Showing posts with label Pilihan raya Serawak. Show all posts

Pakatan berpotensi menang besar di Sarawak- Fuziah

Timbalan Pengarah Pilihan Raya KEADILAN, Fuziah Salleh berkata Pakatan Rakyat mempunyai potensi besar untuk memenangi Pilihan Raya Negeri Sarawak yang berkemungkinan berlangsung April depan.
Fuziah berkata, Pakatan Rakyat (PR) menyasarkan kawasan tertentu terutamanya di kawasan bandar dan pinggir bandar bagi memenangi pilihan raya berkenaan.
“Semua kerusi sudah berjaya kita selesaikan dan peringkat parti tiada masalah untuk menghadapi PRN nanti.
“Antara kawasan sasaran yang berpotensi untuk potensi menang seperti Kuching, Miri, Sibu dan Bintulu memandangkan sokongan pengundi di kawasan itu terhadap PR amat menggalakan,” katanya selepas sidang media bagi membantah pembinaan kilang sisa buangan kimia di Kuantan baru-baru ini.
Semalam, Dewan Undangan Negeri Sarawak dibubar bagi  membolehkan pilihan raya DUN ke-10 diadakan.
Menurut Fuziah, sokongan terhadap Pakatan di Sarawak dapat dilihat semasa konvensyen di Sarawak dan Sabah baru-baru ini yang menyaksikan sambutan rakyat di luar jangkaan.
“Kita sebenarnya gembira dengan sokongan rakyat yang ingin perubahan dan mahukan PR meneraju negeri itu,” ujarnya yang juga Ahli Parlimen Kuantan.
Beliau yang juga Naib Presiden KEADILAN turut meminta Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melanjutkan tempoh berkempen kerana Sarawak sebuah negeri yang besar.
“Sekiranya mahu berkempen ke satu-satu tempat, kita akan menaiki bot dan sudah pasti tidak banyak tempat yang dapat dilawati dalam masa tujuh hari sekaligus menyukarkan usaha berkempen.
“Ditambah pula dengan masalah kelengkapan logistik juga antara kekangan di pihak kita,” ujarnya.
Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan KEADILAN Sarawak, Wan Zainal Wan Senusi sebelum ini berkata, Pakatan Rakyat Sarawak sudah mengenalpasti 36 kerusi sasaran di negeri itu yang mampu ditawan pada pilihan raya akan datang.
Menurutnya, 36 kerusi ‘panas’ itu merupakan sasaran minima bagi memastikan Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan baru selepas pilihan raya akan datang.
Seterusnya >>>

Taib : BN Sarawak Bersiap Sedia Untuk Pilihan Raya Negeri

Ketua Menteri Tan Sri Abdul Taib Mahmud hari ini berkata Barisan Nasional (BN) Sarawak sedang bersiap sedia bagi pilihan raya negeri yang mesti diadakan menjelang Julai tahun depan tetapi tidak membayangkan bila ia akan diadakan.
Taib (gambar), yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata para pemimpin empat parti komponen BN Sarawak telah diarahkan supaya mempersiapkan diri semasa permukiman tahunan BN negeri selama dua hari yang diadakan di Taman Negara Mulu di Miri, yang berakhir semalam.
“Ia (pilihan raya negeri) boleh diadakan tidak lama lagi atau kemudiannya, ia tidak penting sangat tapi kami sedang menyiapkan diri bagi menghadapinya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Napolean Hill Convention 2010 disini.
Permukiman merupakan forum bagi wakil rakyat BN negeri dan setiausaha-setiausaha politik untuk mengenal pasti isu dan masalah-masalah yang perlu diselesaikan sebelum pilihan raya.
Ketika ditanya jika beliau mempunyai nombor kegemaran, yang mungkin menggambarkan tempoh masa pembubaran dewan undangan negeri bagi memberi jalan kepada pilihan raya, Taib berkata pendekatan sedemikian tidak penting kerana keutamaan BN ialah mengutamakan kepentingan rakyat dan bukan hanya memenangi pilihan raya.
“Apa yang penting bagi kami (BN negeri) ia untuk memastikan politik berkaitan dengan persoalan memperbaiki kehidupan rakyat dan bukan setakat memenangi perdebatan atau cuba untuk mendapat kuasa,” katanya sambil menambah sesetengah pihak telah mendapat kuasa sedemikian tetapi tidak tahu menggunakannya untuk kepentingan rakyat.
Pada pilihan raya negeri 2006, Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) memenangi 34 daripada 71 kerusi dewan negeri, diikuti Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dengan 11 kerusi, Parti Rakyat Sarawak (PRS) sembilan dan Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) lapan.

- Bernama
Seterusnya >>>