Showing posts with label Musa hassan. Show all posts

Musa Hassan dilantik penasihat Majlis Penasihat Keselamatan Pakatan Rakyat

Musa Hassan

KUALA LUMPUR - Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bersetuju untuk dilantik sebagai salah seorang penasihat kepada Majlis Penasihat Keselamatan Pakatan Rakyat (MPKPR).

Menurut Musa, keputusan itu dibuat atas dasar keselamatan, bukannya melibatkan diri dalam mana-mana parti politik.

Beliau juga berkata, skop tugasan sebagai penasihat adalah membantu memberi nasihat kepada MPKPR untuk bekerjasama dengan pasukan keselamatan negara termasuklah pasukan polis.

"...sebagai penasihat saya akan bantu, saya bagi nasihat, tapi saya tak terlibat dengan mana-mana parti politik. Jangan ada orang salah faham dan salah anggap pula.

"Saya sangat beri perhatian kepada masalah yang berkaitan keselamatan, bukan nak bantah kerajaan.

"Kalau Barisan Nasional (BN) nak saya jadi penasihat atau ceramah saya datang juga, kalau PR nak saya jadi penasihat saya datang," katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Difahamkan, Musa juga akan memberi nasihat kepada Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam soal keselamatan di mana ia adalah sebahagian dari tugas penasihat MPKPR tersebut.

 MPKPR telah dilancarkan pada 31 Mac lalu di mana ia didakwa sebagai inisiatif baru dalam bidang keselamatan untuk persediaan perikatan itu jika menerajui kerajaan pusat pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13).

Bekas Panglima Tentera Darat, Jeneral (B) Tan Sri Mohd Hashim Hussein diangkat sebagai pengerusi majlis tersebut.

Dalam pada itu, Musa juga berkata penyertaannya sebagai penasihat bukan untuk menarik kakitangan awam terutamnya pasukan polis membuat perubahan kerajaan pada pilihan raya umum ini.

"Saya bukan ajak rakyat untuk undi mana-mana parti...undi itu rahsia.

"Saya juga akan mengundi pada 5 Mei ini," katanya lagi.
Seterusnya >>>

Jangan takutkan pengundi buat perubahan


KUALA LUMPUR: Rakyat Malaysia diingatkan tidak perlu takut untuk membuat perubahan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang akan berlangsung 5 Mei nanti biarpon dimomokkan akan berlakunya huru-hara.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, rakyat tidak perlu panik dengan dakwaan akan berlakunya huru-hara jika Pakatan Rakyat mengambil alih pemerintahan negara kerana pasukan keselamatan adalah profesional dalam menjalankan tanggungjawab bagi memastikan peralihan kuasa berlaku secara aman.

Katanya, apa sahaja keputusan yang akan diumumkan pada pilihan raya ini nanti, pasukan keselamatan perlu menjaga kemananan dalam tempoh itu.

“Perdana Menteri, Najib Razak sendiri memberikan jaminan akan berlaku peralihan kuasa secara aman. Kita menasihatkan bahawa perlunya wujud peralihan secara aman,” kata Musa dipetik Selangorku.

Beliau berkata demikian semasa Forum Untuk Keamanan dan Peralihan Kuasa Secara Aman Pasca PRU-13 yang berlangsung di sebuah hotel ibu negara di sini.

Disamping itu, beliau berkata pemimpin politik tidak sewajarnya mengeluarkan sebarang komen yang menakut-nakutkan rakyat dengan pelbagai dakwaan akan berlaku huru-hara, supaya rakyat akan merasa tenteram.

"Sebagai pemimpin, mereka patut menasihatkan rakyat bertenang dalam memilih kerajaan pilihan hati mereka," kata Musa, yang dilihat lantang menyuarakan pendapatnya selepas bersara.

"Bagi saya, (kenyataan) itu hampir seperti menghasut," tambahnya.

Beliau juga percaya pasukan keselamatan mempunyai keupayaan perisikan yang mantap jika ada mana-mana kumpulan yang mahu mencetuskan sebarang kekacauan dengan mengambil tindakan lebih awal.

Turut serta pada forum itu bekas Timbalan Panglima Angkatan Tentera Darat (ATM), Leftenan Jeneral (B) Datuk Abd Ghafir Abd Hamid sementara Pensyarah Kanan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Mazlee Malik menjadi perantara.

Sebelum ini, Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin mendakwa mendapat maklumat bahawa Pakatan Rakyat akan menimbulkan huru hara pada hari mengundi.

Katanya, Pakatan Rakyat bertindak demikian kerana semakin bimbang dengan kebangkitan rakyat menyokong Barisan Nasional (BN).
Seterusnya >>>

Musa Hassan: Hubungan rapat ‘orang atas’ dan kongsi gelap penyebab peningkatan jenayah


PETALING JAYA, 28 Dis – Kadar jenayah yang tinggi di Malaysia disebabkan oleh hubungan rapat antara pemimpin negara dan kpemimpin kongsi gelap, dakwa bekas Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan. “Apabila penjenayah rapat dengan ‘orang atas’, yang teraniaya adalah masyarakat,” kata Musa kepada The Malaysian Insider dalam temuramah baru-baru ini tanpa menamakan sesiapa.
Peningkatan bilangan rakyat Malaysia yang bimbang ke atas keselamatan mereka di rumah dan di jalanan menyebabkan mereka mempersoalkan pentadbiran Najib yang seringkali mengembar-gemburkan kejayaan mengurangkan jenayah, bakal bertukar menjadi antara isu utama pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Baru-baru ini kumpulan pemerhati jenayah, MyWatch, yang rapat dengan Musa mendakwa pegawai polis berpangkat tinggi terlibat dengan penggubahan wang haram, termasuk perjudian haram, pelacuran, mengatur perlawanan bola sepak, malah turut mempunyai hubungan dengan pemimpin kongsi gelap.
Kadar jenayah tinggi dikaitkan secara langsung dengan sindiket yang berurusan dengan pelacuran, perjudian, dan pinjaman wang haram, kata Musa kepada The Malaysian Insider, menyokong dakwaan MyWatch.
Beliau menekankan kesan “domino” aktiviti haram berkenaan sambil menambah masalah jenayah dalam negara ini tidak akan dapat diselesaikan selagi akar kepada permasalahan itu sendiri tidak dicabut.
“Jenayah ini macam roda. Kalau wujud aktiviti maksiat seperti judi, pelacuran, loan shark (ceti haram), selagi itu ada jenayah. Contohnya bila orang kalah judi, mereka mula merompak. Jenayah tidak akan habis jika aktiviti-aktiviti maksiat ini terus ada.
“Salah satu cara seperti yang saya cadangkan dulu, kerajaan patut beri lesen disesetengah tempat macam di Holland,” kata beliau merujuk kepada kawasan pelacuran ‘halal’ di Belanda sambil menambah, “Orang nak pergi pun segan.”
Menurut Musa lagi, diantara sebab kegagalan kerajaan untuk meyakinkan masyarakat bahawa mereka berada dalam keadaan selamat adalah kerana ia hanya memberikan tumpuan kepada jenayah jalanan dan bukannya jenayah secara keseluruhan.
“Jenayah lebih besar seperti pecah rumah, rompakan, samun, curi kenderaan dan bunuh.
“Overall (secara keseluruhan) perlu diambil kira. Ini yang menyebabkan masyarakat rasa tak selamat,” katanya.
Untuk mengurangkan kadar jenayah yang membimbangkan, Musa mencadangkan agar Polis Di Raja Malaysia (PDRM) memantapkan aktiviti untuk mendapatkan maklumat risikan dengan melibatkan orang ramai untuk bekerjasama.
“Contohnya, apabila orang ramai beritahu saya tentang sesuatu jenayah, saya akan kirimkan maklumat ini kepada pegawai polis yang berkenaan. Ini contoh risikan yang kita boleh perolehi daripada masyarakat,” katanya.
MyWatch turut mempersoalkan KPN sekarang kerana tidak mengambil tindakan dan senyap terhadap bukti kesalahan yang kumpulan tersebut akan dedahkan kepada umum kecuali Tan Sri Ismail Omar bersetuju untuk berjumpa dengan mereka.
Musa dan MyWatch, dikritik oleh beberapa bekas penjawat awam daripada pasukan keselamatan tersebut selepas pendedahan yang dilakukannya bersama MyWatch, termasuk daripada bekas Pengarah Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Datuk Ramli Yusuff, bekas penasihat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Tan Sri Robert Phang dan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Datuk Mat Zain Ibrahim.
Beberapa penculikan berprofil tinggi, rompakan dan kes-kes serangan, termasuk peningkatan penggunaan senjata, menyebabkan ahli parlimen pembangkang dan orang awam mempersoalkan dakwaan unit kecekapan Putrajaya itu bahawa kadar jenayah di negara ini telah menurun dengan ketara sejak inisiatif di bawah itu Program Transformasi Kerajaan (GTP) dimulakan dua tahun lalu.
Ahli politik pembangkang menuduh kerajaan persekutuan terlalu sibuk mengintip orang awam dan menangani persepsi negatif terhadap kelemahan pihak berkuasa dalam mengurangkan jenayah daripada pertempuran sebenar, menunjukan ketidakseimbangan bajet untuk siasatan jenayah .
Pengarah Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) PEMANDU Eugene Teh pada Julai mengeluarkan statistik segar menunjukkan bahawa indeks jenayah  di Malaysia menurun sebanyak 10.1 peratus dari Januari hingga Mei tahun ini apabila dibandingkan dengan tempoh sama tahun lepas.
PEMANDU sebelum itu mengeluarkan angka fakta indeks jenayah  menurun sebanyak 11.1 peratus dari tahun 2010 hingga tahun lepas manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus dalam tempoh sama.
Pentadbiran Datuk Seri Najib Razak juga menuduh media memainkan laporan jenayah dan menegaskan kes terpencil dan tidak tepat menunjukkan peningkatan dalam kadar jenayah di seluruh negara.
Seterusnya >>>

Banyak yang mahu dikongsi oleh Musa yang TERDESAK

Diekori Cawangan Khas? Banyak yang mahu dikongsi oleh Musa yang TERDESAKApabila kita mempunyai perdana menteri (PM) yang licik seperti Mahathir Mohamad, ketua polis negara (KPN) yang patuh seperti Musa Hassan dan Peguam Negara (AG) yang dipersoalkan kredibilitinya seperti Abdul Gani Patail, terlalu banyak perkara yang boleh dipalsukan untuk mengekalkan status quo dan menyembunyikan sistem yang dibina dengan begitu teliti oleh Mahathir dan parti UMNO untuk mengaut keluar wang negara sehingga ke ringgit yang terakhir.
Kita semua tahu salah laku Mahathir seperti penyalahgunaan kuasa dan wang serta pembaziran ke atas perbendaharaan negara tanpa rasa perlu menabung untuk kecemasan, sekali gus meninggalkan orang Melayu ‘kering kontang’ seperti pengemis di tempat kelahiran mereka sendiri.
Walau bagaimanapun, Mahathir berjaya mewujudkan beberapa orang jutawan Melayu dan juga beberapa bilionaire Melayu, namun seperti apa yang dikatakan bekas pengerusi MRCB, "Apalah maknanya mempunyai beberapa orang jutawan apabila puluhan ribu yang lain hilang punca pendapatan?"
Tetapi, dalam buku Mahathir, seperti biasa, dia merupakan penyelamat dan wira bangsa dan tiada siapa yang berani untuk mempersoalkannya. Seperti biasa, bukan dirinya tetapi orang Melayu lah yang tidak "bersyukur" dan patut dipersalahkan atas nasib yang menimpa diri mereka sendiri.

Lubuk buaya

Sekarang, mari kita kembali kepada Musa Hassan, yang telah bersara sebagai Ketua Polis Negara pada September 2010 yang pada masa yang sama sedang bertelingkah dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.
Musa bersama dua lagi adik beradiknya iaitu pelakon terkenal Jalaluddin dan Fuad, bekas ahli parlimen UMNO Ampang Jaya, telah dilahirkan dalam keluarga yang berpegang teguh dengan ajaran agama. Mereka membesar dalam persekitaran yang kuat didikan namun tidak terlalu kaya. Akibatnya, mereka terpaksa bekerja keras untuk menyara diri sendiri.
Dengan latar belakang sedemikian, ia tidak menghairankan jika Musa mampu untuk menunjukkan bahawa dia mempunyai pendapatnya sendiri walaupun telah menjadi anjing peliharaan Mahathir selama beberapa dekad – lebih-lebih lagu sejak tuduhan liwat dikenakan terhadap Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada tahun 1998.

Musa pernah menjadi Ketua Polis Johor dan kebanyakan rakyat Malaysia telah tahu mengenai khabar penglibatannya dengan bos sindiket pinjaman Ah Long, Tengku Goh di Muar. Ya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia telah melaksanakan 'penyiasatan' acuh tak acuh mereka tetapi AG mengarahkan kes itu ditutup walaupun sebelum siasatan selesai, kerana mendakwa mereka kekurangan bukti! Tetapi itulah kebiasaan Gani.
Peguam Negara juga telah dituduh melakukan beberapa perbuatan yang tidak patut sebagai ketua peguam negara. Pada satu masa, Gani telah dituduh memiliki perempuan simpanan dan dia telah membeli sebuah rumah untuknya di Alor Gajah dengan wang yang kononnya diberikan oleh pengarah kumpulan pembinaan tempatan. Khabarnya, Gani telah memberi ‘pertolongan’ dalam kes yang berkaitan dengan beberapa perniagaan yang dihadapi oleh syarikat itu.
Gani yang juga rapat dengan Tajudin Ramli, bekas pengerusi MAS yang juga pernah menjadi anak emas Mahathir dan kroninya bekas menteri kewangan Daim Zainuddin.
Tidak syak lagi bahawa Musa seperti Gani, merupakan orang yang tidak jujur, yang juga dikelilingi oleh rakan-rakan yang dua kali lima, mereka ini semuanya ada kaitan dengan Mahathir, yang ramai pasti bersetuju semakin hari semakin kabur kredibiliti mereka .

Berpatah arang

Jadi mengapa Musa tiba-tiba memilih keluar dari kumpulan yang diketuai dirinya sendiri? Adakah dia mula beralih menjadi pro-pembangkang dan kenapa? Adakah dia bakal menyertai PKR atau PAS dan mengapa? Tidak syak lagi, kita akan mengetahui jawapannya tidak lama lagi.
Tetapi sehingga cerita sebenar diketahui, plot yang paling menarik perhatian melibatkan Musa, Gani dan Mahathir adalah dakwaan merangka tuduhan liwat yang pertama ke atas Anwar Ibrahim pada tahun 1998. Hukuman digugurkan dan Anwar dibebaskan pada September 2004 selepas merana dalam penjara selama 6 tahun.
Musa, yang pada ketika merupakan pegawai penyiasat, telah memainkan peranan penting dalam penganiayaan Anwar. Walau bagaimanapun, pemenjaraan Anwar inilah yang menaikkan pangkat Musa kepada jawatan KPN oleh Mahathir dan selanjutnya seperti apa yang kita sudah ketahui sekarang.
‘U-turn’ mengejutkan Musa bermula pada Oktober lalu apabila dia tiba-tiba menarik balik saman fitnah 'Mata Lebam' dirinya terhadap Anwar. Laporan berita pertemuan Musa dengan Mursyidul Am PAS Nik Aziz juga hebat diperkatakan dan mengejutkan ramai pihak.
Spekulasi Musa ingin menyertai PAS sedang bertiup kencang malah ia telah menjadi satu trend bagi bekas penjawat awam terutamanya polis untuk menyertai sama ada PAS atau PKR untuk 'menebus' dosa-dosa yang mereka katakan tidak punyai pilihan untuk lakukan semasa bekerja di bawah pentadbiran Umno-BN.

Masa untuk mencari perhatian maksima pemimpin Umno

Sekarang, Musa Hassan mendakwa bahawa sepupu Najib, Hishammuddin Tun Hussein Menteri Dalam Negeri,sering mencampuri urusan polis. Mengapa Musa membuka cerita ini apabila UMNO sedang mengadakan perhimpunan Agung ke-66 pada akhir bulan lepas?
Ramai yang telah merasakan mungkin ada beberapa "orang kuat" dari dalam UMNO sendiri dan bukan Pembangkang yang telah menghasut Musa untuk berbuat demikian.
Ia adalah sesuatu yang aneh apabila cerita ini dibuka serentak dengan Deepak yang juga membuat pendedahan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, isterinya Rosmah Mansor dan Ketua Wanita Selangor Raja Ropiaah berkenaan penipuan penswastaan ​​tanah.
Apabila testimoni Musa memalukan Hishammuddin, Deepak pula menjerit-jerit bahawa sepupu Hisham - Najib dan isterinya Rosmah bukan juga dari golongan yang baik-baik.

Terpijak jari kaki

Apa pun motif Musa atau mana-mana pihak terlibat dalam perang saudara UMNO yang cuba dibantu olehnya, jelas sekali bekas ketua polis itu sedang berusaha menyelamatkan dirinya sendiri. Ya,Musa Hassan yang sedegil keldai itu telah menyedari kebodohan dirinya sendiri.
Semasa zaman kegemilangannya, dia begitu berpengaruh dan banyak bergaul dengan orang-orang seperti Tengku Goh, Gani, Mahathir dan orang-orang besar yang lain, Musa tidak sedar akan mereka yang telah disakiti pada masa itu. Dia hanya menyedari bahawa masanya sudah hampir tamat apabila dia tidak lagi arahan Hishamuddin.
Ini telah menyebabkan perkhidmatannya telah ditamatkan tanpa diberikan apa-apa keistimewaan sebagai pengerusi dalam beberapa GLC terkenal atau syarikat berkaitan kerajaan. Mungkin agak keterlaluan untuk mengatakan bahawa Musa telah ditinggalkan kering kontang tetapi yang pasti sebagai bekas penjawat awam yang tertinggi, dirinya telah diketepikan untuk mendapat habuan persaraan.

Musa enggan mengikut telunjuk kerana dia berfikir dirinya masih boleh menggunakan 'pengalaman' atau keistimewaan hubungannya dengan Mahathir. Tetapi dia telah mendapat tahu bahawa waris Mahathir tidak menyimpan niat untuk meneruskan kerjasama dengannya. Jadi tinggallah Musa dengan tangan kosong dan bertahi.
Apa yang lebih menyakiti lagi, Mahathir berpura-pura tidak tahu pada usia 87 tahun, dialah yang menarik tali boneka untuk mengawal Najib 'panglima’ UMNO yang lain untuk mengayakan anak-anaknya.
Namun, realitinya Mahathir sudah terlalu tua untuk bertahan lebih lama manakala UMNO pula sudah jauh tenggelam dalam masalah. Jadi, Musa telah sedar bahawa lebih baik dia melakukan sesuatu yang boleh menyelamatkannya sebelum Pakatan Rakyat mengambil alih Putrajaya dan memerintahkan siasatan berskala penuh ke dalam semua sandiwara Mahathir. Musa juga pasti takut akan salah lakunya sendiri yang bakal mendatangkan masalah baginya. Dia tahu dia terpaksa menjauhkan dirinya daripada watak-watak jahat ini dan membersihkan dirinya agar mempunyai peluang untuk mengelakkan diri dari didakwa dan dipenjarakan dalam penglibatan rasuah dan penyalahgunaan kuasa.
Terdapat ramai telah menerima nasib yang sama, apabila tidak diperlukan lagi oleh UMNO, dicampak ibarat kain buruk. Satu lagi contoh baru-baru ini adalah Musa Hitam, bekas timbalan perdana menteri yang tiba-tiba 'meletak jawatan' sebagai pengerusi Sime Darby. Seperti Musa Hitam, Musa yang seorang lagi ini pasti sudah mengira harinya. Kedua-dua mereka sudah tiada penyokong dari belakang.
Dalam keadaan sedemikian, sudah semestinya Musa tiba-tiba 'sedar' dan cuba membuktikan dia masih boleh kembali ke pangkal jalan dan bersuara untuk rakyat - walaupun ini merupakan sesuatu yang dia sepatutnya lakukan sedekad yang lalu ketika dia masih berpengaruh dan benar-benar boleh membantu masyarakat.

Faktor Ramli Yusoff

Seperti kata pepatah, perkara jahat, walau sebutir pasir pun akan di balas jua, (what goes around comes around). Setakat ini, tidak ramai yang bersedia untuk membantu Musa kerana dirinya itu tidak boleh dipercayai. Dengan latar belakang dan rekod buruk, siapa atau parti mana yang mahu mengambil risiko dianiya olehnya nanti? Sedih juga untuk diakui, Musa Hassan adalah racun yang amat berbisa.
Tetapi selain dari menyelamatkan dirinya sendiri ada 'satu perkara' yang sebenarnya menakutkan Musa Hassan, menurut sumber dalaman, “Perkara' inilah yang menjadikannya mengambil keputusan untuk membuka cerita orang-orang kuat dalam UMNO. Dan apakah 'perkara' yang telah menjadikan lelaki seperti Musa ketakutan dan tergesa-gesa untuk membuka mulut yang pada suatu masa tertutup rapat?
Jawapannya adalah tidak lain tidak bukan, kes Ramli Yusoff dengan AG dan dirinya sendiri. Bekas penjawat jawatan tinggi polis, Ramli mendakwa dirinya diperangkap SPRM dalam “kes polis bernilai 27 juta ". Tuntutan mahkamah Ramli benar-benar mengganggu fikiran Musa kerana kes itu begitu jelas. Peguam yang berpengalaman mengatakan fakta-fakta boleh didedahkan di mahkamah dan Musa akan dijadikan kambing hitam bagi AG dan SPRM kerana dialah yang didakwa diberikan "bukti" untuk mereka terhadap Ramli.
Mungkin Musa kini cuba untuk mengatakan kepada semua bahawa "Hei, saya bersih, saya tidak melakukan apa-apa yang kesalahan dan merekalah yang memaksa saya untuk melakukan semua perkara-perkara jahat itu!"

Diekori Cawangan Khas

UMNO dan Najib harus mengambil serius dakwaan Musa Hassan kerana aka nada banyak yang mahu dikongsinya apabila dia semakin terdesak. Dia banyak menyimpan rahsia gelap UMNO dan menjadi satu tindakan yang agak bodoh dan angkuh bagi mereka untuk mengabaikannya.
Pembangkang juga harus membuka mata kerana apa yang membahayakan UMNO biasanya akan memberi banyak manfaat kepada mereka. Anwar dan pemimpin PR perlu cuba untuk mendekati Musa agar dapat mencari jalan penyelesaian untuk membantu Musa 'memulihkan' dirinya dalam supaya dia menjadi orang yang berguna, amanah dan boleh diterima semula oleh masyarakat.
Musa, dalam keadaan yang terdesak, telah gagal untuk menyedari bahawa dia telah menjolok sarang tebuan. Ya, sarang dua sepupu iaitu Najib dan Hishamuddin. Turut menerima tempias adalah Rosmah, yang bersedia untuk melakukan serangan balas. Musa pasti tahu bahawa serangan merupakan pertahanan yang terbaik dan bukan dia sahaja yang tahu akan ini malah ia boleh digunakan juga oleh musuh-musuhnya.
Sumber mengatakan inilah sebabnya polis Cawangan Khas sering mengekori Musa, bekas ketua mereka sendiri hanya 2 tahun yang lalu. Jelas sudah bahawa Najib terpaksa menghentikan Musa daripada melakukan lebih banyak kerosakan keatas kerjaya politiknya dan menjejaskan survival UMNO pada masa yang sama, terutama sekali dengan pilihan raya umum ke-13 yang bakal berlangsung tidak lama lagi.
Musa, sepertimana yang mereka katakan berada dalam keadaan yang genting. Berbahaya dan juga dalam bahaya!

Malaysia Chronicle
Seterusnya >>>

Dituduh ‘Pengkhianat’ Kerana Pendedahan Demi Kebaikan Polis Dan Negara


SHAH ALAM : Tan Sri Musa Hassan menegaskan walaupun ada pihak yang melabelkan beliau sebagai ‘pengkhianat’ kerana mendedahkan campurtangan yang berlaku dalam urusan Polis, namun ia adalah untuk kepentingan Polis sendiri.
Bekas Ketua Polis negara itu berkata pendedahan beliau mengenai campurtangan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hissammuddin Hussein adalah supaya professionalisme Polis dipelihara sebagaimana diperuntukkan undang-undang.
Sebelum ini, Musa mendedahkan bahawa semasa pentadbirannya,
Hishammuddin memberikan arahan kepada pegawai polis bawahan tanpa merujuk kepadanya.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar Harian kali ke-16 yang mengetengahkan topik “Politik Samseng, Di Mana Maruah Kita”.
Musa merupakan Mantan Ketua Polis Negara yang memegang jawatan itu selama empat tahun sejak tahun 2006 sebelum digantikan oleh Tan Sri Ismail Omar pada 13 September 2010.
Musa berkata tindakan campurtangan politik bertentangan dengan Seksyen 4 (1) Akta Polis 1967, yang mengatakan arahan dan kawalan polis adalah di bawah Ketua Polis Negara (KPN) dan bukan di bawah kuasa Menteri.
Di dalam topik yang sama, beliau berkata, politik samseng dapat diatasi sekiranya Polis bersikap adil terhadap semua parti politik.
“Polis ini tidak boleh bersikap tidak adil. Jika sudah ada aduan dibuat samada oleh pihak Pakatan Rakyat atau Kerajaan maka kena buat siasatan.
“Apabila sudah nampak satu pihak menceroboh masuk maka di situ pihak Polis kena bertindak,” katanya yang merujuk kepada pergaduhan di ceramah PKR di Gombak pada malam Dis 4 yang menyebabkan dua penyokong PR tercedera.
Pergaduhan itu dipercayai dicetuskan oleh penyokong Umno Bahagian Gombak.
“Jika ada diadakan ceramah berlaku di sesuatu kawasan, maka Polis jangan benarkan diadakan ceramah oleh satu pihak di kawasan yang sama.
“Ia akan melagakan kedua belah pihak,” katanya.
Turut tampil dalam wacana ini, Presiden Institut Integriti Malaysia, Datuk Dr Mohd Tap Salleh, Ahli Parlimen Hulu Selangor, P. Kamalanathan dan Penasihat Undang-undang PAS, Hanipa Maidin.
Wacana ini turut menampilkan moderator, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar dari Universiti Malaya.
Seterusnya >>>

Ceroboh tapak ceramah, samseng Umno bersalah – Musa Hassan


SHAH ALAM 6 DIS: Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menyifatkan serangan samseng Umno yang diketuai Pemuda Umno Gombak, Datuk Megat Zulkarnain Omardin sebagai suatu bentuk pencerobohan.
“Apabila ada satu pihak menceroboh masuk, tugas polis ialah jangan sampai ada pertumbahan darah.  Kalau nampak dia (Pemuda Umno masuk, jangan benarkan,” katanya pada forum ‘Wacana Sinar Harian: Politik Samseng Di Mana Maruah Kita’  hari ini.
Beliau merujuk keganasan samseng Umno pada ceramah di Gombak Utara, 4 Disember lalu yang menyebabkan seorang lelaki cedera tikam manakala Ketua Pas Cawangan Gombak Utara, Haider Samsudin luka di kepala akibat dibaling pasu.
Musa berkata, mana-mana pihak termasuk parti pembangkang berhak mengadakan ceramah di tempat terbuka, apatah lagi dalam premis persendirian.
“Hanya bagi notis. Kalau di tempat awam, ada permit. Tempat sendiri tak perlu. (Kalau) saya, tak letak berdekatan. Sebelum berlaku, cegah dulu,” katanya.
“Polis kena adil jalankan tugas. Adakah timbulkan keadaan tak tenteram. Kita tak mahu orang berceramah bersebelahan.
“Tugas polis untuk tentukan keselamatan orang awam. Bukan bertembung dan bergaduh. Keselamatan penting. Malu bila tengok politik bertikam,” katanya.
Pada sidang media pula, Musa sempat berpesan supaya polis tidak perlu menghantar pegawai Cawangan Khas (SB) bagi mengekori pergerakannya.
“Tak payahlah ikut-ikut saya. Banyak kerja lain yang boleh dibuat pihak berkuasa. Saya hanya minta betulkan,” katanya merujuk teguran dibuatnya kepada Menteri Dalam Negeri.
Minggu lalu, Musa mendedahkan Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang juga sepupu Perdana Menteri, campur tangan dalam institusi polis ketika pasukan itu diketuai beliau.
Seterusnya >>>

Kalau tidak diperbetulkan, negara akan rosak


KUALA LUMPUR — Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan hari ini menyatakan tindakan beliau mengeluarkan komen berkenaan camputangan sesetengah menteri dan ahli politik dalam urusan polis kerana keadaan sudah semakin teruk dan jika tidak diperbetulkan, negara akan rosak . "Perkara ini saya nak dibetulkan, bukan saya sakit hati kepada sesiapa, nanti orang kata saya ini sebab sakit hati tidak sambung (kontrak), saya iri hati dengan orang.
"... saya sudah seronok pencen. Tapi saya tengok benda ini kalau tidak dibetulkan negara kita akan rosak.
"Saya bercakap ini bukan sebab saya nak hentam orang..., tidak... tetapi untuk betulkan keadaan. Keadaan sekarang makin teruk, makin teruk dan saya tidak mahu orang tidak percaya kepada polis," katanya dipetik dari Sinar Harian Online.
Manurut Musa, sejak akhir-akhir ini campurtangan menteri semakin dalam pasukan polis semakin parah berbanding dahulu.
"Dulu tak kerap berlaku begini. Dulu tak ada saya rasa. Masa Menteri Dalam Negeri yang lama-lama kita tak pernah (dengar) jadi begini. Tapi yang baru-baru ni lah."
"Kalau IGP itu tak berani, ia berlakulah (campur tangan), kalau IGP berani, maka tak berlakulah. Saya merasakan kebanyakan IGP tak pernah akan mengikut apa kehendak menteri suruh buat kalau tak betul mengikut undang-undang lah," katanya.
Tambah Musa, tidak menjadi kesalahan bagi Menteri Dalam Negeri mencampuri urusan polis seperti dalam hal-hal kenaikan pangkat atau disiplin anggota polis, tetapi tidaklah sampai ke tahap campur tangan dalam hal-hal berkaitan operasi polis yang berada di bawah bidang kuasa KPN.
"Macam Bersih, itu IGP sahaja lah bagi arahan. Tak perlu nak bagi arahan. Kalau salah tindakan IGP, biar IGP sahaja yang kena tindakan. Janganlah atas arahan turun lagi. Orang di bawah pun pening kepala nak buat kerja.
"Campur tangan dari segi pentadbiran itu memang tanggungjawab dia, tetapi jangan lah campur tangan dalam hal-hal buat kerja polis. Campur tangan dalam operasi polislah, macam-macamlah. Operasi tak boleh (campur tangan), pentadbiran tidak apa sebab dia (Menteri Dalam Negeri) Pengerusi Suruhanjaya Polis," jelas beliau dipetik dari Sinar Harian Online.
Dalam laporan pagi ini, Musa mempertahankan dirinya tidak pernah menyalahgunakan kuasa sepanjang 41 tahun berkhidmat dengan pasukan polis walaupun bekas rakan sepasukannya, Datuk Ramli Yusuff seringkali mengaitkan bekas ketua polis itu dengan peguam negara (A-G) dan melepaskan diri dari tuduhan mengaitkan beliau dengan penjenayah Johor.

Musa memberitahu beliau tidak melakukan apa-apa kesalahan dan bersedia untuk disiasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk membersihkan namanya.

"Saya tidak ada lakukan kesalahan," kata Musa apabila dihubungi oleh The Malaysian Insider malam semalam, sebelum menambah, "Kalau ada salah, biar SPRM siasat."
Seterusnya >>>

Bekas KPN dakwa menteri campur tangan siasatan


KUALA LUMPUR, 28 Nov — Tan Sri Musa Hassan menuduh menteri Kabinet dan ahli politik sering cuba campur tangan dalam siasatan polis dan membuat penahanan semasa beliau berkhidmat sebagai Ketua Polis Negara dan mendakwa ia masih berlanjutan.
Musa yang bersara pada September 2010 menamakan salah seorang menteri tersebut ialah Datuk Seri Hishammuddin Hussein sebagai antara ahli politik itu dalam satu sidang media hari ini dan mendakwa keenggannya mengikut arahan tersebut menyebabkan beliau tidak disambung kontrak.
Beliau turut mengkritik penggantinya, Tan Sri Ismail Omar sebagai seorang pegawai yang hanya mengikut perintah kepada ahli politik yang berpengaruh.
“Terdapat banyak keraguan daripada pegawai polis yang dikatakan menerima arahan bukan daripada (pegawai tertinggi mereka) tetapi daripada Kementerian Dalam Negeri.
“Malahan kementerian tersebut masih boleh memberikan arahan sekaran... siapa yang kawal sekarang?” soal Musa.
Musa kemudiaan memetik Sesyen 4(1) daripada Akta Polis yang menyatakan bahawa sebarang arahan kepada pegawai polis mestilah datang daripada KPN, yang mempunyai bidang kuasa ke atas arahan tersebut.
“Saya dimaklumkan malahan Setiausaha Agung boleh mengarahkan CPO (Ketua Pegawai Polis) dan (mengarahkan mereka untuk) melapor balik kepada mereka. Jadi siapa yang mengawal polis sekarang?
“Arah dan kawal... ke atas pasukan polis haruslah dibawah KPN. Tiada orang lain boleh beri arahan.”
Namun, bekas pemimpin tertinggi dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) tersebut enggan mendedahkan nama tetapi mendakwa beliau menerima arahan tersebut daripada menteri, timbalan menteri dan ahli politik, juga daripada pembangkang.
“Apabila saya menangkap penjenayah, yang terlibat dalam aktiviti haram, pasti akan ada panggilan telefon daripada pihak atas.
“Saya masih ingat... seorang MP pembangkang selalu datang ke pejabat saya. Dia bawa kepada saya banyak saman (untuk selesaikan). Saya kata Tan Sri... awak (antara salah seorang) yang meluluskan di Parlimen.
Musa juga mensasarkan penggantinya, Tan Sri Ismail Omar yang dianggapnya sebagai seorang hanya mengikut arahan kepada ahli politik berpengaruh.
“Kamu baca akhbar. Kadangkala, kamu dengan (ahli politik berkata) “Saya arahkan polis buat itu... buat iini,” jawab Musa apabila ditanya bentuk arahan yang diberikan kepada KPN ketika ini.
“(Ismail) orang yang baik, tetapi menjadi seorang yang baik dan menjadi popular bukan adalah perwatakan menjadi seorang KPN. Kamu perlu jadi lebih tegas.
“Kadangkala, kamu perlu jadi seorang yang lantang (kepada) pihak atas. Apabila tidak betul... jangan hanya kata ya.
“Jika seorang KPN hanya mengikut perintah, dia akan jadi KPN terbaik di dunia. Jika dia lantang, dia akan jadi KPN yang jahat dan tidak akan ada banyak tuduhan ke atas dirinya,” gurau beliau.
Beliau menggambarkan hubungannya dengan Hishamuddin sebagai biasa, tetapi Menteri Dalam Negeri tersebut secara langsung mengarahkan beliau untuk mengawal pasukan polis.
“Apabila saya mendapati arahan yang diberikan kepada pegawai baru dan OCPD (Ketua Polis Daerah) tanpa pengetahuan saya, jadi pastinya suatu yang salah berlaku.
“Jadi saya tekankan kepadanya Sesyen 4(1) Akta Polis... arah dan kawal dalam pasukan polis adalah hak KPN, bukan seorang menteri.
“Saya beritahu dia secara baik tapi dia tidak suka. Sebab itu (jawatan) saya tidak disambung,” dakwa Musa.
Musa bertugas sebagai KPN selama tiga sebelum bersara pada 13 September 2010 selepas kes rasuah yang ditutup pada Julai 2007 kerana kurang bukti.
Sidang akhbar tersebut dianjurkan oleh Pasukan Petugas Pemantau Jenayah Malaysia (MyWatch), sebuah pemantau bukan kerajaan (NGO) yang mengakui mereka akan “mencabar sebarang statistik yang dikeluarkan oleh PDRM”.
NGO tersebut mendakwa mereka mempunyai statistik jenayah “sebenar” daripada pasukan polis yang dituduh mereka telah “dimanipulasi” sebelum dikeluarkan kepada orang awam.
MyWatch juga mengakui mereka memiliki bukti melibatkan pegawai atas polis dengan kumpulan bawah tanah.
Mereka merancang untuk mendedahkannya secara berperingkat, bermula minggu depan jika PDRM masih enggan bekerja dengan mereka.

Seterusnya >>>

Mat Zain: Bekas IGP tak pernah sedia untuk bicara


Bekas ketua polis negara (KPN) Tan Sri Musa Hassan daripada awal tidak pernah bersedia untuk untuk perbicaraan saman fitnahnya terhadap Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Perkara ini jelas apabila Musa difahamkan menghadapi masalah mencari peguam utama setelah Hisyam Teh Poh Teik dan Ghazi Ishak memaklumkan tidak dapat hadir pada hari itu.

Tambahan pula, senarai saksi Musa dilihat tidak lengkap sebelum perbicaraan kerana selain bekas KPN memberi keterangan seperti dituntut, beliau meletakkan bekas pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Mat Zain Ibrahim sebagai saksi keduanya.

Mat Zain memberitahu Malaysiakini, beliau terkejut dengan tindakan Musa membariskannya sebagai saksi.

"Saya tidak pernah disepina atau dimaklumkan oleh Musa atau peguamnya berkaitan hasrat memanggil saya atau merakamkan kenyataan saya untuk persediaan kenyataan saksi. Saya percaya bahawa peguam Anwar betul, mereka tak minta penyelesaian.

"Musa sebenarnya yang berbohong kepada orang awam dan memutuskan menarik balik (kes itu). Musa tidak mahu kes itu dimulakan," dakwa Mat Zain, bekas pegawai penyiasat dalam kes siasatan mata lebam Anwar.

Musa pada 16 Oktober lalu menarik balik saman fitnah terhadap Anwar berkaitan laporan polis oleh ketua pembangkang itu berhubung dakwaan mereka cipta bukti dalam perbicaraan Liwat 1.
Seterusnya >>>

Tarik balik kes saman tiada kaitan menyertai Pas - Musa Hassan

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan

SHAH ALAM – Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan menafikan dengan keras khabar angin yang mengatakan beliau akan menyertai Pas atau mana-mana parti.
Malah beliau juga menegaskan, keputusannya menarik balik kes saman ke atas Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam tiada kaitan dengan khabar angin dan spekulasi kononnya akan menyertai parti politik pembangkang termasuk Pas.
“(Khabar angin) tidak ada kaitan dengan kes semalam,” kata beliau kepada Sinar Harian Online, hari ini.
Ketika ditanya dakwaan dan spekulasi di laman siber bahawa beliau akan menyertai Pas, Musa yang bersara sebagai Ketua Polis Negara akhir 2010 berkata: “Itu tidak benar."
"Kalau cerita-cerita yang keluar di Internet tu, tahu sahajalah kebenarannya.
“Lagipun sama ada Pas ataupun Umno, tidak ada sesiapa pun yang datang berjumpa saya untuk menawarkan keahlian,” kata beliau lagi.
Semalam, Musa menarik balik saman fitnah yang difailkan terhadap Anwar, Ketua Umum Pakatan Rakyat, berhubung siasatan insiden 'mata lebam' pada 1998.
Keputusan itu dicapai dan diputuskan di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad semasa prosiding hari pertama perbicaraan kes tersebut di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dan memutuskan kes itu dibatalkan tanpa sebarang kos.
Musa menjelaskan, sejak mula berkhidmat sebagai anggota polis, beliau tidak pernah terlibat atau menyatakan sokongan terhadap mana-mana parti politik.
Ketika ditanya sama ada beliau akan menyertai Pas jika ada tawaran, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.
“Saya tidak boleh cakaplah tentang perkara di masa depan.
“Pada diri saya, saya bebas dan undi saya adalah rahsia jika ditanya tentang parti mana yang akan saya pilih pada pilihan raya,” kata beliau yang kini mengajar secara kontrak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam.
Baru-baru ini beberapa laman web dan portal berita termasuk Harakahdaily melaporkan seorang bekas Ketua Polis Negara akan menyertai Pas.
Pas, rakan komponen Pakatan Rakyat, telah menerima kemasukan beberapa bekas pegawai kanan perkhidmatan awam, antaranya bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah, Datuk Fauzi Shaari.
Turut menyertai Pas ialah bekas Ketua Setiausaha Kementerian Tanah dan Pembangunan Koperasi, Datuk Dr Nik Zain Nik Yusof.
Seterusnya >>>

Mengapa Musa tarik balik saman ke atas Anwar?


Keputusan bekas IGP Musa Hasan menarik balik saman malu terhadap Anwar Ibrahim mungkin tidak mengejutkan kerana ia adalah perkara biasa saja, tetapi tidak begitu bagi saya. Ia semacam ada sesuatu perkembangan baru di antara kedua-dua bekas IGP dan bekas Timbalan Perdana Menteri itu. Musa menyaman Anwar kerana berhubung insiden peristiwa "mata lebam" di mana Musa dikaitkan sebagai turut terlibat dalam peristiwa tersebut dan dituduh menyembunyikan beberapa fakta dalam proses penyiasatan peristiwa berkenaan. Ekoran itu menyebabkan Anwar bertindak membuat laporan polis terhadap Musa dan Peguam Negara Abdul Gani Patail.

Alasan Musa untuk menarik saman itu kerana berlaku salah faham oleh pihak defedan (Anwar) berhubung kedudukannya ketika itu, dan beliau menerima untuk menyelesaikan kes itu di luar mahkamah.

Perbicaraan kes itu sepatutnya berlangsung hari ini, sebaliknya penyelesaian di luar mahkamah dicapai. Keputusan itu direkodkan di hadapan Hakim Datuk Asmabi Mohamad  di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini.

Tiada sebarang kos dikenakan oleh mahkamah untuk mana-mana pihak atas penyelesaian itu.

Mungkin penyelesaian sebegitu biasa berlaku dalam mana-mana kes mahkamah di dunia tetapi kes di antara Musa dengan Anwar ini seakan ada kesitimewaannya dan sedikit unik. Yang menjadi persoalan kenapa semudah itu kedua pihak khasnya Musa untuk menerima penyelesaian itu? Kalau Anwar yang menarik ia mudah untuk difaham tetapi ini Musa?

Jika diikutkan senario, pihak Musa yang bersungguh untuk menyaman Anwar kerana Anwar dikatakan telah memburukkan reputasinya menerusi laporan polis bersama Gani Patail. Tetapi apabila Musa Hasan sedia menarik balik saman itu ia agak anih sedikit dan menimbulkan tanda soal dalam minda? Apakah sebelum memutuskan untuk saman Anwar, Musa tidak membuat penyelidikan dan kajian mendalam?

Di sini tidak perlu diulas panjang lebar mengenai perkembangan ini. Atas semangat Islam eloklah kalau ada perdamaian di antara mereka. Bagaimana pun kita tunggulah apakah perkembangan selepas ini. Persoalan apakah ada natijah atau pun cerita lain di sebalik penarikan balik saman itu akan terdedah juga di hujung waktu nanti. Mungkinkan Musa sudah insaf?

Yang jelasnya Musa yang selaku penyaman kenapa bersedia untuk menarik semula saman berkenaan? Bukankah dengan bertindak demikian orang akan menganggap Musa hangat-hangat tahi ayam atau tersalah membuat perhitungan. Moral di sebalik penarikan itu menjadikan Anwar dianggap di pihak yang benar. Dan saya tetap mempercayai tempua tidak akan bersarang rendah kalau tidak ada mengada?  [wm.kl. 5:42 pm 16/10/12]

-/ MSOmelayu
.
Seterusnya >>>

Tak perlu sorok fakta, jenayah memang meningkat -Musa Hassan



KUALA LUMPUR, 13 Julai — Bekas Ketua Polis Negara (KPN), Tan Sri Musa Hassan mendakwa kadar jenayah di Malaysia sememangnya telah meningkat dan meminta agar pihak berkuasa tidak menyorokkan fakta sebenar kepada orang ramai. “Rakyat perlu tahu perkara sebenar, tidak perlu sorok-sorok tentang masalah jenayah.
“Sewaktu saya memikul tanggungjawab sebagai KPN dahulu, saya sering sebut tentang peningkatan kadar jenayah,” kata Musa dalam wawancara bersama The Malaysian Insider semalam.
Bekas KPN itu turut mengakui kadar jenayah di Malaysia pada hari ini berada di tahap yang membimbangkan.
“Jika jenayah tak teruk, tak perlulah menteri-menteri dan orang kaya guna ramai ‘bodyguard’.
“Kerana banyak jenayahlah menteri-menteri dan orang-orang besar perlukan ‘bodyguard’,” kata Musa.
Musa Hassan telah berkhidmat untuk Polis Di Raja Malaysia (PDRM) selama empat dekad dan memimpin pasukan tersebut selama empat tahun semenjak tahun 2006 sebelum digantikan oleh Tan Sri Ismail Omar pada 13 September 2010.
Walaupun berlakunya kes serangan, rompakan dan penculikan, polis, Unit Pengurusan Prestasi dan Pelaksanaan (Pemandu) dan kementerian dalam negeri (KDN) mengeluarkan statistik kadar jenayah negara telah menurun semenjak kerajaan memperkenal Program Transformasi Kerajaan (GTP).
Unit Pencegahan Jenayah Pemandu dalam majlis bersama media semalam — langkah untuk mengurangkan kerisauan orang ramai, menyatakan statistik kadar jenayah menurun sebanyak 10.1 peratus pada lima bulan pertama tahun ini.
Sebelum ini, Unit Pencegahan Jenayah Pemandu telah mengeluarkan angka untuk menunjukkan penurunan indeks jenayah sebanyak 11.1 peratus dari 2010 sehingga tahun lalu manakala jenayah jalanan menurun 39.7 peratus pada tempoh sama.
Pemandu turut merayu agar media membantu mereka mengubah persepsi rakyat dan mendesak agar laporan seimbang diberikan.
Ketika ditanya mengenai kenyataan Pemandu berkenaan statistik jenayah yang menurun, Musa mencadangkan kerajaan agar melantik pihak ketiga yang lebih bebas seperti universiti untuk memberikan data seperti statistik jenayah kerana mereka lebih bebas.
“Sewaktu zaman saya dulu, saya minta Universiti Sains Malaysia untuk keluarkan statistik jenayah.
“Ini turut dilakukan oleh pasukan polis di Amerika yang sering menggunakan universiti agar data yang diperolehi tepat dan tidak menyorokkan apa-apa fakta,” kata Musa lagi.
Menurut bekas KPN itu lagi, kadar jenayah diseluruh dunia meningkat akibat daripada kemerosotan ekonomi dunia akibat dariapada kemelesetan ekonomi yang berlaku di Eropah.
“Globalisasi menyebabkan sukar untuk sesebuah negara untuk mencegah berlakunya jenayah.
“Globalisasi menyebabkan ramai orang luar masuk ke Malaysia, yang kita tak tahu latar belakang dia, ‘especially’ dari Nigeria tentang kehidupan dadah mereka.
“Ini adalah diantara punca berlakunya peningkatan jenayah dalam negara,” kata Musa lagi.
Untuk mencegah masalah jenayah yang berleluasa hari ini, bekas KPN mencadangkan agar polis membuat penambahbaikan dari segi mengubah teknik dalam memerangi jenayah sekarang ini kepada ‘intelligence procurement’ atau ‘perolehan risikan’.
“Kita perlu mendapatkan maklumat-maklumat risikan terdahulu.
“Jika maklumat risikan polis bagus dari segi perolehannya, mempunyai hubungan rapat dengan penguatkuasa luar negara, maka kita boleh mengetahui awal berkenaan latarbelakang seseorang dan boleh memantau jika mereka penjenayah.
“Sama seperti dalam negara kita, kita perlu pantau geng-geng jahat dan penjenayah-penjenayah ni,” kata bekas KPN itu lagi.
.
Seterusnya >>>

Mat Zain: Kenyataan Musa buktikan tiada bukti kukuh


Mantan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (CID) Kuala Lumpur, Mat Zain Ibrahim membidas kenyataan mantan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkaitan kes 'Liwat I' yang dikaitkan dengan ketua pembangkang.

Mat Zaid menyifatkan perkara itu sebagai perkara tambahan yang baru sahaja difikirkan (afterthought).

Beliau yang juga pegawai penyiasat dalam kes mata lebam Anwar pada 1998 menegaskan, Musa sepatutnya merujuk beberapa kenyataan berkaitan.

Ia antaranya kenyataannya dalam perbicaraan itu, kenyataannya kepada ketua pasukan penyiasat CID Kuala Lumpur, dakwaan Musa sendiri terhadap Anwar dan kenyataan yang diberikan Mohd Rodwan Yusof.

Menurutnya, sampel darah untuk ujian HIV itu diambil doktor pakar Hospital Kuala Lumpur pada 28 September 1998 sewaktu Anwar ditahan polis dan beliau sendiri memberi kebenaran untuk itu.

Menurut Mat Zain, sampel itu diambil dan diberi berdasarkan prosedur. Namun, sampel yang sama diambil tanpa kebenaran doktor pada 15 Oktober 1998 untuk ujian DNA.

"Doktor menegaskan sampel darah untuk ujian HIV itu tidak sesuai untuk ujian DNA kerana prosedur untuk sampel DNA perlu mematuhi beberapa protokol.

"Apabila Musa mengaku menggunakan darah itu untuk ujian DNA ke atas tilam, ia secara tak langsung bermakna beliau mengakui tidak mempunyai bukti kukuh sewaktu beliau memberi penerangan kepada perdana menteri pada masa itu Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Jika tidak, kenapa Musa perlu curi sampel darah itu dari HKL dan melakukan ujian DNA ke atas tilam jika siasatannya lengkap sewaktu bertemu Mahathir," kata Mat Zain.
.
Seterusnya >>>

Anggota polis tawar beri keterangan pada tribunal


Beberapa anggota polis yang masih berkhidmat, telah memaklumkan kepada Malaysiakini mengenai kesediaan mereka tampil secara sukarela memberi keterangan kepada tribunal berhubung dakwaan salahlaku terhadap Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail dan bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.
Keterangan tersebut, tegas mereka, akan melampaui dakwaan wujudnya pakatan sulit antara kedua-duanya dengan penjenayah.

Malaysiakini telah menyiarkan satu siri laporan sejak seminggu lalu mengenai dakwaan bahawa pasukan polis bersekongkol dengan penjenayah.

Ia dipercayai telah mendorong anggota polis berkenaan yang masih berkhidmat itu, untuk tampil memberi keterangan.
Mereka - yang enggan mendedahkan nama melainkan sebuah tribunal ditubuhkan - berkata ketika pasukan itu bertambah baik di bawah kepimpinan Tan sri Ismail Omar sekarang, namun pengaruh Peguam Negara Abdul Gani masih menimbulkan rasa takut di kalangan banyak pihak.

Ini, kata mereka, akan berterusan melainkan sebuah tribunal bebas ditubuhkan.

Isnin lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein (kiri) meminta bukti terhadap dakwaan salahlaku tersebut.

Ini ekoran laporan Malaysiakini mengenai ucapan bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Perdagangan (CCID), Datuk Ramli Yusuff, yang mendakwa Gani bersama dengan Musa dan Badan Pencegah Rasuah (BPR) ketika itu, telah menganiayainya dan orang-orangnya.

Tuduhan itu berasal daripada siasatan mereka terhadap Goh Cheng Poh atau Tengku Goh, seorang penjenayah dari Johor yang didakwa mendapat sokongan Musa.

Tengku Goh ditangkap oleh Ramli pada 1 Ogos 2007 tetapi dibebaskan empat bulan kemudian.

Ketika dakwaan semakin menggunung, Musa kemudiannya disiasat dan dibersihkan oleh Abdul Gani dan BPR, manakala kontrak perkhidmatannya sebagai Ketua  Polis Negara disambung sehingga persaraannya pada 2010.

Bagaimanapun, seperti yang dilaporkan oleh Malaysiakini persoalan mengenai dakwaan pembabitan kedua-duanya itu, masih berterusan.
Seterusnya >>>

IGP ingatkan polis jangan jadi 'orang suruhan'

Ucapan perpisahan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan hari ini secara tidak langsung terus membidas camputangan Kementerian Dalam Negeri.

Musa yang dilihat tidak mahu berundur sebelum menyatakan apa yang terbuku di hatinya, mengingatkan anggota polis dan pegawainya supaya kekal setia meskipun “menerima tekanan dari pihak atasan dari dalam dan juga luar”.

“Jangan jadi 'yes men'. Jangan jadi orang suruhan. Jika polis terdiri daripada orang suruhan, seluruh pasukan akan busuk dan musnah.
"Jangan tolak ansur dalam soal integriti ini, rosak pasukan nanti," katanya.

Malah, Musa berkata, PDRM bukan peminta sedekah dan bukan "pungut duit orang lain" tetapi kewujudannya adalah untuk menjaga keamanan masyarakat dan negara.
Pak turut

Beliau juga mengingatkan anggota polis supaya tidak berpuak-puak dan menjadi 'pak turut' bagi mengelak PDRM daripada gagal menjalankan tanggungjawabnya dengan lebih berkesan..

“Zaman saya tidak ada sesiapa pegawai yang tahu siapa yang rapat dengan saya. Saya tidak pernah memanggil mana-mana pegawai ke rumah saya atau keluar untuk makan minum dengan mereka.

"Ini menjadikan kerja lebih mudah, kerana tidak ada pegawai yang mengampu saya,” katanya.
Isnin lalu, Musa meluahkan kekecewaannya dengan tindakan sesetengah pihak yang mencampuri urusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) ketika badan keselamatan negara itu mengawal ketenteraman awam dan menahan mereka yang menyalahi undang-undang.

"Tidak perlu campur tangan orang lain. Kita ada 'command and control' dengan arahan bermula dari saya hingga ke pegawai bawahan.

"Jadi, tidak perlu ada pihak ketiga untuk bagi arahan. Jika berlaku (arahan tanpa pengetahuan kita), ini salah satu tindakan yang salah dan menyalahi undang-undang," katanya pada sidang media sempena persaraan beliau yang berkuatkuasa 12 Sept ini.

Sebelum itu, Musa pada ucapannya juga memuji penggantinya, Tan Sri Ismail Omar yang bakal dilantik sebagai ketua polis negara yang baru, Isnin ini.
Bermandi darah

Katanya, beliau memberi kepercayaan sepenuhnya kepada timbalannya itu.
Beliau berkata setiap jabatan dalam PDRM perlu memberikan sokongan kepada Ismail bagi memacu PDRM untuk memberikan perkhidmatan yang lebih baik kepada masyarakat dan negara.

"Ismail akan bekerja dengan baik. Tetapi beliau memerlukan sokongan semua. Saya harap selepas bersara, dia akan memantapkan lagi pasukan polis dan memastikan setiap rancangan dan strategi dilaksanakan,” katanya.
"Saya sendiri banyak menerima aduan berhubung diri saya dan juga pasukan polis kerana kita dilihat tidak memberikan khidmat yang terbaik atau tidak boleh dipercayai ataupun mengamalkan rasuah. Tetapi saya harap, selepas dilantik saya berjaya memperbaiki pasukan polis.
"Dan sekarang, saya pula akan duduk sebagai pemerhati. Saya sering diperhatikan dan sekarang giliran Ismail pula.

"Jangan terbabit dengan salah-guna kuasa dan pastikan anda bermandi darah melindungi negara ini,” katanya.Musa, 59, yang bersara pada 2007, disambung perkhidmatan dengan kontraknya diperbaharui sebanyak dua kali dan akan bersara pada 12 Sept ini selepas 41 tahun bersama pasukan polis itu.
Seterusnya >>>

Musa Hassan diingatkan tidak 'langgar lari'

Ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan harus bertanggung-jawab berhubung dakwaannya 'ada campur-tangan pihak ketiga' dalam urusan polis dan memfailkan laporan rasmi, kata pengarah strategi PKR, Tian Chua.

Katanya, adalah tidak bertanggung-jawab bagi Musa mengeluarkan kenyataan seumpama itu yang dilihat cuba membidas pihak tertentu dan melepaskan dirinya daripada beberapa isu.

"Sasarannya kemungkinan besar adalah Kementerian Dalam Negeri. Bukan menjadi rahsia Hishamuddin Hussein telah melobi agar kontrak Musa tidak dilanjutkan,” kata Chua ketika dihubungi semalam.

Musa pada sidang akhbarnya di Bukit Aman, Isnin lalu mendakwa pihak polis sentiasa menghadapi campur tangan pihak ketiga dalam menjalankan tugas. Beliau juga menamakan KDN sebagai antara dalang itu.
Lapor ke BPA, SPRM

Namun ketua polis negara yang bakal bersara beberapa hari lagi itu tidak menamakan individu berkenaan.
Menurut Tian Chua, daripada mempolitikkan sektor keselamatan negara adalah wajar bagi Musa melaporkan ke Biro Pengaduan Awam dan Suruhajaya Pencegahan Rasuah Malaysia bagi memastikan masalah itu dibanteras.

"Beliau harus bertanggung-jawab apa yang dikatakannya. Beliau harus bekerjasama dan menawarkan maklumat kerana adalah tidak bertanggung-jawab untuk tidak berbuat demikian.”

Bagi setiausaha publisiti DAP, Tony Pua - Musa yang bakal bersara pada 12 September ini menimbulkan dakwaan yang serius. Ia hampir menyamai dakwaan campur-tangan kerajaan dalam perbicaraan kes liwat yang membabitkan ketua pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Katanya, adalah agak mengecewakan kerana Musa memilih untuk tidak bertindak ke atas dakwaannya itu dan ia mencerminkan ketidak-cekapan beliau menjalankan tugas sebagai ketua polis.
Wayang kulit

"Beliau telah menodai imej polis dan Kementerian Dalam Negeri. Tanggungjawab kini terletak pada bahu IGP baru untuk menjalankan siasatan penuh bagi menjamin integriti polis tidak dikompromi dan menghentikan (campur-tangan) daripada berlaku,” kata Pua.
Bagi naib presiden PKR, Sivarasa Rasiah - Musa sepatutnya menghentikan mainan 'wayang kulit' dan mengenalpasti siapa dalang yang campur-tangan dengan urusan polis itu.

Katanya, kenyataan Musa hanya membuka pekung di dada Musa yang kini sudahpun berada pada tahap yang terendah.

"Apa yang didakwanya itu serius. Jika ia benar, rakyat mempunyai hak untuk mengetahuinya. Kita tidak tahu siapa yang diserangnya dan beliau mesti berterus terang supaya orang ramai boleh menilai perkara itu sendiri,” katanya.
Seterusnya >>>

Khidmat Musa Hassan tidak disambung

SHAH ALAM 1 Sept - Setelah dikritik hebat di atas kegagalan Polis DiRaja Malaysia bersikap profesional dan tidak menyokong Umno-Barisan Nasional serta menghormati hak asasi manusia, Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan akhirnya berputih mata apabila kontraknya untuk kali ketiga tidak disambung.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang membuat pengumuman hari ini berkata jawatan KPN yang baru akan disandang oleh timbalannya, Tan Sri Ismail Omar dan akan berkuatkuasa 13 September ini.
Musa yang sepatutnya bersara wajib pada 2007, disambung perkhidmatannya sebanyak dua kali.
Jawatan Timbalan Ketua Polis Negara pula akan disandang Datuk Hussin Ismail, 57, yang kini adalah Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam.
Seterusnya >>>

IGP: Bersubahat dengan Raja Petra boleh kena tindakan

Individu yang terbukti bersubahat menaja dan menyembunyikan pengendali laman web Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin, boleh dikenakan tindakan mengikut lunas undang-undang bersesuaian jika didapati bersalah, kata Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau berkata, sekiranya siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) terhadap individu tersebut menunjukkan mereka bersalah, terpulang kepada mahkamah untuk menentukan akta atau undang-undang mana yang sesuai dikenakan terhadap mereka.

"Mahkamah sahaja yang akan tentukan tindakan undang-undang yang sesuai untuk mendakwa mereka, kita hanya boleh cadangkan sesuatu pertuduhan contohnya kesalahan melindungi pesalah jenayah," katanya ketika dihubungi hari ini.

Musa berkata, polis tidak boleh bertindak melulu untuk mengambil sebarang kenyataan daripada individu tersebut kerana ia perlu dilakukan mengikut prosuder tertentu.

"Kita tidak boleh pergi ke negara lain dan serang (tahan dan ambil keterangan) mereka macam itu sahaja. Setiap negara ada undang-undang mereka, tapi tidak bermakna sebarang tindakan tidak boleh diambil," katanya.

Musa berkata, walaupun polis antarabangsa (Interpol) telah menolak notis arahan merah yang dikeluarkan PDRM untuk menahan Raja Petra, pihaknya mempunyai inisiatif dan strategi lain untuk menahan pengendali laman web itu.

Beliau bagaimanapun enggan mendedahkan strategi berkenaan bagi mengelakkan kebocoran maklumat yang sekaligus boleh mengganggu siasatan polis.

Musa diminta mengulas laporan akhbar hari ini yang menyiarkan gambar Raja Petra bersama penyiasat persendirian, P Balasubramian, dan Ketua Parti Keadilan Rakyat (PKR) Wilayah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim, yang terbukti mempunyai hubungan antara satu sama lain.

Dalam laporan akhbar hari ini, Musa dipetik sebagai berkata PDRM akan memanggil Zaid atau sesiapa yang disyaki terbabit menyembunyikan pengendali laman web itu dalam masa terdekat.

Raja Petra menghilangkan diri daripada dihadapkan ke mahkamah selepas dua waran tangkap dikeluarkan terhadapnya kerana gagal hadir ke mahkamah pada 23 April dan 23 Mei lalu bagi perbicaraan menerbitkan artikel berbaur hasutan dan memfitnah isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor, melalui portal berita Malaysia Today.

- Bernama
Seterusnya >>>