis, saya telah menyatakan dengan jelas bahawa Choo Keong menjadi Pesuruhjaya Sumpah kepada akuan sumpah yang pertama manakala akuan sumpah yang kedua pula oleh peguam, S Selvarajah.
"Choo Keong harus memberikan penjelasan mengapa beliau secara melulu menyalahkan saya dan mengatakan sesuatu yang tidak kena dengan akuan sumpah tersebut, adakah beliau terlibat seperti yang didakwa Rahimi?," soal Latheefa.
Dalam pada itu, Surendran turut meminta pihak polis mengambil tindakan terhadap Rahimi dan Rasid (Rosdi)yang secara jelas telah melanggar undang-undang di bawah seksen 199 kanun keseksaan, di mana mereka telah membuat akuan sumpah palsu.
Semalam Rasid Rosdi, seorang lagi bekas pembantu Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim membuat laporan di balai polis Shah Alam, mendakwa akuan bersumpah yang ditandatanganinya pada 2008 dibuat secara paksaan.
Rasid berkata beliau menurunkan tandatangannya kerana risaukan keselamatan diri dan keluarganya.


Cetak Halaman Ini
Seterusnya >>>

Pasukan Pembelaan Mungkin Kemuka Permohonan Menghina Mahkamah Terhadap Rahimi Esok

IMG_5346_1SHAH ALAM 13 Okt - Pasukan pembelaan dalam perbicaraan Fitnah II mungkin akan membuat permohonan subjudis terhadap bekas pembantu Ketua Oposisi, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada mahkamah esok bagi berhubung laporan polis yang dibuatnya mengenai penafian ke atas dua akuan bersumpah yang ditandatangani pada 2008.

Peguambela, Sankara Nair dalam emel kepada Suara Keadilan berkata langkah itu susulan daripada kenyataan ketua pasukan pembelaan, Karpal Singh dan beliau sendiri mengenai perkara tersebut.

Sankara juga berkata perbicaraan Fitnah II juga akan bersambung semula esok bermula pukul 8.30 pagi hingga 2.00 petang dan hari Jumaat pukul 8.30 pagi hingga 12.00 tengahari.

"Ini adalah agar Datuk Seri Anar Ibrahim dan Karpal boleh menghadiri sidang Parlimen pada hari-hari tersebut," kata beliau.

Beliau juga memaklumkan pihak pendakwaan akan memanggil dua lagi saksi forensik untuk prosiding esok. 

Cetak Halaman Ini
Seterusnya >>>

'Rahimi gugup, dikawal ketat ketika SD dibuat'

Ahli parlimen Wangsa Maju, Wee Choo Keong enggan mengesah atau menyangkal dakwaan balas bahawa Rahimi Osman - bekas pembantu ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - tidak dipaksa atau dikurung.

Wee (bawah, kiri) berkata peranannya dalam hal ini hanya terhad sebagai pesuruhjaya sumpah yang menyaksikan Rahimi menandatangani satu akuan bersumpah pada 29 Jun 2008.

"Rahimi hanya menyatakan dalam akuan bersumpah itu bahawa dia bimbangkan keselamatan dirinya. Tidak ada (di dalamnya) yang melibatkan orang lain," kata Wee kepada wartawan di lobi Parlimen hari ini.

Rahimi menjadi tumpuan Rabu lalu, apabila dia menuduh peguam Latheefa Koya dan yang lain, menahannya di Hotel Quality, Shah Alam dan memaksanya untuk menandatangani akuan bersumpah palsu.

Antara lain, Rahimi mendakwa dia dipaksa untuk melibatkan Datuk Seri Najib Tun Razak - timbalan perdana menteri ketika itu - dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor dalam konspirasi terhadap Anwar.

Latheefa dan yang lain telah menafikannya berkali-kali, dan yang terbaru, mendakwa Wee telah menyaksikan akuan sumpah itu ditandatangani secara sukarela.

Hari ini, Wee tidak mendedahkan sama ada Rahimi sememangnya dipaksa, tetapi menegaskan bahawa dia kelihatan "gugup" dan sentiasa dikawal ketat.

"Rahimi memang nampak gugup dan begitu juga Anwar sewaktu akuan bersumpah itu dibuat. Itulah pertama kali saya bertemu Rahimi, "katanya.

Rahimi (kanan) berkata dia tidak terlibat dalam akuan bersumpah kedua kerana dia diberitahu bahawa ia akan melibatkan individu-individu tertentu.

Cetak Halaman Ini
Seterusnya >>>

Peguam PKR: Wee Choo Keong saksi SD

Bekas pemimpin PKR yang berpaling tadah dan juga ahli parlimen Bebas, Wee Choo Keong dikenal-pasti sebagai saksi ketika bekas pembantu ketua umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim - Rafini Osman menandatangani akuan bersumpahnya.

Dua peguam yang didakwa oleh Rahimi “memaksanya” menandatangani akuan bersumpah itu - ketua penerangan parti itu, Latheefa Koya dan ketua Pemuda PKR Kedah, Saiful Izham Ramli berkata akuan itu ditandatangani di hadapan Wee, yang ketika itu adalah ahli parlimen PKR di Wangsa Maju.

"Rahimi tandatangan akuan bersumpah pertama pada 29 Jun 29, 2008, di Quality Hotel di Shah Alam. Dia tandatangan secara sukarela di hadapan peguam, ahli parlimen dan pesuruhjaya sumpah Wee Choo Keong.

"Dakwaannya, kami 'kurungnya' di Quality Hotel adalah lucu dan tidak benar. Dia berada di situ atas kerelaannya sendiri sepanjang masa dan secara suka rela menawarkan maklumat bagi membantu kami dengan kes Anwar,” kata Latheefa dalam kenyataan kepada polis.

Beliau bersama Saiful Izham, sebelum memberikan salinan laporan polis berkenaan disoal-siasat di Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan di Bukit Aman, Kuala Lumpur untuk selama sejam.

Mereka turut diiringi oleh peguam masing-masing, N Surendran and Rashid Ismail.

Kedua-dua mereka disiasat mengikut Seksyen 199 Kanun Jenayah kerana didakwa membuat akuan palsu dan jika didapati bersalah boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Rahimi memberi keterangan kepada polis semalam.

Dalam pendedahannya pada 6 oktober lalu, Rahimi mendakwa dia dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah pada 2008 yang memalit Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dan isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dengan perbicaraan Anwar yang sedang berlangsung.

Dakwanya, kedua-dua Latheefa dan Saiful Izham "menahannya" di sebuah hotel untuk beberapa hari selepas itu.
Seterusnya >>>

Rahimi: Tanyalah Anwar siapa masukkan saya?

Enggan menamakan sesiapa, Rahimi Osman meminta pihak berkenaan bertanyakan sendiri kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim tentang siapakah yang membawanya masuk ke pejabat ketua umum PKR itu.

"Ada juga yang tanya siapa bawa masuk saya dalam pejabat Anwar? Jawapan saya, tanyalah Anwar sendiri.

"Yang penting, saya tidak direkrut oleh sesiapa di dalam PKR. Saya dah jadi penyokong parti sejak dahulu lagi," kata bekas pembantu Anwar itu.

Rahimi (kanan) dipercayai merujuk kepada kenyataan Naib Presiden PKR Mustaffa Kamil Ayub semalam yang menimbulkan persoalan yang didakwanya tidak pernah dibincangkan oleh anggota PKR, iaitu siapakah yang membawa Rahimi masuk ke ibu pejabat PKR?

Mustaffa (kiri) juga mempertikaikan kenapa Rahimi "beriya-iya" mahu memadamkan nama Perdana Menteri Datuk Najib Razak dan isterinya Datuk Seri Rosmah Mansor sekarang sedangkan kedua-dua mereka begitu berdiam diri.

Dalam satu kenyataan hari ini, Rahimi juga menjelaskan beliau langsung tidak berkecil hati dengan kenyataan yang mengatakan beliau seorang sahaja beria-ia mempertahankan Najib dan Rosmah sedangkan kedua-dua mereka cuma berdiam diri.

"Saya bukannya beria-ia untuk mempertahankan perdana menteri dan isteri. Lagipun sebagai PM, kenapa pula dia perlu buang masa untuk melayan perkara-perkara sebegini sedangkan ia dalam siasatan polis.

'Tak baca berita?'
"Biarlah polis buat kerja," katanya sambil menyifatkan Mustaffa sebagai terdesak dan "kurang perhatian" daripada bosnya sendiri.

Lagipun, menurut Rahimi lebih penting bagi perdana menteri memfokuskan kepada tugas utama sebagai 'kapten' yang mengemudi Malaysia.

Beliau juga menyelar tindakan pihak tertentu yang terus mempersoalkan kenapa beliau mengambil tindakan itu sekarang, walaupun mendakwa dipaksa menandatangani akuan bersumpah itu pada 2008 lagi.

Menurutnya, persoalan itu telah pun dijawab dengan penuh terperinci dan disiarkan dalam akhbar.

"Cita-citanya ingin bertanding jawatan tinggi dalam PKR, tetapi nampak sangat dia sendiri tak baca berita. Macam mana nak jadi pemimpin?

"Nasihat saya, lain kali kalau nak cakap gunalah akal dahulu, jangan terlalu terdesak mencari populariti untuk meraih undi ahli serta mendapatkan pujian dan sokongan pemimpin atasan yang sebenarnya memandang rendah pada mereka," kata Rahimi.

Minggu lepas, Rahimi mendakwa dipaksa dua peguam PKR Latheefa koya dan Saiful Izham Ramli untuk menandatangani akuan bersumpah bagi mengaitkan Najib dan Rosmah dalam kes dakwaan liwat oleh Mohd Saiful Bukhari Azlan.

Latheefa dan Saiful - kedua-duanya juga pemimpin PKR - bagaimanapun menafikannya.
Seterusnya >>>

Malam 28 Jun: Anwar mengeletar, pucat lesi

Bekas pembantu kontroversial Datuk Seri Anwar Ibrahim - Rahimi Osman yang mendakwa dipaksa membuat akuan bersumpah palsu - menyangkal cerita Latheefa Koya berhubung peristiwa merangka akuan tersebut.

Katanya, cerita Latheefa kepada Malaysiakini, yang disiarkan semalam adalah tidak betul dan hakikatnya, - dia langsung tidak takut bahawa polis akan menangkapnya dan sekaligus menafikan yang dia mencari perlindungan di Quality hotel di Shah Alam pada 28 Jun 2008.

“Orang-orang Anwar yang sebenarnya tidak henti-henti menelefon saya untuk menyuruh saya ke Quality Hotel.

“Pada mulanya saya enggan pergi, tetapi apabila ibu dan bapa menasihati saya supaya pergi untuk berjumpa dengan Anwar atas tanda hormat kepada Anwar kerana masih belum tentu dipastikan Anwar itu bersalah,” katanya dalam satu kenyataan akhbar hari ini.
Cerita sebenar?

Latheefa sebelum ini, mendakwa Rahimi tiba pada malam 28 Jun itu dengan gementar dan ketakutan sebelum menceritakan semula apa yang beliau dengar daripada Saiful Bukhari Azlan.
Menurut ketua penerangan PKR itu lagi, Rahimi juga minta tinggal di hotel itu kerana takut dicari polis berikutan kemungkinan namanya turut disebut dalam laporan polis Saiful Bukhari. Pasukan peguam itu kemudian bersetuju memberikan perlindungan kepada Rahimi.

Rahimi dilaporkan kembali tenang semula setelah beberapa hari Saiful Bukhari membuat laporan polis mendakwa diliwat Anwar.

Dalam kenyataan akhbarnya hari ini, Rahimi menafikan cerita Latheefa itu.

Dakwanya, sebelum ke Quality Hotel, dia berada di Hospital Kuala Lumpur bersama Saiful Bukhari, pakciknya, staff-staff dan doktor serta ramai pihak polis termasuk daripada bahagian Jabatan Siasatan Jenayah, Bukit Aman dan sempat berkenalan dan berbual panjang dengan mereka.

“Jadinya, kenapa pula kata Latheefa bahawa saya yang takut pihak polis menangkap saya dan meminta perlindungan daripada mereka di Quality Hotel?

“Sedangkan saya baru sahaja pulang dari HKL, berbual dan beramah mesra dengan ramai anggota serta pegawai polis yang mengendalikan kes Saiful. Ini adalah antara kenyataan paling kelakar yang dibuat oleh Latheefa.”

Tangannya mengeletar

Sebaliknya menurut Rahimi, sebenarnya, Anwar yang berada di dalam ketakutan.
“Mukanya pucat lesi dan ketika bersalam dengan Anwar, tangannya memang mengeletar.

“Saya boleh cabar pemimpin parti yang ada pada malam itu di Quality Hotel untuk nafikan bahawa muka Anwar pucat lesi. Kalau dia seorang hero dan tidak takut, kenapa pula perlu lari ke kedutaan Turki?” soal Rahimi.

Katanya, beliau telah menceritakan berhubung apa yang sebenarnya terjadi kepada naib pengerusi PKR, R Sivarasa dan Latheefa tetapi mereka menyuruhnya menukar cerita.

“Saya tidak hairan langsung Latheefa boleh menipu. Kerana dialah yang sibuk menjadi guru mengajar saya berkali-kali untuk memberi kenyataan palsu di mahkmah.

“Sehinggakan membuat demonstrasi keadaan di mahkamah kepada saya dan soalan-soalan yang bakal diajukan kepada saya. Kalau saya tidak perlu menipu, kenapa pula mereka perlu berkali-kali mengajar saya?” katanya .

Menurut Rahimi beliau juga bersimpati dengan Latheefa kerana dipergunakan dan juga diperalatkan tetapi sebagai seorang peguam, ketua penerangan PKR itu sepatutnya faham apa yang dilakukannya adalah semata-mata untuk meperbetulkan kesilapan.

Mulut sangat becok

“Walaupun bukan sedikit orang-orang dalam PKR yang membenci Latheefa kerana mulutnya yang sangat becok. Tetapi, orang-orang yang membenci Latheefa inilah yang menggunakan dia untuk memelihara kedudukan masing-masing.
“Saya doakan hati Latheefa terbuka dan tidak dipergunakan lagi. Amin,” kata Rahimi.

Rahimi membuat kejutan pada 6 Oktober lalu, apabila memberitahu wartawan bahawa dia telah membuat laporan polis di ibupejabat polis daerah Klang berhubung dua akuan sumpah (SD) yang dibuatnya lebih tiga tahun lalu.

Peguamnya - S Ravi Chandran - berkata laporan polis dibuat untuk menyatakan bahawa dua akuan bersumpah itu adalah tidak tepat.

Akuan bersumpah itu ada kaitan dengan perbicaraan liwat Anwar yang sedang berjalan, di mana beliau dituduh meliwat seorang lagi bekas pembantunya, Saiful Bukhari Azlan.
Seterusnya >>>

Rahimi: Saya tiada niat mahu ganggu kes liwat kedua Anwar


KUALA LUMPUR, 8 Okt — Sambil mempertahankan tindakannya mempertikaikan status dua akuan bersumpah yang menurutnya telah dipaksa menandatanganinya dua tahun lalu, Rahimi Osman menegaskan, dia tidak berniat mahu mengganggu kes liwat kedua dilalui Datuk Seri Anwar Ibrahim sekarang.
Bekas pembantu Anwar itu yang dihubungi The Malaysian Insider hari ini berkata, dia hanya mahu membetulkan “kesilapan” yang dia telah lakukan sebelum ini.
“Saya tiada niat untuk mengganggu perbicaraan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Saya juga tiada hak untuk menuduh Anwar atau Saiful bersalah ataupun membuat tuduhan-tuduhan palsu,” kata Rahimi.
“Saya hanya membuat laporan ini kerana saya mahu membetulkan kesilapan-kesilapan masa lalu, kata Rahimi dalam respons melalui emel yang dikirim kepada The Malaysian Insider.
Petang kelmarin, Rahimi mendakwa dia telah dipaksa mengaitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datuk Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat Anwar dengan menandatangani dua akuan bersumpah pada Jun 2008.
Rahimi mendakwa dia telah dipaksa oleh peguam-peguam Anwar termasuk Ketua Penerangan PKR Latheefa Koya.
Rahimi berkata dia telah dipaksa menandatangani akuan bersumpah pada 28 Jun 2008, yang mendakwa Najib dan Rosmah mendalangi konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat melibatkan bekas pembantunya, Mohd Saiful.
Saiful mendakwa dia diliwat Anwar beberapa hari sebelum itu dan kes itu sedang berlangsung.
Dalam laporan itu, Rahimi mendakwa dia telah dipaksa menandatangani dua akuan bersumpah oleh Latheefa dan juga beberapa anggota parti di Quality Hotel akhir Jun 2008
Semalam, Latheefa menafikan kenyataan itu dan mendakwa laporan polis dibuat Rahimi dua tahun lalu membuktikan dia tidak pernah dipaksa untuk menandatangani akuan bersumpah mengaitkan Najib dan Seri Rosmah Mansor dalam kes liwat Anwar.
“Sama ada Perdana Menteri baik atau tidak, kita tidak boleh mendakwa beliau berhubung perkara-perkara yang beliau tidak lakukan.
“Kita tidak boleh menuduh seorang yang baik seperti imam melakukan perkara-perkara buruk. Meskipun seseorang itu adalah pencuri, kita tidak boleh menuduh pencuri itu merogol,” kata Rahimi.
Rahimi juga menambah, dia tidak boleh mendedahkan kandungan akuan bersumpah baru dalam waktu terdekat ini.
“Saya tidak mahu mengganggu perbicaraan kes liwat Anwar yang sedang berlangsung,” katanya lagi.
Seterusnya >>>

Siapa Rahimi Osman?

PKR, yang mendapat publisiti buruk khususnya pada mesyuarat agung tahunan beberapa cabangnya sejak beberapa minggu kebelakangan ini, sekali mencuri tumpuan dengan pendedahan oleh Rahimi Osman.

Beliau membuat laporan polis semalam dengan mendakwa Ketua Penerangan PKR, Latheefa Koya dan Ketua Pemuda PKR Kedah Saiful Izham Ramli memaksanya membuat dua laporan bersumpah pada tahun 2008.

Dalam laporannya, beliau berkata akuan bersumpah berkenaan dipinda kandungannya untuk memalit dan memfitnah Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Abdul Razak dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor dalam konspirasi terhadap Anwar dalam kes liwat tersebut.

Rahimi adalah pembantu Anwar pada tahun 2007 dan 2008 dan dikatakan antara mereka yang paling rapat dengan ketua umum PKR itu semasa pilihan raya umum.
Kandas di UIA

Beliau direkrut pada Mac 2007 bagi mengemas-kini blog Anwar, selepas kandas dalam peperiksaannya di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIA).

Jejaka berusia 25 tahun itu ditempatkan di pejabat PKR di Seksyen 16, Petaling Jaya yang juga dianggotai oleh kakitangan lain seperti Nik Nazmi Nik Ahmad, Sim Tze Tzin dan anak perempuan Anwar, Nurul Izzah - semua mereka sekarang ini adalah perwakilan PKR.

Seorang lagi kakitangan adalah Nathaniel Tan yang mengendalikan sebuah lagi pejabat di Phileo Damansara.
"Rahimi menyertai pada mulanya sebagai seorang sukarelawan. Tetapi beliau kemudian menguruskan semua temu-janji Anwar khususnya ketika tempoh pilihan raya kerana semua pembantu lain sibuk dengan kempen masing-masing,” kata seorang lagi kakitangan, Farhash Wafa Salvador.

Yang menarik, Rahimi adalah rakan sekolah Mohd Saiful Bukhari Azlan, di SMK Damansara Utama.

Saiful adalah pembantu kepada Anwar yang mendakwa dirinya diliwat tanpa rela oleh ketua pembangkang itu.

Rahimi juga adalah orang yang memperkenalkan Saiful kepada bossnya itu.

Perkara berkenaan didedahkan oleh Saiful semasa perbicaraan kes liwatnya itu.

Malah, nama Rahimi ditimbulkan sebanyak dua kali pada perbicaraan berkenaan.

Saiful juga membuat pengakuan bahawa Rahimi menghubunginya untuk berbual pada satu ketika pada Mac 2008 sebelum pilihan raya umum diadakan.
Seterusnya >>>