Showing posts with label NUJ. Show all posts

NUJ kutuk laporan Utusan


KUALA LUMPUR: Kesatuan Kebangsaan Wartawan Malaysia (NUJ) mencela Utusan Malaysia menonjolkan tajuk 'Apa Lagi Cina Mahu?' dan dua gambar perhimpunan aman orang tempatan di Taiwan dan Mid Valley Megamall di muka depan pada hari ini.

NUJM amat kecewa dengan pembentangan berita tersebut, kerana ia amat memesongkan pembaca dan berunsur provokatif, kata kenyataan media yang dikeluarkan Sekretariat NUJ hari ini.

Sebagai sebuah akhbar Melayu arus perdana, Utusan Malaysia tidak harusnya memainkan isu perkauman dan cuba menghasut ketegangan antara kaum.

"Seperti yang kita semua tahu, Umno yang manipulasikan Utusan Malaysia di belakang tabir," kata kenyataan itu.

Tapi ia bukannya akhbar parti yang hanya kepada ahli-ahli Umno, ia tidak patut dipergunakan sebagai senjata atau bahan propaganda parti politik untuk menyerang lawan politik.

Maka, NUJM mencela Utusan Malaysia menyembunyikan agenda di sebaliknya, dan tidak menjunjung etika kewartawanan, serta tidak neutral dalam melaporkan isu berkenaan.

Sebenarnya, pemimpin negara mengelar keputusan PRU13 sebagai "Tsunami Cina" adalah tidak tepat sama sekali. Malah, para pengulas politik dan statistik telah membuktikan PRU13 adalah "Tsunami Bandar" (Urban Tsunami).

Berita Utusan Malaysia ini seolah-olah mengungkitkan ketegangan hubungan antara kaum, bukan sahaja sengaja menimbulkan kecurigaan antara kaum, malahan mendalamkan salah faham antara kaum, kata kenyataan itu.

Pilihan raya merupakan satu proses demokrasi.  Media sebagai alat komunikasi, harus menegakkan dan memartabatkan etika kewartawanan, melaporkan kebenaran, dan bukannya memainkan isu perkauman.

Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum. Semua kaum hidup dalam keharmonian, kerana kita mengamalkan sikap saling bertolak-ansur, mengambil berat dan menghormati.

NUJM mengingatkan pengusaha industri media agar menghargai semangat perpaduan dan keharmonian yang disanjungi.

Media bertanggungjawab untuk mengukuhkan perpaduan rakyat, dan bukannya menggunakan taktik kotor untuk mencapai agenda bersembunyi.
Seterusnya >>>

Wartawan kecam 'kebiadaban' MB Pahang


Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hari ini mengutuk keras kenyataan Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob kerana menggelar petugas media sebagai "bodoh" ekoran laporan tentang isu Lynas Advanced Materials Plant (Lamp).

Presiden NUJ Chin Sung Chew berkata, pihaknya amat terkejut dengan reaksi Adnan itu kerana sebagai menteri besar dan ahli politik, beliau patut memahami bahawa wartawan hanya menjalankan tugas.

"Tindakan menteri besar Pahang itu menghina maruah wartawan.

"Kami tidak sekali-kali bersetuju kerana ia biadap dan turut mencampuri kebebasan media," katanya.

Adnan semalam naik angin terhadap wartawan akhbar Cina dengan berulang kali memanggil mereka "bodoh" kerana melaporkan kenyataan yang dikatakan dibuat olehnya bahawa sisa radioaktif Lynas boleh dibuang ke dalam Sungai Lembing.

Menurut laporan akhbar Cina, Adnan juga menolak kamera yang dipegang oleh seorang jurugambar dan mencabar aksi itu disiarkan. Tiga wartawan akhirnya meninggalkan sidang akhbar tersebut.

Sungai Lembing merupakan sebuah bandar lombong bijih timah yang terletak kira-kira 40km di barat laut Kuantan. Hari ini, kebanyakan lombong bawah tanah di situ tidak lagi beroperasi.
Seterusnya >>>

NUJ bidas serangan, mahu polis bertindak


Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) hari ini mahu polis bertindak tegas terhadap pihak yang bertanggungjawab mencederakan dua wartawan yang membuat liputan perhimpunan solidariti bagi menyokong Himpuan Hijau 2.0 di Sudut Pidato, Padang Kota, Esplanade, Pulau Pinang, semalam.

"NUJ mengutuk kumpulan yang dipercayai didalangi penyokong PERKASA dan Umno kerana menyerang dua ahli media yang bertugas meliputi perhimpunan solidariti di Pulau Pinang, petang semalam," kata presiden NUJ Chin Sung Chew (kanan).

Dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Chin berkata tidak ada sebarang alasan bagi mereka menyerang wartawan.

"Para wartawan hanya ditugaskan untuk membuat liputan acara berkenaan dan saya pasti orang ramai, termasuk kumpulan itu dapat mengenal pasti anggota media yang bertugas," katanya.

Pada kejadian semalam, wartawan Kwong Wah Yit Poh Adam Chew dan Lee Hong Chun diserang selepas pertengkaran yang tercetus pada perhimpunan itu.

Akibat kecederaan yang dialaminya, Chew terpaksa memerlukan lapan jahitan, manakala Lee hanya luka dan lebam di kepalanya

Menurut Chin, NUJ membidas keganasan yang disasarkan terhadap wartawan yang menjalankan tugas mereka. NUJ juga menasihati ahli-ahli media untuk berhati-hati pada masa akan datang.

"NUJ akan memantau kes ini dengan teliti kerana kita tidak mahu ia menjadi satu trend di mana petugas media diserang semasa menjalankan tugas," katanya.

Semua Himpunan Hijau 2.0 yang diadakan di seluruh negara bagi membantah keputusan kerajaan membenarkan loji pemprosesan nadir bumi milik Lynas Advanced Material Plant (Lamp) beroperasi di Gebeng, Pahang semalam berjalan lancar kecuali di Pulau Pinang.

Malah acara utama di Kuantan, Pahang,  menyaksikan kira-kira 15,000 orang ramai berhimpun membantah loji pemprosesan itu kerana bimbang berlakunya pencemaran radioaktif.

Pemuda PKR dukacita dengan polis
Sementara itu, Ketua Penerangan Pemuda PKR (AMK) Lee Khai Loon berkata, pihaknya dukacita dengan tindakan polis yang didakwa lewat mengawal keadaan dan menuduh penganjur tidak memaklumkan kepada mereka lebih awal.

Lee (kiri) dalam kenyataannya hari ini juga mendakwa, gambar yang direkodkan menunjukkan kemunculan seorang pemimpin kanan Umno bahagian Bukit Gelugor bersama "samseng" yang membuat kecoh dan provokasi.

"Oleh itu, AMK menyeru agar polis mengambil tindakan tegas terhadap golongan yang memukul dan mencederakan wartawan dan orang awam.

"Polis perlu bersikap neutral serta profesional dalam menyiasat insiden tersebut agar mengembalikan kewibawaan polis," katanya.
Seterusnya >>>

Harapan Tahun Baru NUJ Malaysia

NUJ Malaysia ingin mengucapkan selamat tahun baru kepada semua pengamal media di negara ini dan diharapkan tahun ini kita akan dapat menikmati kebebasan media yang sebenar bagi memastikan orang ramai mendapat maklumat yang benar dan seimbang.
Kesatuan juga meminta pengarang-pengarang di media perdana terutama Utusan Malaysia, New Straits Times, Berita Harian dan The Star agar kembali kepada fungsi dan matlamat sebenar media iaitu untuk menyampaikan maklumat kepada orang ramai dan bukan sebagai alat propaganda kepada kerajaan, mana-mana parti politik dan individu-individu tertentu kerana kepentingan peribadi.
Kejatuhan edaran akhbar media perdana seperti yang di umumkan oleh Audit Bureau of Circulations (ABC) jelas membuktikan bahawa orang ramai terlalu muak dengan isi yang disajikan di dalam akhbar-akhbar tersebut yang bukan sahaja tidak membina minda tetapi penuh dengan propaganda buruk serta akhbar-akhbar ini boleh dikategorikan sebagai akhbar murahan tidak mempunyai harga diri serta maruah kerana para pengarang mengenepikan serta menguburkan nilai-nilai murni tujuan asal akhbar itu diterbitkan.
Utusan Malaysia yang pernah edarannya mencapai 350,000 sehari kini hanya menjadi alat propaganda kerajaan dan memainkan isu-isu perkauman serta cuba mencetuskan pertelingkahan di antara kaum di negara ini.
Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia sebenarnya adalah pengarang yang tidak mempunyai prinsip, harga diri dan maruah kerana hanya hendak mempertahankan kedudukan dengan gaji puluhan ribu ringgit oleh sebab itulah sentiasa tunduk kepada tuan-tuan politik yang hanya mahu mempertahankan kuasa mereka dengan menggunakan Utusan Malaysia sebagai alat propaganda.
Sehubungan itu NUJ Malaysia menyeru ketua pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia agar kembali kepada matlamat utama penubuhan akhbar itu pada awal penubuhannya.
NUJ Malaysia juga meminta pihak berkuasa mengambil tindakan tegas terhadap Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia yang jelas cuba mencetuskan pertikaian perkauman di negara ini berikutan beberapa isu perkauman yang dimainkan.
Kegagalan pihak berkuasa untuk mengambil tindakan terhadap Ketua Pengarang dan pengarang-pengarang di Utusan Malaysia menunjukkan mereka juga terlibat dalam agenda untuk mencetuskan pertikaian perkauman di negara ini oleh sebuah akhbar yang boleh dianggap sebagai akhbar rasis dan tidak bermaruah.

*Kenyataan media oleh Hata Wahari (gambar kiri) selaku Presiden NUJ Malaysia.

-/ MerdekaReview
Seterusnya >>>

Utusan Perlu Bebas Dari Pemerintah



SHAH ALAM 25 NOV : Edaran Utusan Malaysia tidak akan meningkat sebaliknya akan terus merosot sekiranya tidak membebaskan diri mereka dari ditakluk oleh parti politik yang juga pemerintah pada hari ini.

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hatta Wahari ketika menjawab soalan Tv Selangor melalui Khidmat Pesanan Ringkas (SMS) berkata, bukan sahaja Utusan yang akan mengalami nasib seumpama itu sebaliknya semua media arus perdana yang terkongkong di bawah parti politik akan mengalami nasib sama.

"Keadaan ini akan berterusan sekiranya media perdana seperti Utusan tidak dapat bergerak sebagai sebuah syarikat media yang bebas dari pemilikan parti politik," tulis Hatta di dalam mesejnya sebentar tadi.

Hatta yang kini berada di Jakarta dalam SMS nya menambah, hanya satu sahaja cara yang boleh dilakukan oleh Utusan untuk meraih kembali sokongan pembaca terhadap akhbar milik Umno itu, iaitu dengan kembali menjadi neutral.

Malah perkara sama juga yang harus dilakukan jika mahu syarikat-syarikat swasta mengiklankan kembali produk mereka dalam Utusan.

"Satu cara sahaja media perdana terutama Utusan akan dapat meraih sokongan daripada pembaca dan pengiklan iaitu untuk menjadi sebuah media yang bebas, tidak menyebelahi mana mana pihak dan menyiarkan berita yang seimbang untuk memenuhi keperluan pembaca dan pengiklan.

Senada dengan Hatta, Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Muhammad Nizar Jamaluddin berkata, kerugian media itu ekoran ketidakyakinan pembaca Melayu dengan mutu pemberitaan dan laporan berat sebelah akhbar itu.

"Perkara ini berlaku kerana kurangnya keyakinan kaum Melayu kepada akhbar itu yang menyiarkan berita yang kurang tepat serta apa yang dikatakan oleh kami dari pihak kami sebagai fitnah menjadikannya bukan sebagai penyebar fikiran rakyat tetapi penyebar fitnah rakyat.

"Kerugian ini juga merupakan refleksi khususnya orang Melayu terhadap pemberitaan lidah rasmi Umno itu," tambah Nizar lagi.

Sementara itu, Ahli Parlimen Sungai Petani, Datuk Johari Abdul pula berpendapat, walaupun memaksa pihak sekolah untuk melanggan akhbar berkenaan, permintaan terhadap akhbar masih lagi menurun.

"Hakikatnya, pembacanya makin berkurang sementara rakyat pula makin bertambah. Apa yang dilaporkan tidak menarik, sifat profesionalisme semakin menurun manakala pemberitaannya semakin berat sebelah.

"Bagi saya, membaca Utusan akan merosakkan minda kita kerana tidak memberikan apa-apa nilai tambah dalam kehidupan kita.

Tambah beliau, isi kandungan laporan akhbar itu terlalu memainkan sentimen Melayu yang jelas bertentangan dengan gagasan 1Malaysia yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang jelas menunjukkan ada keganjilan.

Sebelum itu, Bernama hari ini melaporkan akhbar milik Umno itu mencatatkan kerugian pracukai RM10.682 juta untuk tempoh sembilan bulan berakhir 30 September, 2010 berbanding keuntungan pracukai RM1.707 juta dalam tempoh yang sama tahun lepas.

Pendapatan merosot kepada RM244.564 juta daripada RM253.847 juta sebelumnya kerana sumbangan daripada pengiklanan kurang menggalakkan, katanya dalam kenyataan kepada Bursa Malaysia hari ini.
Seterusnya >>>

NUJ: Wartawan 'menyamar' perkara biasa

Kegiatan wartawan menyelinap masuk ke dalam majlis-majlis tertutup untuk mendapatkan berita merupakan satu perkara biasa dalam dunia kewartawanan di Malaysia, kata Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ).

Sehubungan itu, presidennya, Hata Wahari, hari ini menyangkal dakwaan Puteri Umno bahawa tindakan seorang wartawan portal berita yang didakwa menceroboh masuk sebuah majlis tertutup pergerakan itu pada 27 September lalu sebagai tidak bertanggungjawab.

Hata berkata tindakan wartawan Malaysian Insider itu, Boo Su Lyn menulis nama ataupun byline bersama laporan berita berkenaan sudahpun membuktikan perkara itu.

Ditugaskan ceroboh

“Sikap bertanggungjawab Boo itu menyebabkan beliau kini berhadapan dengan siasatan polis dan menerima pelbagai tekanan dari pelbagai pihak akibat daripada tindakan menyiarkan berita tersebut di samping isu keselamatan diri beliau,” kata Hata dalam satu kenyataan media hari ini
Menurutnya, pendirian berkenaan diambil walaupun wartawan atau mereka yang terlibat bukan anggota NUJ kerana sebagai pertubuhan yang mewakili wartawan adalah menjadi tanggungjawab NUJ membuat pendirian dalam hal-hal berkaitan dengan kebebasan media serta pematuhan kepada etika kewartawanan di negara ini.

“Malahan majlis tertutup Taklimat Presiden Umno dengan perwakilan yang diadakan setiap tahun sentiasa diceroboh oleh wartawan-wartawan yang memang diberi tugas khas untuk menceroboh dalam majlis tersebut.

“NUJ Malaysia ingin menegaskan bahawa isu pencerobohan dalam majlis tertutup Puteri Umno oleh Boo adalah perkara kecil dan sentiasa dilakukan oleh wartawan di Malaysia.”

Menurut Hata, Majlis Eksekutif NUJ yang bermesyuarat pada 7 Oktober lalu sehubungan itu, mencadangkan Puteri Umno untuk menyaman portal berita itu jika benar wartawannya , menceroboh majlis berkenaan.

“Pihak polis yang sedang melakukan siasatan (juga) perlu mencari kebenaran sama ada kata-kata yang dilaporkan dalam berita yang disiarkan oleh Malaysian Insider dan ditulis oleh Boo adakah benar ataupun fitnah.

“NUJ Malaysia berpendirian sekiranya laporan yang disiarkan itu tidak benar ataupun satu fitnah maka tindakan di bawah undang-undang juga harus diambil terhadap Malaysian Insider serta Boo,” kata Hata.

Berlaku adil

Namun katanya, jika apa yang dilaporkan itu adalah benar maka tindakan sewajarnya juga perlu diambil terhadap Penolong Pengarah Biro Tata Negara (BTN) Hamim Husin mengikut undang-undang atau kaedah yang terdapat di dalam Peraturan Pegawai-Pegawai Awam.
Mengikut portal berita itu, Hamim didakwa menghina dengan melabelkan rakyat Malaysia berbangsa Cina dan India sebagai 'si sepet mata dan 'si kaki botol'.

Pegawai kanan BTN itu juga dilaporkan oleh Boo sebagai berkata adalah menjadi hak Melayu untuk memerintah negara dan menggesa mereka untuk bersatu mempertahankan hak mereka.

Ini bukan kali pertama kes wartawan menyambar menimbulkan kemarahan orang ramai. Pada 8 Julai tahun lalu, dua wartawan majalah Al-Islam daripada Kumpulan Utusan Melayu yang dimiliki Umno, menyamar sebagai penganut Katholik bagi menyiasat khabar angin terdapat usaha memurtadkan gadis Islam.

Wartawan itu mengikuti upacara Kristian di dua gereja di Kuala Lumpur – termasuk memakan roti suci yang disuapkan oleh paderi dan memuntahkannya kembali untuk diambil gambar – dianggap menghina Katholik dan menimbulkan provokasi.
Seterusnya >>>

Lulus Segera Pemohonan Malaysiakini, Kembalikan Permit Suara Keadilan

SHAH ALAM 1 OKT: Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) dan tokoh wartawan mendesak Kementerian Dalam Negeri (KDN) menukar keputusan mereka yang menghalang permohonan penerbitan akhbar bercetak, Malaysiakini dan mengembalikan permit Suara Keadilan.

Presiden NUJ,  Hata Wahari berkata KDN tiada alasan untuk menolak permohonan permit mana-mana akhbar termasuk Malaysiakini, malah menyifatkan kelahiran akhbar itu akan mendorong amalan kebebasan media di negara ini.

"Pendirian NUJ ialah mana-mana pihak yang ingin menerbitkan akhbar, patut  diberi lesen. Jangan memilih dalam soal ini kerana KDN tidak ada sebab menolak permohonan Malaysiakini. Kita perlu kebebasan media. Ia merangkumi semua.

"Yang perlu dipegang ialah etika kewartawanan. Kita tidak boleh berpihak kepada mana-mana pihak. Kita perlu menulis berita berdasarkan kesedaran dan kebenaran,” katanya kepada TV Selangor.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas laporan tMalaysiakini yang memohon permit akhbar bercetak tetapi ditolak KDN tanpa sebarang alasan hingga mendorong pengurusan portal berita  lebih sedekad lalu, mengemuka saman terhadap kementerian itu.

Selain Hata, tokoh wartawan, Said Zahari pula menganggap keengganan kerajaan meluluskan permohonan permit sesebuah akhbar lantaran tidak senang dengan laporan yang mengkritik mereka, bermakna Malaysia tidak mengamalkan demokrasi sebenar.

"Kenapa kerajaan begitu bimbang? Sebab Malaysiakini bukan baru, begitu juga dengan Suara Keadilan. Kalau ada penulisan ataupun rencana ataupun kritikan akhbar itu  melanggar hukum, tindakan lain boleh  diambil," katanya.

Menyokong cadangan penerbitan akhbar Malaysiakini dan mendesak mengembalikan permit Suara Keadilan, bekas Ketua Pengarang Utusan Malaysia pada era 1960-an itu menyifatkan perbuatan mencengkam kebebasan media, sebagai tidak sihat.

"Perkembangan semacam ini, melarang penerbitan surat khabar, melarang memperbaharui permit dan sebagainya, adalah tindakan yang tidak sihat dari pihak kerajaan,” katanya.
Seterusnya >>>

'Gergasi pro-kebebasan media sudah bangkit'

Sebaris komen dalam laman blog - yang bertanyakan sama ada Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Malaysia masih 'hidup' - memberitakan tamparan hebat kepada presiden barunya Hata Wahari, menyebabkan "regim baru" itu bersungguh-sungguh mahu memperjuangkan kebebasan media.

"(Tulisnya) NUJ telah mati mati lama dahulu. Itu yang menyentuh perasaan saya.

"Dan saya balas, saya tak kenal siapa penulisnya, memang NUJ telah telah mati 12 tahun lepas, 13 tahun lepas, tetapi saya sempat menyelamatkan semangat NUJ pada tahun 80-an untuk dihidupkan semula.

"Dan saya cakap dengan dia, lihatlah gergasi baru bangun tidur. Bila dia bangun tidur, dia makan apa saja," katanya yang mendakwa telah lama memendam rasa "terlampau kecewa" itu.

Selepas menang kerusi presiden NUJ - gabungan terbesar wartawan Malaysia - pada 17 September lalu, kesatuan itu dilihat bertukar nada apabila dilihat kembali garang apabila mempersoalkan beberapa akta anti-kebebasan seperti akta mesin cetak dan penerbitan.

Dengan agenda liberalisasi media, Hata turut mengkritik keras akhbar milik Umno Utusan Malaysia yang didakwanya tunduk kepada tuan politik masing-masing dan tidak berkaitan sama sekali dengan kebebasan media.

Tindakan itu dilihat mengejutkan dan membuka mata beberapa pihak yang selama ini memandang sinis keberanian gabungan lapan kesatuan wartawan pelbagai akhbar itu; terutama apabila Utusan memuatkan berita menghentam wartawan politik itu.

Jaga periuk nasi
Dalam wawancaranya dengan Malaysiakini semalam, wartawan Utusan Malaysia selama 15 tahun itu menafikan wadah perjuangan NUJ yang lantang memperjuangkan kebebasan seperti sekitar tahun 80-an telah padam.

"Ia sebenarnya tersimpan dalam sebuah peti, berkunci. Dan peti itu terletak di negeri Maghribi," katanya berseloroh.

Katanya, setelah "menjaga periuk nasi" selama 12 tahun di zaman "regim "presiden lama Norilla Daud , "dendamnya" itu terubat apabila mendapati ramai wartawan pelbagai akhbar kini menyokong agenda yang dimuatkan dalam manifestonya.

"Mungkin perubahan masa dia (Norilla) tak dapat ikut, (atau) terbelenggu dalam kepompong.

"Sebab itu cawangan NUJ di lapan syarikat rasa kita perlu seorang boleh bawa NUJ kembali pada perjuangan asal," katanya sambil menimbau noltalgia bawah pimpinan Yazid Otman dan Abdullah Tahir.

Justeru, menurut Hata, apabila ada seorang "kepala" sepertinya mahu ke depan, semua pihak kini tampil sebulat hati memperjuangkan agenda yang sama.

Beliau juga mengakui, apabila bekas presiden NUJ cawangan Utusan Amran Ahmad - yang kemudiannya dipecat majikannya - mencetuskan permulaan idea liberalisasi media yang mahu diperjuangkan NUJ.

"Bila Amran sudah menampakkan gerakan itu, (saya fikir) nampaknya ada orang ada (buah) fikiran yang sama dengan kita. Ini yang kita nak buat, tetapi masa itu tak nampak (lagi) kumpulan yang nak sokong kita," kata Hata.
Seterusnya >>>

NUJ: Utusan Malaysia Bakal Jadi Sisipan Kosmo?

KUALA LUMPUR 27 SEPT: Polisi yang dibuat ketua pengarang dan pengarang kanan Utusan Malaysia yang bertentangan dengan etika kewartawanan harus dihapus bagi mengelakkan edaran akhbar berkenaan, terus merudum.

"Tidak mustahil akhbar Utusan Malaysia juga akan menerima nasib seperti akhbar Utusan Melayu yang kini menjadi sisiapan mingguan dalam Utusan Malaysia," kata Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari.

"Mungkin satu hari nanti Utusan Malaysia akan menjadi sisipan Kosmo memandangkan edaran akhbar kompak itu semakin meningkat setiap tahun," katanya pada satu kenyataan hari ini.

Berbanding Utusan Malaysia, Kosmo lebih banyak menyiarkan berita sensasi dan jarang membawakan berita politik keterlaluan yang menjadi imej akhbar utama Kumpulan Utusan itu

Edaran Utusan Malaysia merudum dari 213,000 kepada 169,000 atau mengecil 21 peratus dalam tempoh 2005-2009 mengikut perangkaan ABC (Audit Bureau of Circulations) pada 10 September lalu.
.
Hata mendakwa, polisi laporan berat sebelah yang menampilkan laporan positif melibatkan kerajaan dan Umno tetapi menonjolkan laporan negatif apabila membabitkan kerajaan negeri dan Pakatan Rakyat.

"Sehubungan itu, NUJ meminta ketua pengarang dan pengarang kanan Utusan Malaysia untuk menghapuskan polisi yang tidak menguntungkan Utusan Malaysia," katanya.

Beliau juga menyatakan Utusan juga tidak memberi peluang kepada orang yang berdepan tuduhan tertentu untuk menjawab dan disiarkan dalam akhbar berkenaan.

"Dalam perkara ini, Utusan Malaysia melaksanakan polisi untuk tidak menyiarkan kenyataan balas yang dibuat parti politik atau individu apabila laporan negatif dibuat terhadap mereka.

"Contoh terbaik ialah kenyataan balas Datuk Seri Nazri Aziz tidak disiarkan walaupun ruang pojok Awang Selamat menghentam Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu,” katanya.
Hata berkata, Utusan Malaysia juga  hanya menyiarkan berita satu kaum sahaja menyebabkan pembaca akhbar bukan Melayu  tidak berminat membeli walaupun mempunyai keupayaan  membaca dan menulis dalam bahasa Malaysia.

"Utusan Malaysia sebagai sebuah akhbar yang menggunakan bahasa Kebangsaan, sepatutnya mengambil kira juga keperluan kaum lain," katanya.
Seterusnya >>>

NUJ Pertikai Tindakan KDN Terhadap Suara Keadilan

SHAH ALAM 25 Sept - Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ), Hata Wahari mempertikaikan tindakan Kementerian Dalam Negeri yang enggan memperbaharui permit penerbitan organ rasmi Parti Keadilan Rakyat, Suara Keadilan sambil menyifatkan kementerian tersebut bersikap bias.
Hata yang juga wartawan kanan Utusan Malaysia menegaskan KDN tidak sepatutnya memangsakan akhbar Suara Keadilan tetapi sebaliknya seharusnya mengambil tindakan terhadap pengarang atau wartawan jika mereka melanggar undang-undang.
"Mengapa harus akhbar ini dimangsakan? KDN perlu ingat bahawa setiap organisasi media bukan sahaja mempunyai bahagian editorial tetapi juga unit lain di bawahnya seperti gafik, pemasaran dan pentadbiran. Dengan mengantung permit Suara Keadilan, KDN dilihat seolah-olah berdendam dan mahu mematikan akhbar tersebut walhal yang bertanggungjawab mungkin editor atau pengarang sahaja. Biarkan akhbar terus wujud walau apa pun masalah yang timbul.
"Saya menggesa KDN bersikap profesional dan tidak memihak kepada mana-mana pihak. Akhbar adalah milik rakyat samada ia dilihat menyokong Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat dan KDN dalam hal tidak boleh masuk campur. Kalau Felda ada masalah dengan artikel yang disiarkan oleh Suara Keadilan biar kedua-dua pihak yang selesaikan bukannya KDN masuk campur dan ambil tindakan terhadap akhbar itu," kata Hata ketika dihubungi Suara Keadilan.
Permit penerbitan lidah rasmi KEADILAN tamat tempohnya pada 30 Jun lalu dan sejak itu pihak KDN terus mengambil sikap berdiam diri dan enggan memperbaharui permit tersebut.KDN menggunakan alasan ia tidak berpuas hati terhadap dua pucuk surat penjelasan dari Suara Keadilan malah membuat laporan polis pula terhadap akbbar tersebut.
Ini ekoran tersiarnya artikel berjudul "Felda Bankrap" dalam bilangan 237 edisi 22-29 Jun 2010 Suara Keadilan.
Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) dan anak syarikatnya, Felda Global Ventures Holdings Sdn Bhd kemudiannya bertindak dengan mengemukakan tuntutan saman RM200 juta terhadap enam pihak iaitu Presiden KEADILAN, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Timbalan Presiden, Senator Dr Syed Husin Ali, Pelita Koridor Sdn Bhd, Percetakan NPK Sdn Bhd, editor Suara Keadilan Dzulkarnain Taib dan penulis artikel itu Rusnizam Mahat.
"Media di negara ini hendaklah disuburkan bukan ditekan atau dikuburkan. Lihat sahaja keadaan industri media di negara jiran Indonesia di mana mereka bebas untuk bersuara dan mengeluarkan pendapat. Sekiranya ada pihak berasa dianiaya disebabkan laporan yang dihasilkan oleh mana-mana media, mereka boleh mengambil tindakan mahkamah. Jadi pihak media dan pihak yang menyaman bolehlah mengemukakan hujah masing-masing dan biarlah mahkamah tentukan.
"Jadi akhbar berkenaan terus beroperasi tanpa gangguan kerana yang terlibat hanya pihak yang bertanggungjawab mengeluarkan artikel yang dipertikaikan tanpa melibat atau menganiaya pihak lain.
"Saya harap pihka KDN menimbang semula pendirian berhubung isu Suara Keadilan dan bersikap adil dan telus dalam tindakan mereka," tegas Hata lagi.
Seterusnya >>>

Perjuangan NUJ bebaskan akhbar dari politik

Presiden Kesatuan Wartawan Kebangsaan (NUJ) Hata Wahari hari ini membidas kenyataan ahli Majlis Tertinggi Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA) Mohd Zahid Md Arip yang mendakwa beliau dilihat cenderung kepada pembangkang sebagai "sesuatu yang tidak masuk akal dan tidak relevan".
"Sebagai Presiden NUJ Malaysia, jiwa dan raga saya hanya untuk kesatuan serta mendukung etika kewartawanan dan bukan untuk pemimpin-pemimpin politik atau parti-parti politik.

"Bagi NUJ Malaysia, kami akan terus melaksanakan tanggungjawab untuk mempertahankan etika kewartawanan dan melaksanakan tanggungjawab tanpa memihak atau cenderung kepada mana-mana pihak atau parti politik baik Barisan Nasional atau Pakatan Rakyat," kata Hata dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, sebagai wartawan profesional yang bertugas lebih 15 tahun di Utusan Malaysia dan mengetuai sebuah pertubuhan profesional maka "tindak tanduk NUJ Malaysia melebihi sempadan serta tidak termaktub kepada kongkongan mana-mana pihak".

"Sebagai wartawan profesional, saya merupakan pekerja yang setia dengan akhbar Utusan Malaysia untuk mendokong prinsip-prinsip asas yang telah ditetapkan oleh pengasas-pengasas akhbar tersebut yang sememangnya tidak terikat dengan mana-mana parti politik.


"Kenyataaan yang dikeluarkan oleh Mohd Zahid yang melihat saya cenderung kepada parti pembangkang jelas menunjukkan PERKASA memihak kepada parti politik dan tentunya parti itu adalah Barisan Nasional"," katanya.

Sehubungan itu, Hata menasihatkan PERKASA supaya menjaga ahli-ahlinya dan laksanakan tugas serta tanggungjawab yang diamanahkan oleh ahli dan "tidak memihak kepada mana-mana pihak atau parti politik".

Hata mengulas laporan berhubung kenyataan Mohd Zahid yang mahu beliau membuat penjelasan apakah beliau seorang penyokong tegar pembangkang.

Mohd Zahid dilapor mendakwa banyak cakap-cakap dalam industri media yang mengaitkan Hata sebagai penyokong tegar pembangkang terutamanya ketua umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan komen beliau dalam laman sosial Facebook didakwa bernada pro-pembangkang.


Dalam kenyataan itu juga, Hata turut menegaskan bahawa NUJ - yang mempunyai seramai 1,335 ahli - merupakan sebuah pertubuhan yang bebas dan tidak memihak kepada sesiapa.

"Perjuangan saya ialah untuk melihat akhbar-akhbar di negara ini terlepas dari kongkongan tuan-tuan politik baik daripada BN, Pakatan Rakyat (PR) dan pemimpin-pemimpin politik lain.

"Akhbar dan media seharusnya dimiliki oleh rakyat kerana dengan itu barulah akhbar itu dapat berkhidmat kepada rakyat seperti mana yang dilakukan oleh Utusan sebelum ia dikuasai oleh parti politik sebelum tahun 1961," katanya.
Seterusnya >>>